Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Izz Imil Shahrom mencipta sejarah dengan menjadi pelajar termuda yang telah mendaftar masuk ke Universiti Malaya sejak penubuhannya pada tahun 1962 hari Sabtu lepas.
Menurut Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di Universiti Malaya.
BUDAK GENIUS USIA 12 TAHUN DAFTAR MASUK UNIVERSITI MALAYA!
Perkembangan itu dikongsi oleh seorang pengguna facebook bernama Fatimah Binti Kari sekaligus tular sehingga menjadi bualan netizen di laman sosial.
Menurut Fatimah, adik Izz Imil yang selesai mendaftar masuk pada hari Sabtu lepas merupakan seorang pelajar yang genius dan telah mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Malaya. Ini juga merupakan salah sebuah universiti terbaik Malaysia!
Sebelum itu, Izz Imil pernah menuntut di Kolej Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (KPPN UKM) pada usia 6 tahun dan telah belajar subjek Tingkatan 1! Malah, beliau juga telah mengambil O-Level pada usia 8 tahun dan A-Level ketika berumur 11 tahun.
Untuk pengetahuan orang ramai, KPPN UKM merupakan program khas yang pertama di Malaysia untuk murid yang mempunyai potensi intelek semula jadi yang tinggi.
Sudah semestinya perkongsian tersebut dibanjiri dengan komen netizen yang turut menyamakan Iz Imil dengan Young Sheldon Cooper, iaitu watak fiksyen dalam sitkom Amerika ‘The Big Bang Theory’ tapi Izz adalah versi Muslim. Hebat!
*Dalam satu kenyataan di laman media sosial Universiti Malaya, orang ramai diminta untuk menjaga privasi kanak-kanak ini supaya beliau dapat fokus dalam pengajian. Ini merupakan aset negara yang perlu dilindungi bagi menjamin masa depan yang cerah. Selamat berjaya Izz Imil!
Baca juga: Terkenal Dengan Karakter ‘Nakal’, Rupanya Ini 7 Sifat Lain Anak Kedua Yang Ramai Tak Sangka!
Sumber: Sinar Harian, Universiti Malaya