Dapur

Resepi Butter Chicken Original Dari India, Boleh ‘Adjust’ Pedas & Cecah Roti!

13
SHARES

Buat penggemar hidangan butter chicken di luar sana, apa kata kali ini anda cuba resepinya yang lain dari lain, di mana ia dipelajari dari sumber resepi yang berasal dari negara India.

Melalui perkongsian yang dibuat oleh Puan Siti Hazneza Abdul Hamid, resepi butter chicken ini bukanlah seperti yang dia sangka seperti udang goreng mentega yang ada repui-repui emas itu. Rupa-rupanya lain sekali!

Tekstur kuahnya yang pekat ini, bukan sahaja boleh dimakan bersama nasi bahkan boleh dicecah bersama roti Benggali, capati, roti bakar atau torttila. Menarik bukan? Jom cuba!

Baca juga: Resepi Portuguese Toast, Manis Berlemak Keju & Boleh ‘Adjust’ Rasa!

BUTTER CHICKEN TEKSTUR PEKAT, BOLEH JUGA CECAH ROTI

Gambar: Kuah pekat-pekat panas-panas, nasi mana nasi? Jom.

Jom kita ke India. Banyak restoran India pasti menghidangkan Butter Chicken (ayam mentega).

Dulu saya bayangkan Butter Chicken ni macam udang goreng mentega yang ada repui-repui emas tu. Rupa-rupanya lain sekali.

Resipi yang saya guna adalah daripada Chef Sanjay Thumma dari siaran Vah Reh Vah. Ada di YouTube. Jika tengok tahap comot buku resipi, boleh percaya bahawa sudah banyak kali saya buat resipi ni.

Buku resipi sejak awal perkahwinan. Sudah lebih daripada sepuluh tahun. Boleh tiru jika boleh baca tulisan cacing kerawit saya.

Cuma hari ini saya ganti krim dengan santan kerana lebih murah dan ada di rumah. Jika tidak mahu Butter Chicken merah, boleh ganti dengan cili muda (hijau) dan cili padi hijau. Sedap juga.

Jika buat untuk kanak-kanak, boleh abaikan terus cili jadi rasanya hanya berempah tetapi tidak pedas (spicy not hot).

Saya suka makan Butter Chicken dengan nasi. Maklumlah, perut Melayu.

Tetapi kuahnya yang pekat sedap sangat dicecah roti Benggali. Apatah lagi jika roti tu dibakar sedikit. Bakar kosong sahaja tanpa mentega/ marjerin. Ada rasa yang dikeluarkan.

Boleh ganti ayam dengan ikan atau udang. Untuk rakan-rakan vegetarian, boleh gantikan ayam dengan tempe atau tauhu.

Saya rasa daging merah seperti lembu, kambing atau kerbau kurang menyerlah rasa dimasak ‘Butter Chicken’ ini kecuali digandakan rempah-ratusnya.

Kuahnya sahaja boleh digunakan sebagai sos perap. Selamat mencuba.

Siti Hazneza binti Abdul Hamid. Penerangan pada setiap gambar.

RESEPI BUTTER CHICKEN DARI INDIA BERKUAH PEKAT LIKAT!

LANGKAH 1 – BAHAN-BAHAN PERAPAN AYAM:

  • ½ ekor ayam – potong comel.
  • 1 sudu makan serbuk cili.
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar.
  • 1 sudu makan halia-bawang mesin.
  • 1 sudu teh garam.

CARA-CARA:

1. Gaulkan rata dan goreng sehingga ¾ masak.

2. Ayam yang sudah digoreng ¾ masak, rehatkan sekejap.

Jaga-jaga jangan sampai ada kucing kepala hitam yang ambil.

LANGKAH 2 – BAHAN KUAH BUTTER CHICKEN:

  • 1 biji bawang besar – dadu.
  • 1 biji tomato – dadu.
  • 5 – 10 biji gajus.
  • 2 sudu teh biji jintan putih.

CARA-CARA:

Tumiskan bahan-bahan tadi. Boleh guna minyak gorengan ayam.

LANGKAH 3 – BAHAN TAMBAHAN LAIN:

  • 4 sudu makan halia-bawang mesin.
  • 1 sudu makan serbuk cili (atau lebih jika mahu lebih pedas).
  • 3 – 5 tangkai cili padi hijau (saya tak masukkan sebab anak kecil tidak tahan pedas).
  • 2 sudu makan serbuk ketumbar.

CARA-CARA:

1. Masak sehingga garing. Kacau supaya tidak hangit.

Rempah yang ditumis kering membebaskan rasa yang berbeza daripada rempah yang ditumis selepas digaul dengan air.

Cuma kena hati-hati apabila menumis kering sebab mudah melekat dan hangit. Guna api kecil.

2. Masak sampai garing dan pecah minyak.

3. Masukkan secawan air.

Buat tak nampak saja ya mulut cawan yang berlekuk-lekuk; itu kerja anak saya letak cawan plastik dalam kuali.

4. Kacau-kacau supaya rempah yang melekat akan sebati dengan air.

Bahagian rempah yang garing (bukan hangit) ini sangat berperisa dan tidak pahit.

5. Apabila sudah masak, masukkan dalam blender dan kisar halus.

6. Panaskan 2 sudu makan mentega/ marjerin dalam periuk yang sama.

7. Masukkan bahan kisar tadi.

8. Tambah 4 sudu makan tomato puree/ sos tomato.

9. Masukkan ayam yang digoreng ¾ masak tadi.

Semasa direhatkan, ada jus ayam yang akan keluar, tuang sekali ke dalam periuk.

10. Masukkan ½ cawan santan/ krim.

Saya masukkan terus kerana santan saya beku. Jika santan/krim suhu bilik, biar ayam masak dahulu sebelum ditambah santan/krim.

11. Renihkan sehingga masak.

LANGKAH 4 – BAHAN TABURAN:

  • 1 sudu teh garam masala.

Boleh guna apa-apa jenis rempah juga untuk mudah misalnya rempah briyani, kurma atau sup.

  • 2 sudu teh daun halba (kasoori methi).

Daun halba ini yang memberikan bau dan rasa Butter Chicken. Namun begitu jangan letak terlalu banyak kerana akan mengganggu rasa. Daun ini boleh dibeli dari kedai-kedai India/ India Muslim.

1. Apabila santan/krim sudah sebati dan warna kuah jadi matang dan cantik, tambah garam masala dan daun halba.

2. Cara hendak masukkan daun halba, geselkan antara dua tapak tangan sambil dijatuhkan ke dalam periuk.

Geselan pada tangan kita akan membebaskan rasa dan baunya sambil menjadikan daun kering halus.

BUTTER CHICKEN SEDIA UNTUK DIHIDANG!

Sedap dicecah dengan roti Benggali atau capati.

Jika rajin, bakar sedikit roti. Boleh juga dicecah dengan tortila/ wrap (roti belebat) yang siap dijual.

Sumber: Facebook Siti Hazneza Abdul Hamid via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×