Dapur

Resepi Pizza Ekspres Paling Mudah Tanpa Uli, Tanpa Oven. 5 Bahan Je!

887
SHARES

Teringin makan pizza tapi malas nak buat? Takut tak cukup masa? Takut doh pizza tak jadi? Lepas tu penat pulak nak kemas dapur kan sebab messy.

Apa kata cuba resepi pizza yang paling senang dan cepat guna roti je. Kata tuan punya resepi, Puan Nina Nuar, beliau dah cuba buat beberapa kali memang puas hati sebab masih lembut walaupun dah sejuk.

Jom kita tengok resepi beliau selengkapnya di bawah ini.

Resepi Pizza Mudah, Sedap & Cepat. Tanpa Uli, Tanpa Oven

Resepi ni sesuai bagi yang nak piza segera tanpa uli gandum dan tunggu doh naik. Dah beberapa kali saya buat. InshaAllah walau pizza dah sejuk, masih lembut.

Bahan-bahan ini biasanya yang sedia ada di rumah.

Bahan-bahan

Hanya guna 5 bahan ni je. Simple sangat.

  • Roti – 8 keping (kalau suka pizza nipis)
    Roti 10 keping (saya guna yang ni sebab suka pizza tebal)
  • Susu segar sedikit (agak-agak, tak sukat). Farm fresh pun boleh. Tapi di kedai dah habis, saya beli Dutch Lady.
  • Sardin (brand ni saya guna 2/3 sahaja, ada baki simpan).
  • Sos Tomato (lupa letak gambar, saya guna brand Life)
  • 3 keping keju (boleh apa-apa keju lain)

Cara-cara

Ini langkah membuatnya:

1. Sediakan Loyang

Mula-mula sapu marjerin secukupnya pada loyang yang nak digunakan.

Loyang ni saya ukur 9.5 inci. Kalau loyang besar dari tu, roti dan bahan lain kena lebihkan sikitlah ya.

2. Blend Roti

Kemudian blendkan roti dalam pengisar.

Saya guna pengisar daging (food processor) ni lagi senang. Guna blender biasa takut tak jadi.

Kena bubuh susu secukupnya bagi blender tu jalan. Jangan lebih sangat nanti lembek jadi lempeng pulak.

Saya blend 5 roti dalam ni. So buat 2 kali jalan.

Blend kan sampai dapat macam ni. Tak lembek, tak keras.

3. Ratakan Atas Loyang

Keluarkan roti yang dah blend tadi dan ratakan atas loyang macam ni.

Resepi pizza mudah

4. Bubuh Sos & Topping

Seterusnya bubuh sos tomato dan sos daripada sardin tu.

Sos sardin tu maksudnya yang dalam sardin tu. Nanti isinya hancurkan dalam bekas lain.

Taburkan isi sardin rata-rata ikut banyak mana kita suka. Kalau banyak lagi sedap.

Resepi pizza mudah

Kemudian taburkan keju ikut suka. Saya guna 3 keping dipotong panjang.

5. Bakar

Akhir sekali bolehlah bakar. Cara nak bakar tu guna tungku macam ni je atas dapur gas. Terbalikkan. Macam oven tradisional.

Tak perlu letak air, nanti jadi steamer pulak.

Saya tak panaskan dulu. Kalau nak panaskan dulu pun boleh.

Guna api perlahan dan tutup kuali. Biarkan dalam 45-60 minit. Bawah 45 minit pun masak juga, tapi saya suka garing sikit.

Siap!

Tunggu suam sikit baru potong. Kalau potong masa panas kena betul-betul mahir dan hati-hati sebab pizza boleh hancur berderai.

Ni pizza tebal, kalau tak suka tebal macam ni boleh guna 8-9 keping roti pun dah cukup.

Kalau nak panaskan balik, guna api kecil dan biarkan 5-10 minit atas kuali macam tadi.

Selamat mencuba.

Nota:

i) Topping boleh guna / tambah / tukar yang lain. Sosej, ayam, daging, tuna, nenas, bawang, cili besar.

ii) Garam dan gula tak perlu. Roti dah manis. Susu segar dan keju dah masin.

 

*Resepi pizza mudah ini dikongsikan oleh Nina Nuar menerusi Facebook. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×