Pilihan Editor

Panggilan Talian Kasih Meningkat 57% Sejak Bermula Tempoh PKP. 5 Perkara Kita Perlu Tahu

17
SHARES

Dengan meningkatnya bilangan negara yang mengisytiharkan ‘lockdown’ bagi memutuskan rantaian COVID-19, apa yang kita mungkin tak sedar adalah peningkatan kes keganasan domestik terutamanya terhadap golongan wanita dan kanak-kanak.

1. Panggilan Talian Kasih Meningkat 57%

Mana tidaknya, ketika tempoh kuarantin atau ‘lockdown’, mereka tidak mempunyai pilihan untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan pelakunya yang tinggal serumah.

Di Malaysia juga, Free Malaysia Today melaporkan bahawa sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 1893 panggilan telah diterima oleh Talian Kasih di mana angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 57%.

2. Kes Keganasan Domestik Meningkat Di Seluruh Dunia Akibat ‘Lockdown’

Tidak terhad di Malaysia dan China sahaja, malah pakar-pakar mendapati bahawa kesan yang sama turut berlaku dalam peringkat global.

Hal ini juga menyebabkan call center menjadi luarbiasa sibuk dan dipenuhi dengan panggilan untuk melaporkan kes keganasan di seluruh dunia yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

i. Hubei, China

Di wilayah Hubei, iaitu tempat bermulanya wabak COVID-19, dilaporkan kes keganasan domestik meningkat melebihi 3 kali ganda ketika perintah ‘lockdown’ pada bulan Februari.

ii. Brazil

Adriana Mello, seorang hakim di Rio de Janeiro berkata bahawa terdapatnya peningkatan sehingga 40%-50% kes keganasan rumah tangga di Brazil yang dikaitkan dengan pandemik ini.

iii. Itali

Menurut aktivis Itali, panggilan ke talian bantuan telah jatuh dengan mendadak, tetapi mereka menerima mesej teks dan e-mel yang terdesak.

“Satu mesej adalah dari seorang wanita yang telah mengunci dirinya di bilik mandi dan menulis untuk meminta bantuan,” kata Lella Palladino, dari EVA Cooperativa, kumpulan aktivis untuk pencegahan keganasan terhadap wanita.” Tambah beliau lagi, pasti ada keadaan kecemasan yang lebih terdesak kerana wanita tidak boleh keluar.

iv. Sepanyol

Pada 19 Mac, seorang wanita dibunuh oleh suaminya di depan anak-anak mereka di Valencia, Sepanyol setelah 5 hari ‘lockdown’ diisytiharkan. Atas desakan ini, kerajaan mereka telah mengambil inisiatif bahawa wanita yang keluar untuk melaporkan kes keganasan ini tidak akan didenda.

v. India

Polis di Uttar Pradesh, India, yang mempunyai rekod yang paling buruk mengenai keganasan terhadap wanita di negara ini, telah melancarkan bantuan keganasan domestik dengan meningkatnya kes-kes yang dilaporkan akibat COVID-19.

Pihak mereka menjanjikan seorang pegawai wanita akan mengendalikan setiap kes, dan polis boleh menangkap pelaku apa-apa keganasan.

(Sumber: The Guardian)

Apa yang lebih menakutkan adalah kes-kes yang tidak dilaporkan dan risiko terhadap keluarga secara mendalam yang akan dirasai kesannya sehingga bertahun-tahun lamanya, malah mungkin seumur hidup.

talian kasih malaysia

3. Talian Khas Kaunseling COVID-19 Boleh Dihubungi Melalui 2 Medium

Peka dengan isu ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan Talian Khas Kaunseling COVID-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan dengan penularan wabak itu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan telekaunseling itu diwujudkan melalui 2 medium berikut:

  • Talian Kasih 15999 
  • WhatsApp Talian Kasih 019-2615999.

*Perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.

4. Dibuka Kepada Semua Yang Memerlukan Sokongan

Perkhidmatan telekaunseling ini membabitkan seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

“Pemanggil yang memerlukan perkhidmatan telekaunseling akan dipanjangkan kepada pegawai kaunselor yang berdekatan bagi membincangkan masalah yang dihadapi berkaitan COVID-19 dan kesan PKP.

“Ini bagi memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa di tahap yang stabil,” katanya.

Rina berkata, Talian Khas Kaunseling COVID-19 itu dibuka kepada mangsa COVID-19, waris mangsa, petugas pusat kuarantin, hospital dan lain-lain individu yang terkesan dengan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April.

“Perkongsian masalah dan khidmat telekaunseling diharapkan dapat membantu semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi mengelakkan lain-lain masalah sosial seperti penderaan dan keganasan rumah tangga dalam masyarakat berlanjutan sehingga boleh meningkatkan pelbagai risiko keselamatan,” katanya.

5. Jangan Takut Dapatkan Bantuan

Masuk fasa kedua tempoh PKP ini, diharapkan rakyat Malaysia dapat kekal tenang dan tetap positif.

Ambil masa untuk berehat dan cuba lakukan aktiviti bermanfaat di rumah.

Jika perlukan bantuan, jangan teragak-agak untuk meminta pertolongan sama ada daripada keluarga, rakan terdekat, sahabat handai ataupun talian telekaunseling ya.

Semoga wabak ini cepat berlalu pergi. Insha Allah!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×