Percutian

Ini Taman Tema Pertama Di Dunia Diiktiraf Sebagai ‘Autism Friendly’

76
SHARES

Anda yang membesar pada sekitar tahun 80’an dan awal 90’an mesti masih lagi ingat pada siri kanak-kanak Sesame Street. Rancangan kanak-kanak tersebut menjadi begitu popular dengan karakter seperti Big Bird, Cookie Monster, dan Elmo dan rancangan tersebut masih lagi disiarkan hingga kini.

Pada 2 April lalu, Sesame Place, sebuah taman tema kanak-kanak di Pennsylvania, Amerika Syarikat telah diiktiraf oleh International Board of Credentialing and Continuing Education Standards (IBCCES) sebagai taman tema pertama di dunia yang menerima gelaran Certified Autism Center (CAC).

Penganugerahan tersebut juga seiring dengan tamatnya sesi Latihan Sensitiviti dan Kesedaran Autisme yang dijalani oleh semua staf mereka sempena Bulan Kesedaran Autisme April ini.

Ciri-ciri Mesra Autisme Di Taman Tema Sesame Place

Taman tema yang bakal dibuka semula pada 28 April ini membawa banyak pembaharuan yang menjadikannya lebih mesra kanak-kanak dalam memberi kemudahan kepada keluarga untuk membawa anak-anak istimewa.

Antara ciri tersebut termasuklah:

1. Staf Yang Terlatih

Sebagai sebuah taman tema yang juga Certified Autism Center, Sesame Place dimestikan menghantar setiap ahli / staf mereka menjalani latihan yang berterusan setiap 2 tahun.

Latihan ini penting agar mereka mempunyai pengetahuan, kemahiran, serta watak yang diperlukan untuk berinteraksi dengan ahli keluarga serta kanak-kanak istimewa, khususnya mereka yang mengalami spektrum autisme.

Jadi, kalau anak ini meragam, mengamuk, tantrum, hiperaktif, terkejut melihat karakter Muppet, tidak merespon dan sebagainya, mereka sudah tahu cara untuk mengendalikannya dengan baik.

Foto Kredit: Sesame Place

2. Menyediakan ‘Sensory Guide’

Bagi mereka yang merancang untuk ke taman tema ini, pelbagai maklumat boleh didapati di laman web mereka untuk membolehkan ibu bapa merangka aktiviti yang sesuai berdasarkan keperluan spesifik anak mereka.

IBCCES juga akan mengeluarkan panduan sensori (sensory guide) supaya ibu bapa dengan memberi cadangan tentang bagaimana setiap tarikan di dalam taman tema tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pemprosesan sensori (sensory processing issues).

Foto Kredit: romper.com

3. Headphone Anti-Bising

Sesame Place menyediakan kemudahan headphone anti-bising yang boleh didapati di Family Care Center. Dengan headphone ini, ibu bapa boleh membantu kanak-kanak autisme untuk mengurangkan stimulasi keterlaluan yang boleh mendatangkan rasa resah atau ‘overwhelmed’ pada mereka.

Foto Kredit: pinsdaddy.com

4. Bilik Senyap & Low Sensory Areas

Pangunjung yang memerlukan sedikit masa senyap dan mahu lari daripada kesibukan di taman tema boleh menggunakan 2 buah bilik senyap yang dikhaskan untuk berehat dan bertenang. Bilik-bilik ini dilengkapi dengan lampu boleh laras serta tempat duduk yang selesa.

Di samping itu, terdapat juga kawasan seperti Twiddle Bug Tracks yang kurang sesak dicadangkan kepada pengunjung yang membawa anak autisme.

Foto Kredit: youtube.com

5. Julia, Karakter Anak Autisme

Kalau anda mengikuti siri Sesame Street, anda tentu mengenali watak Julia, karakter Muppet yang diperkenalkan pertama kalinya pada tahun 2017. Memainkan watak budak perempuan berambut oren, berusia 4 tahun yang mengalami spektrum autisme, karakter khas ini dicipta sebagai komitmen untuk mewakili komuniti autisme seluruh dunia.

Julia mempamerkan keunikan dalam wataknya di mana ia sering melakukan sesuatu perkara ‘dalam dunianya sendiri’ dan kadangkala tidak merespon apabila disapa.

Kewujudan watak ini bukan saja menjadi simbol penerimaan masyarakat terhadap anak autisme, malah ia menunjukkan bahawa segala perbezaan dalam anak autisme bukanlah kekurangan, sebaliknya mereka menjadikan dunia ini lebih ceria dan berwarna-warni!

Taman tema ini memberi peluang orang ramai untuk berinteraksi dengan Julia secara dekat untuk sesia meet & greet. Di samping itu, ada juga program khas yang akan diimplementasikan bagi pengunjung mengenali Julia dengan lebih rapat.

Menarik, Bukan?

Dengan wujudnya taman tema seperti ini, diharapkan lebih ramai lagi pihak yang prihatin dan membuka mata terhadap anak autisme dan keperluan mereka. Ibu bapa yang mempunyai anak bekeperluan khas pun tak perlu risau lagi nak bawa mereka ke taman tema.

Mungkin lepas ini, ada satu di Malaysia pula?

 

*Untuk maklumat lanjut, layari sesameplace.com atau lawati laman FB mereka, Sesame Place.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×