“Alahai, hujan-hujan macam ni bestnya kalau dapat makan claypot panas-panas.”
Masakan claypot tentu ada peminatnya tersendiri. Aromanya agak unik dan lebih kepada citarasa ala Cina. Berbeza dengan masakan berlauk hidangan Melayu yang biasa. Sesekali, seronok juga ubah selera, bukan?
Dalam kesempatan ini, kami ingin berkongsikan sebuah resepi istimewa daripada Puan Yuya Zainal. Resepi beliau cukup simple, hanya menggunakan rice cooker. Yalah, bukannya ramai yang ada periuk claypot di rumah. Insha Allah dengan resepi ini pun anda boleh melepaskan rindu atau ‘teringin’ untuk makan masakan ala claypot di rumah.
Yang lagi seronok, masa penyediaan dan memasaknya hanya lebih kurang 20 minit. Dah siap terus boleh makan dengan cili potong. Terbaik!
Jom kita tengok resepi Nasi Ayam Cendawan Ala Claypot ini selengkapnya.
Resepi Nasi Ayam Cendawan Ala Claypot Mudah Dengan ‘Rice Cooker’
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk 2-3 orang makan:
- 2 cawan beras
- isi ayam dipotong kecil
- cendawan shitake 3 biji (kalau guna yang jenis kering pastikan rendam dulu dengan air panas hingga lembut)
- 3-4 ulas bawang putih parut
- 1 inci halia parut
- 1 sudu besar kicap pekat
- 2 sudu besar sos tiram
- 1-2 sudu besar kicap manis
- 1 sudu kecil kicap cair masin
- 1/2 kiub ayam atau 1 sudu besar stok ayam pekat
- 1 sudu besar minyak bijan
Bahan hiasan:
- daun bawang
- bawang putih rangup
- cili padi potong dengan kicap cair
Cara-cara
Ini cara membuatnya, ringkas saja.
1. Perap Ayam
Dalam satu bekas berasingan, perapkan ayam dengan semua sos tiram, kicap pekat, kicap cair masin dan kicap manis. Ketepikan dan biarkan seketika.
2. Masak Nasi
Kemudian, boleh mula masak nasi seperti biasa dan tunggu hingga nasi hampir kering.
4. Masukkan Ayam Perapan & Tunggu Hingga Masak
Bila agak-agak nasi hampir kering (masih dalam mode cook, bukan warm) tuang ayam dengan cendawan yang diperap tadi. Lebihan air sos dan kicap perapan pun masukkan sekali. Kemudian tutup semula periuk nasi.
Seeloknya potong ayam kecil sedikit supaya cukup masak. Kalau terpotong ayam besar-besar ayam dan risau tak cukup masak, boleh tumiskan dulu ayam tersebut bersama cendawan selama lebih kurang 3 minit.
5. Tabur Daun Bawang & Minyak Bijan
Sebaik saja rice cooker dah bertukar kepada mode warm, gemburkan nasi dengan garfu. Kemudian, taburkan daun bawang dan minyak bijan.
Kalau nak lembut berkuah (nasi lembik-lembik sedikit) boleh tambahkan air rendaman cendawan tadi. Sedap!
6. Siap Untuk Dihidang
Beginilah hasilnya lepas digemburkan.
Akhir sekali, hidangkan panas-panas dengan cili potong dan kicap cair.

Selepas
Wah, Aromanya Saja Dah Cukup Membangkitkan Selera
Mudah kan nak buat nasi ayam cendawan ala claypot ni? Selalunya buat nasi ayam biasa, kali ini bolehlah hidangkan sedikit kelainan untuk keluarga.
Selamat mencuba!
*Resepi Nasi Ayam Cendawan Ala Claypot ini adalah sumbangan Puan Yuya Zainal dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan boleh rujuk resepi asal di SINI.