Sihat

Selalu Rasa Diri Jadi Beban Orang, Ketahui Faktor Pencetus Bunuh Diri & Cara Rawatan Yang Betul

37
SHARES

Tindakan membunuh diri adalah perbuatan mengakhiri riwayat hidup dengan melakukan perbuatan yang menyakiti diri sendiri. Kes bunuh diri dilihat semakin meningkat saban tahun dan telah menjadi isu yang membimbangkan bukan sahaja kepada negara kita malah seluruh dunia. Individu dan masyarakat perlu cakna mengenai perasaan ingin bunuh diri, cara mengatasinya dan bagaimana memainkan peranan untuk membantu dan menegah seseorang yang berkeinginan menamatkan riwayat hidup mereka. Menerusi laman Twitter Dr. Rozanizam Zakaria, beliau telah  berkongsikan berkenaan topik bunuh diri yang semakin meruncing.

FAKTOR PENYUMBANG GEJALA BUNUH DIRI

Rasa terasing yang dirasakan seseorang berbeza namun boleh juga berpunca akibat kurangnya interaksi antara individu dengan khalayak mahupun insan terdekat iaitu keluarga atau sahabat handai. Hal ini mengakibatkan rasa sunyi dan rasa ‘sendiri’ dengan anggapan tiada sesiapa yang mampu memahami ataupun memerlukan mereka. Punca lain yang mendorong seseorang ingin mengakhiri hidup mereka juga adalah kerana merasakan diri beban kepada orang lain, mereka yang bertekad membunuh diri merasakan seperti mereka lebih banyak memberikan masalah daripada menjadi orang yang memberi bantuan. Apa yang dikhuatiri adalah apabila mereka mula merasakan seolah-olah mereka tidak berguna kepada sesiapa sekaligus berfikiran bahawa kehadiran dan kehidupan mereka tidak bererti atau bermakna. Kiriman tersebut turut mengingatkan untuk saling menyebarkan mesej seperti anda tidak sendirian dan anda bukan beban.

SEPTEMBER ADALAH BULAN PENCEGAHAN BUNUH DIRI

Dr Rozanizam juga turut berkongsikan infografik daripada RealDepressionProject berkenaan September Bulan Pencegahan Bunuh Diri. Infografik tersebut menyatakan lebih dari 800,000 individu membunuh diri dalam setahun dan bahawa tangga kesepuluh penyebab kematian terbesar adalah membunuh diri. Selain itu, pencetus kepada berlakunya kes bunuh diri adalah kerana isolation (terasing) dan juga merasakan diri sendiri sebagai beban. Infografik tersebut turut menegaskan bahawa menyuarakan keinginan membunuh diri bukanlah mencari perhatian (attention seeking) dan mengalami masalah kesihatan mental juga sama sekali tidak menandakan seseorang itu lemah.

MERAWAT KEINGINAN MEMBUNUH DIRI

1. MELUAHKAN KEPADA INSAN TERSAYANG ATAU YANG DIPERCAYAI

Berkongsi dan bercerita kepada insan tersayang dan boleh dipercayai, luahkan kepada mereka yang anda kenali dan mengenali anda dengan mendalam supaya anda berasa lebih tenang, lega dan boleh mendapatkan nasihat daripada mereka. Berbincanglah secara terbuka dan jujur mengenai masalah anda.

2. MENDAPATKAN SOKONGAN PIHAK PROFESIONAL

Selain mendapatkan sokongan daripada keluarga, rakan, anda juga boleh mendapatkan bantuan dengan bersemuka atau menghubungi pihak kaunseling bagi membantu anda mengatasi hasrat membunuh diri. Tanya doktor atau ahli psikologi anda mengenai cara untuk mendapatkan sokongan tambahan. Mereka boleh mengesyorkan kumpulan sokongan misalnya kumpulan terapi. Mereka ungkin juga mempunyai cadangan untuk mendapatkan bantuan bersesuaian untuk anda.

3. KENALI TEKANAN YANG DIRASAKAN DAN MENULIS JURNAL

Kenali dan fahami situasi yang membuatkan anda berasa tertekan dan bagaimana anda mengatasinya. Mulakan menulis dan menyimpan jurnal untuk membantu anda memahami dan mengurus perasaan anda

4. LAKUKAN AKTIVITI FIZIKAL DAN BERGAUL DENGAN KUMPULAN YANG SESUAI

Cari cara untuk menghilangkan tekanan seperti aktiviti fizikal atau bercakap dengan rakan serta bergaul dengan mereka yang bukan dalam kemurungan dan berkeinginan membunuh diri.

Membunuh diri akan meninggalkan impak ke atas mereka yang menyayangi kita, sesungguhnya masih ramai yang menyayangi anda.

Sumber : Dr. Rozanizam Zakaria 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×