Inspirasi

5 Perkara Tentang Jacinda Ardern, PM New Zealand Yang Menawan Hati Dunia

2.9K
SHARES

Peristiwa tembakan rambang di beberapa buah Masjid ketika solat Jumaat di ChristChurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 40 nyawa masyarakat Muslim dilabelkan sebagai salah satu ‘hari paling gelap’ di negara tersebut, kata Perdana Menterinya Jacinda Ardern.

Kelibat pemimpin tersebut dilihat mengunjungi komuniti Muslim di sana dengan pakaian sopan sambil mengenakan selendang mendatangkan rasa terharu netizen termasuklah rakyat Malaysia.

Di kala dunia Barat melabel orang Islam sebagai terrorist, reaksi Jacinda dianggap luar biasa hingga menjadikan beliau bualan satu dunia. Walaupun terkejut dan sedih, beliau bersikap profesional, tenang dan menunjukkan solidariti dengan komuniti Muslim di sana.

“Mereka memilih New Zealand untuk dijadikan sebagai kediaman mereka dan negara ini adalah tempat tinggal mereka. Mereka adalah penduduk negara ini. Tetapi orang yang mendalangi insiden ganas terhadap kami tidak wajar dianggap sedemikian.”

Selain menyuarakan rasa empati, Jacinda menyatakan bahawa segala kos pengebumian akan ditanggung oleh pihak kerajaan New Zealand di samping memberi sokongan kewangan tanpa mengira status mereka, sama ada warga imigran atau sebaliknya kerana memahami bahawa kebanyakan mangsa merupakan tulang belakang keluarga.

Jom ketahui beberapa perkara tentang Jacinda Ardern, PM New Zealand yang kini menjadi bualan ramai di seluruh dunia.

5 Perkara Tentang Jacinda Ardern, PM New Zealand Yang Menawan Hati Dunia

1. Antara Pemimpin Termuda Dunia

Jacinda Ardern atau nama penuhnya Jacinda Kate Larell Ardern dilahirkan pada tahun 1980 di Hamilton New Zealand. Beliau merupakan Perdana Menteri New Zealand yang mula memegang jawatan tersebut pada Oktober 2017 yang lalu pada usia 37 tahun.

Kemenangan beliau menerusi Parti Buruh telah menjadikan beliau antara pemimpin wanita termuda di dunia yang pernah memegang jawatan tersebut.

Foto Kredit: Radio NZ

2. Latarbelakang Pendidikan & Keluarga

Jacinda Ardern merupakan anak kedua daripada 2 adik-beradik yang dibesarkan di pekan kecil di Murupara, di mana ia merupakan kawasan aktiviti puak Maori yang kebanyakannya terdiri daripada orang susah. Keadaan ini dikatakan menjadi antara inspirasi terawal beliau untuk menyertai bidang politik.

Bapa beliau merupakan seorang pegawai penguatkuasa yang kemudiannya dilantik menjadi wakil diplomat kerajaan New Zealand.

Jacinda menyambung pengajian di University of Waikato pada 1999 dan seterusnya menamatkan Bachelor’s Degree dalam bidang Communication Studies pada tahun 2001.

Foto Kredit: stuff.co.nz

3. Menyertai Politik Seawal 17 Tahun

Jacinda mula menyertai Parti Buruh seawal usia 17 tahun dan terlibat dengan pelbagai pengalaman dalam berkempen dan membuat penyelidikan.

Beliau pernah bekerja selama lebih 2 tahun di pejabat Tony Blair, Perdana Menteri Britain ketika itu dan posisi tersebut telah membawa beliau mengembara ke serata dunia seperti Algeria, China, India, Israel, Jordan dan Lubnan. Beliau juga pernah bekerja rapat dengan Helen Clark, bekas Perdana Menteri New Zealand yang dianggap sebagai idola dan mentornya.

4. Memperkasa Wanita

Ketika memegang jawatan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telahpun mengumumkan kehamilannya. Berita ini dianggap sesuatu yang luarbiasa dan beliau menjadi wanita kedua di dunia yang pernah mengandung dan melahirkan anak ketika memegang jawatan tertinggi negara selepas Benazir Bhutto.

Bukan itu saja, beliau menerima pelbagai komen dan kritikan sepanjang tempoh kehamilannya. Tanpa ragu, Ardern telah menunjukkan kuasanya sebagai wanita yang bekerjaya, dan juga seorang ibu sekaligus mengubah persepsi negatif serta menepis segala tohmahan terhadap seorang wanita.

5. Individu Pertama Bawa Bayi Ke Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu

Seperti mana wanita lain, Jacinda juga terpaksa membahagikan masa di samping membina kerjaya. Malah, beliau mencatat sejarah sebagai individu pertama membawa bayi menghadiri Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu pada September 24, 2018 sempena Nelson Mandela Peace Summit.

Bayi comel yang diberi nama Neve Te Aroha – ‘Aroha’ yang bermaksud ‘cinta’ dalam bahasa Maori, salah satu bahasa kebangsaan negara itu, menjadi simbol kasih sayang dan kebanggaan rakyat New Zealand.

siapa jacinda ardern

Foto Kredit: Mashable Asia

Sifat Kepimpinan & Kemanusiaan Yang Terserlah!

Banyak perkara yang boleh kita ambil iktibar daripada karakter beliau.

Malah,  Shaykh Dr. Yasir Qadhi dalam sebuah posting beliau di Facebook turut memuji tindakan Jacinda Ardern yang berjaya menanamkan rasa selamat dan menghentikan sikap rasisme serta meraikan nyawa setiap individu tanpa mengira warna kulit dan bangsa.

Semoga lebih ramai pemimpin dapat mencontohi sifat beliau!

 

Sumber: Britannica, Mashable Asia, IrishTimes.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×