Dapur

Cara Buat Ayam Percik Paling Simple & Sedap. Tak Payah Beli Lagi!

2.5K
SHARES

Setiap kali bulan puasa, mesti ada rasa teringin nak makan ayam percik. Tapi, kadangkala malas betul nak keluar ke bazar Ramadhan. Apa kata cuba buat sendiri di rumah dengan resepi ayam percik yang sangat senang ini.

Sebenarnya, ayam percik boleh dibuat sendiri di rumah dengan cara yang amat mudah. Bahkan, rasanya tetap tak kalah. Perkongsian resepi ayam percik ini adalah oleh Puan Juliana Jue. Mari kita ikuti selengkapnya.

Resepi Ayam Percik Paling Simple & Sedap

Seperti yang kita tahu, rahsia kesedapan ayam percik adalah pada perapan dan juga kuahnya. Ia boleh dimasak dengan cara membakar, panggang / grill, dan ada juga yang lebih suka menggorengnya. Setiap cara ini mempunyai keistimewaan rasanya yang tersendiri.

Walau apa pun, bahan asasnya adalah lebih kurang sama, dan anda boleh menggunakan kreativiti anda untuk menyesuaikannya dengan citarasa masing-masing.

Bahan-bahan

Bahan perapan:

  • Ayam seekor dipotong 4 (saya guna bahagian dada saja)
  • 5 ulas bawang merah*
  • 5 ulas bawang putih*
  • halia sebesar ibu jari*
  • sedikit garam

Bahan untuk kuah:

  • 1 cawan santan cair*
  • serai 4 batang*
  • halia besar ibu jari*
  • lengkuas besar ibu jari*
  • 20 tangkai cili kering* (rendam air panas dulu)
  • 1 cawan air*
  • gula 5 sudu makan
  • garam sedikit
  • 1 sudu makan bahan perasa (optional, saya guna Maggi Cukup Rasa untuk rasa manis-manis)
  • 2-3 butir asam keping
  • santan pekat (masukkan kemudian)

Cara-cara

1. Sediakan Bahan Perapan

Pertama sekali, tumbukkan semua bahan perapan bertanda * seperti yang disenaraikan di atas. Tumbuk kasar semua bahan tersebut dan perasakan dengan sedikit garam.

2. Perapkan 1 Jam

Kelarkan sedikit ayam supaya ia dapat menyerap bahan perapan. Lumur dan perapkan lebih kurang 1 jam atau lebih. Kalau lebih lama, lebih sedaplah rasanya.

Ayam yang diperap kali pertama

3. Sediakan Kuah

Sementara itu, kita boleh sediakan kuah. Ambil semua bahan yang bertanda * dan kisar dengan blender. Selepas siap dikisar, didihkan di atas pemanggang, kuali, atau periuk masakan anda.

Tambahkan 2-3 butir asam keping dan perasakan dengan gula, garam, dan perasa.

Menyediakan kuah ayam percik

4. Masakkan Ayam Yang Diperap

Seterusnya, ambil ayam yang diperap tadi dan masukkan ke dalam didihan kuah sehingga separuh masak.

5. Angkat Ayam & Perap Sekali Lagi

Selepas ayam agak-agak kecut sedikit / separuh masak, keluarkannya dan perapkan lagi sekali dengan sedikit kuah ini selama 1 jam atau lebih.

Sementara itu, lebihan kuah yang di atas kuali kita tambahkan dengan 1 cawan santan pekat. Masakkan semua biar mesra dan bila teksturnya dah cukup pekat, bolehlah tutup api.

resepi ayam percik

Ayam yang separuh masak diperap lagi sekali

6. Bakar / Goreng / Panggang Ayam

Akhir sekali, bolehlah dimasak ayam tadi mengikut cara yang anda suka. Tak kisahlah nak bakar dalam oven, panggang atas api, atau dimasak atas kuali leper asalkan ia masak sepenuhnya.

resepi ayam percik

7. Sedia Dihidangkan

Bila ayam dah masak sepenuhnya, hidangkan bersama kuah yang dibuat tadi. Nampak menyelerakan!

Mesti Cuba!

Kalau dah tahu resepi ayam percik ini, tak perlulah anda keluar dan membeli lagi.

Malah, bukan sekadar bulan Ramadhan saja, ia juga boleh dijadikan hidangan utama pada hari-hari istimewa.

 

*Resepi ayam percik ini adalah perkongsian oleh Puan Juliana Jue dan ianya diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk mengikuti lebih banyak resepi dan tips masakan, boleh follow beliau di sini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×