Peminat drama China atau C-Drama pasti perasan ada satu minuman istimewa iaitu Osmanthus milk (susu Osmanthus) yang sering dihidangkan oleh watak Luke buat kekasihnya, Flora dalam The Early Spring.
Minuman berasaskan susu dan bunga osmanthus itu memberikan warna keemasan dan aroma bunga yang tersendiri, sehingga membuatkan peminat C-Drama ingin mencubanya!
Baca juga: Stresnya Ketuk-Ketuk Tak Keluar! Ini 7 Petua Elak Serbuk Lada Berketul & Keras Dalam Botol
OSMANTHUS MILK, MINUMAN ISTIMEWA LUKE DALAM THE EARLY SPRING

Tangkap layar Instagram @munchilin
Babak Luke menyediakan atau menghidangkan minuman tersebut membuatkan ramai peminat terliur, apatah lagi apabila ia sering menjadi antara momen manis pasangan berkenaan dalam drama.
Kalau anda pun tertanya-tanya bagaimana nak hasilkan Osmanthus milk seperti dalam drama tersebut, rupanya resipi ini boleh dibuat sendiri di rumah menggunakan bahan yang mudah didapati.
Menerusi hantaran Instagram @munchilin, pemilik akaun tersebut berkongsi cara menyediakan sirap bunga osmanthus homemade yang menjadi ramuan utama minuman berkenaan.
Menariknya, sirap ini boleh disimpan dalam balang kaca dan dicampurkan ke dalam susu pilihan mengikut tahap kemanisan yang disukai. Jom cuba resipi minuman ala Luke ini!
Bahan-bahan sirap bunga osmanthus homemade:
- 1 cawan air
- 1 cawan gula perang cerah (light brown sugar)
- 2½ sudu besar bunga osmanthus kering
- 1 sudu besar madu
Bahan lain:
- Susu pilihan secukupnya

Tangkap layar Instagram @munchilin
Cara penyediaan sirap bunga osmanthus homemade:
- Masukkan air dan gula perang cerah ke dalam periuk. Panaskan sehingga gula larut sepenuhnya dan sirap mula memekat sedikit.
- Masukkan bunga osmanthus kering, kemudian biarkan ia mereneh menggunakan api kecil selama kira-kira tiga minit.
- Tutup api dan biarkan sirap sejuk selama lebih kurang 15 minit.
- Tuangkan sirap ke dalam balang kaca yang bersih, kemudian masukkan satu sudu besar madu dan kacau sehingga sebati.
Cara penyediaan Luke’s Osmanthus Milk
- Tuangkan sirap bunga osmanthus mengikut tahap kemanisan yang disukai ke dalam gelas kaca.
- Sapu ia di sekeliling gelas.
- Kemudian masukkan susu pilihan anda.
Siap! Kini anda boleh menikmati minuman ala Luke di rumah tanpa perlu bersusah payah mencari di kafe.
TIP HASILKAN SUSU INI YANG WANGI DAN SEDAP
Menurut perkongsian @munchilin, penggunaan gula perang cerah membantu menghasilkan warna keemasan yang cantik pada sirap, manakala madu pula memberikan lapisan rasa manis tambahan.
Gabungan tersebut menjadikan minuman bukan sahaja menarik dari segi penampilan, malah mempunyai aroma bunga yang lembut.
Untuk menikmati Osmanthus milk yang menyegarkan, anda boleh menggunakan susu pilihan sendiri sama ada susu segar atau alternatif berasaskan tumbuhan.
Jumlah sirap juga boleh disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing. Jika suka rasa bunga yang lebih lembut, gunakan sedikit sirap terlebih dahulu sebelum menambahnya mengikut kesesuaian.
Jadi, bolehlah cuba resipi ini sebagai teman menonton episod kegemaran anda. Mana tahu, terasa seperti sedang menikmati minuman istimewa yang disediakan Luke buat Flora!
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram @munchilin
FT Image: Instagram @munchilin yang dijana semula Gemini AI
