Dapur

Cara Goreng Paru Supaya Rangup & Tak Liat. Nak Ratah Boleh, Buat Sambal Lagi ‘Power’

17K
SHARES
resepi paru

“Sesekali makan paru goreng sedapnya lah… Sayangnya kat kedai tadi dah tinggal sikit je. Kalau pandai masak sendiri mesti puas meratah.”

Mungkin tak ramai yang biasa masak paru di rumah, kan? Selalunya jumpa paru goreng ni di kedai makan berlauk memang cepat je habis. Rasa tak puas nak meratah. Lebih-lebih lagi yang rangup di luar dan lembut di dalam. Tak sedar boleh habis sepinggan!

Sebenarnya ada cara nak dapatkan tekstur paru goreng yang krup krap krup krap. Semua cukup rasa, lembut dan tak terlalu kenyal. Mari kita tengok cara goreng paru yang dikongsikan oleh Puan Sazila ini.

Cara Goreng Paru Supaya Rangup, Lembut & Tak Liat

Berikut adalah langkah yang betul untuk dapatkan tekstur paru goreng yang sedap.

1. Cuci

Mula mula kena cuci bersih dulu. Seeloknya cuci dengan limau supaya dapat hilangkan bau hanyir.

2. Rebus

Selepas dah basuh, kita rebus dulu sampai masak. Kadang-kadang kalau goreng terus, satu kuali akan meletup-letup.

Yang meletup tu selalu bahagian kulit dia. Sebab tu kena rebus dulu. InshaAllah tak meletup.

Satu lagi tips ialah rebus dengan garam dan asam keping. Dengan cara ini, tekstur paru lebih rangup dan baunya pun kurang hanyir.

3. Hiris Nipis

Kemudian hiris paru yang dah direbus tadi nipis-nipis.

4. Gaulkan Dengan Garam & Kunyit

Seterusnya bolehlah marinate dengan garam dan kunyit macam biasa.

5. Goreng

Lepas tu goreng dalam minyak panas. Mula-mula akan ada banyak buih macam dalam gambar di bawah ni.

resepi paru

Kalau nak tau paru tu dah ranggup, kita boleh nampak buih-buih dah berkurangan macam dalam gambar bawah ni.

Jadi bila buih yang besar-besar tu dah hilang dan tinggal buih-buih halus, maksudnya dah boleh angkat.

Kalau buih dah tak ada langsung tu maksudnya dah rentunglah tu. Jadi jangan tunggu lama sangat takut nanti terlebih masak dah tak sedap pula.

Siap!

Siap untuk diratah macam keropok atau dibuat sambal.

Resepi Paru Sambal Mudah

Bagi yang suka sambal, ini ada resepi paru sambal yang sangat mudah.

Bahan-bahan

  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Belacan
  • Lengkuas
  • Halia
  • Cili kering

Cara-cara

Caranya mudah saja.

Mula-mula blender semua bahan dan tumiskan sampai pecah minyak.

Kemudian perasakan dengan air asam jawa, garam, gula dan perasa tambahan ikut suka.

Kalau masak paru sambal stail saya, lebihkan sikit gula. Bagi rasa manis-manis pedas. Sedap!

Bila dah siap sambal tu bolehlah masukkan paru yang kita goreng tadi.

Gaulkan sekata.

Dah siap.

Mudah Kan? Berbaloi Masak Sendiri

Lepas ini bolehlah cuba goreng sendiri di rumah. Memang puas hati bila masak sendiri. Tak percaya, cubalah. Tak sedar sepinggan pun boleh habis diratah macam tu aja.

Selamat mencuba!

 

*Cara goreng paru dan resepi paru sambal ini disumbangkan oleh Puan Sazila. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×