Pernahkah anda berasa diri atau ruang sekeliling berpusing-pusing, walaupun ketika itu anda dalam kedudukan statik? Jika ya, inilah vertigo. Vertigo bukanlah sejenis penyakit, tetapi satu gejala yang terjadi sekiranya terdapat gangguan pada mekanisme keseimbangan badan manusia.
Ada dua jenis vertigo iaitu vertigo sentral (berpusat) dan vertigo periferi. Vertigo sentral terjadi akibat migrain, penyakit sclerosis, strok dan tumor manakala vertgigo pereferi pula terjadi apabila terdapat gangguan sistem di bahagian dalam telinga dan menyebabkan otak menjadi keliru.
Baca juga: 13 Jenis Ubat Kena ‘Standby’ Di Rumah Kalau Alami Gejala Ringan Covid-19
ADA UBAT YANG BOLEH MENYEBABKAN VERTIGO?
Terdapat kesan sampingan ubat yang boleh menyebabkan vertigo. Antaranya adalah:
- Antibiotik – kumpulan aminoglikosida, makrolida dan sulfamethoxazole.
- Antikonvulsan – levetiracetam dan phenytoin.
- Antiradang – celecoxib, naproxen dan prednisolone.
- Antiviral – oseltamivir.
- Ubat kardiovaskular – nifedipine, frusemide dan glyceryl trinitrate.
CARA MERAWAT VERTIGO
Terdapat dua kaedah rawatan untuk vertigo iaitu rawatan menggunakan ubat-ubatan dan bukan ubat-ubatan.
Rawatan vertigo berpusat bergantung kepada punca masalah tersebut. Sebagai contoh, sekiranya vertigo terjadi disebabkan oleh penyakit migrain, maka rawatan serangan akut dan pencegahan migrain diperlukan bagi memberikan kelegaan yang segera dan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain.
Bagi masalah vertigo periferi pula, terdapat dua kategori ubat yang digunakan untuk menghilangkan gejala vertigo, iaitu ubat perencat vestibular dan ubat antiemetik.
Ubat perencat vestibular yang utama adalah antihistamin dan benzodiazepine. Ubat-ubat ini hanya boleh diambil apabila gejala vertigo muncul. Sekiranya ubat-ubat ini diambil secara berterusan, ia boleh menghalang proses adaptasi semula jadi otak terhadap input vestibular yang baru, seterusnya memburukkan lagi tahap gejala.
Antara contoh ubat antihistamin adalah dimenhydrinate dan diphenydramine. Ubat-ubatan ini merencatkan aktiviti neurotransmitter histamin, seterusnya mengurangkan tahap keterukan vertigo dan mabuk gerak (motion sickness). Mulut kering, mengantuk dan sakit kepala adalah antara kesan sampingannya.
Benzodiazepine pula menggalakkan aktiviti neurotransmitter perencat asid amino butirik Gamma (GABA) di dalam sistem vestibular. Ia juga mampu mengurangkan gejala keresahan yang sering berlaku semasa serangan vertigo. Kesan sampingan benzodiazepine adalah mengantuk, gangguan pada koordinasi badan dan memori.
Sekiranya pesakit mengalami vertigo setelah pengambilan ubat-ubatan ini, jangan terus berhenti makan ubat tersebut tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi. Segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan dapatkan nasihat agar kesan sampingan dapat diatasi serta pemilihan ubat yang lebih sesuai dapat diberikan kepada pesakit.