Tindakan di luar jangkaan seorang datuk saudara yang menjadikan bumbung rumahnya sebagai ruang parkir sementara dua buah keretanya, telah mengundang perhatian ramai.
Melalui laporan berita tempatan, tindakan tersebut diambil berikutan tiada ruang untuk memasang khemah kenduri kahwin cucu saudaranya yang berlaku di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam di sini.
Baca juga: [VIDEO] Upin & Ipin Pikat Hati Murid-Murid Di Korea Selatan, Sampai Tahu Dah Dialog “2 Singgit!”
RUANG PARKIR ATAS BUMBUNG RUMAH
Awang Ali Abdullah, 64, nekad meletakkan Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung dengan menggunakan kren sambil dibantu anak saudaranya yang lain, Khamis lalu.
Bukan itu sahaja, bumbung rumahnya juga dibuat dengan binaan konkrit.
“Saya tak sangka benda ini akan ditularkan di media sosial kerana niat saya hanya nak ‘parking’ sementara dua kereta atas bumbung rumah untuk pasang khemah majlis kenduri semalam.
“Dengan hanya 30 minit, dua kereta itu berjaya diangkat naik di atas bumbung konkrit dan tak sangka ada yang merakam video dan menularnya sehingga ramai orang datang untuk bergambar.
“Ada yang datang dari jauh termasuk dari Pulau Pinang hanya untuk mengambil gambar kereta Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung rumah saya ini,” katanya.
Awang Ali berkata, kenduri yang dihadiri lebih 1,500 tetamu semalam juga bertukar meriah apabila kebanyakan tetamu tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan berlatarkan dua kereta miliknya di atas bumbung rumah.
Baca juga: “Sebelum Tambah Anak, Tambah Bilik Dulu” Jangan Aniaya Zuriat Kalau Hak Ini Tak Mampu Disediakan!
Baca juga: Ini 10 Tanaman Bunga Renek Tahan Panas & Cuaca Kering, Tak Cepat Mati Memang ‘Kebal’!
Dua buah kereta tersebut akan dibiarkan untuk beberapa tempoh untuk orang ramai merakam gambar
Katanya, disebabkan itu dia bercadang untuk membiarkan dua kereta itu di atas bumbung rumahnya dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi untuk memberi peluang orang ramai merakam gambar.
“Dua kereta itu masih boleh digunakan dan saya menggunakan kedua-duanya sejak lebih 10 tahun lalu dan semuanya masih dalam keadaan baik.
“Saya pun terkejut bila anak-anak saudara tunjuk video yang sudah tular di Tik Tok dan tak sangka video itu mendapat tontonan ramai,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi itu oleh kru TV3 semalam mendapati, ramai ahli keluarga dan penduduk berhampiran datang ke rumah Awang Ali untuk melihat keadaan dua kereta itu yang masih berada di atas bumbung konkrit berkenaan.
Hanya kerana tiada ruang untuk memarkir dua kereta kerana hendak memasang khemah kenduri cucu saudaranya, seorang penduduk di Kampung Matang Bonglai Kechil, Ayer Hitam di Jerlun, nekad meletakkan Perodua Kancil dan Proton Saga di atas bumbung rumahnya. pic.twitter.com/reQZ4BBLZ6
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 3, 2024
Sumber: Buletin TV3
FT Image: Buletin TV3