Sekolah tutup akibat jerebu tidak menghalang seorang guru Pemulihan Khas, Mohammad Alif Rahman, daripada meneruskan tanggungjawab mendidik anak muridnya.
Demi memastikan anak murid tidak tercicir dalam pelajaran, guru yang mesra disapa Cikgu Alif itu sanggup berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka.
Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Otak Gegar Akibat ‘Hair Clip’, Kepala Cedera & Masih Sakit Selepas 2 Tahun!
SEKOLAH TUTUP AKIBAT JEREBU, CIKGU ALIF AJAR DI RUMAH ANAK MURID

Inisiatif yang dilakukannya di sekitar kawasan sekolah itu mendapat perhatian orang ramai selepas Cikgu Alif berkongsi video ketika mengendalikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kediaman murid-muridnya menerusi media sosial.
Cikgu Alif, 40, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mas, mengambil pendekatan tersebut bagi membantu 15 orang murid Pemulihan Khas yang memerlukan bimbingan tambahan dalam pembelajaran.
Walaupun menetap di Jasin, Melaka, jarak tidak menjadi penghalang buatnya untuk turun padang dan memastikan anak didiknya terus mendapat perhatian sepanjang tempoh penutupan sekolah.
Menurut Cikgu Alif, usaha mengunjungi rumah murid bukanlah perkara baharu kerana dia pernah melakukan pendekatan serupa ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Baginya, setiap guru mempunyai kaedah tersendiri untuk memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan dalam situasi luar jangka, termasuk ketika sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu.
Dia memilih untuk mengajar secara bersemuka kerana sudah mengenali latar belakang murid serta keluarga mereka. Kebanyakan murid tinggal di kawasan kampung dan berdepan kesukaran mendapatkan akses Internet yang stabil untuk mengikuti kelas dalam talian.
Justeru, dia mengambil inisiatif hadir sendiri ke rumah mereka bagi memudahkan sesi pembelajaran serta memastikan murid terus mendapat bimbingan yang diperlukan.
Usaha itu juga dilakukan dengan pengetahuan dan kebenaran pihak pentadbiran sekolah, khususnya guru besar, Aizah Ghazali, yang banyak memberikan inspirasi kepadanya.
Luangkan 15 Minit di setiap rumah

Sebelum memulakan kunjungan, Cikgu Alif terlebih dahulu menghubungi ibu bapa bagi menerangkan inisiatif berkenaan dan mendapatkan persetujuan mereka.
Dia turut menyesuaikan waktu lawatan mengikut kelapangan keluarga. Sekiranya ibu bapa tidak dapat menerima kunjungan pada waktu pagi, sesi pembelajaran akan dilakukan pada sebelah petang.
Setiap lawatan mengambil masa kira-kira 15 minit bagi membolehkannya memberikan perhatian kepada setiap murid yang dikunjungi.
Dalam masa sama, Cikgu Alif turut menghormati privasi keluarga dengan meminta kebenaran sebelum memulakan sesi pembelajaran. Kebiasaannya, dia memilih untuk mengajar murid di luar rumah, kecuali jika keluarga menyediakan tempat yang sesuai.
Baginya, tujuan utama kunjungan tersebut adalah untuk membantu anak didik meneruskan pembelajaran, bukannya mengharapkan layanan daripada keluarga yang diziarahi.
Sumber: Harian Metro & TikTok Alif Rahman
