Sihat

Tumit Bukan Main Sakit Bila Bangun Pagi! 7 Perkara Tentang Plantar Fasciitis Kena Tahu

1.2K
SHARES

“Sejak akhir-akhir ni asyik sakit tumit je… Takkan tiba-tiba tak sesuai dengan kasut tu padahal dah lama beli. Apa nak buat ni? Nak kena pergi klinik ke atau boleh urut je?”

Mesti ramai antara kita yang pernah alami masalah sakit tumit ni. Biasanya sebab pakai kasut baru atau berdiri terlalu lamalah kan.

Menurut portal MyHealth, wanita adalah dua kali ganda lebih biasa mendapat sakit tumit berbanding lelaki.

Ia selalunya melibatkan lingkungan orang yang berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Atlet, tentera atau seseorang yang aktif  lebih cenderung mendapat sakit tapak kaki atau sakit tumit yang dikenali sebagai plantar fasciitis ini.

Tapi, adakah penyakit ini sementara saja dan apa yang boleh kita buat untuk membantu melegakan kesakitan yang dihadapi?

Jom baca lebih lanjut.

7 Perkara Perlu Tahu Tentang Plantar Fasciitis

1. Apakah Plantar Fasciitis?

Tahukah anda, tumit merupakan tulang terbesar dan ia adalah tulang paling penting antara 26 tulang yang berada pada bahagian kaki kita kerana ia berfungsi menyokong seluruh berat badan kita semasa berjalan, melompat atau berlari.

Fascia / tisu pada tapak kaki terdiri daripada jalur berserabut tisu tebal di bahagian tapak kaki.

Ia melapisi dari tumit ke pangkal jari kaki. Ia juga bertindak seperti getah untuk mewujudkan ketegangan dan mengekalkan bentuk kaki.

Plantar fasciitis atau sakit tumit boleh berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki sekaligus menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.

Punca sakit tumit

2. Gejala

Pada lazimnya sakit tumit yang dialami ini berasa sangat tajam dan terletak di pangkal tumit. Ia juga boleh tersebar ke seluruh tapak kaki.

Sakit paling teruk adalah pada waktu pagi apabila bangun daripada tidur iaitu ketika mengambil langkah pertama selepas berehat untuk tempoh yang panjang.

3. Punca Sakit Tumit

Apabila berjalan, kesan tekanan pada kaki adalah 1 ¼ kali ganda berat badan kita dan meningkat kepada 2 ¾ kali ganda semasa berlari.

Oleh itu, kita lebih cenderung untuk mencederakan fascia plantar jika kita terlibat dengan aktiviti tertentu seperti:

  • Banyak berjalan, berlari, berdiri (aktiviti berterusan yang melebihi 1 jam).
  • Mempunyai postur kaki yang lemah (bentuk tapak kaki yang leper atau tinggi).
  • Mempunyai kaki atau sendi pergelangan yang keras.
  • Mempunyai kelemahan otot (terutama otot betis).
  • Terdapat penggunaan yang berlebihan pada kaki atau regangan secara tiba-tiba pada tapak kaki. (Contoh: latihan yang tidak sesuai atau berlebihan, atlet yang meningkatkan latihan intensiti berjalan atau jarak dengan mendadak).
  • Mempunyai otot yang ketat (terutama otot betis).
  • Mempunyai berat badan berlebihan (ini akan meletakkan tekanan tambahan pada tumit anda).
  • Mempunyai perbezaan panjang kaki.
  • Memakai kasut dengan span yang berkurangan atau sokongan yang lemah pada bentuk kaki.

4. Kenapa Wanita Lebih Mudah Terkena Sakit Tumit

Sakit tumit ini lebih kerap dialami oleh golongan wanita berbanding lelaki kerana beberapa sebab seperti kehamilan yang menyebabkan pertambahan berat badan.

Ini kerana, sewaktu kehamilan tubuh wanita perlu bekerja lebih kuat untuk beradaptasi dengan perubahan fizikal yang berlaku.

Selain itu, penggunaan kasut tumit tinggi juga antara punca sakit tumit yang biasa dialami oleh wanita.

Maka untuk mecegah sakit tumit berlaku, kita dinasihatkan memilih kasut yang selesa tapaknya dan cuba elakkan memakai kasut tumit tinggi lebih-lebih lagi ketika dalam tempoh kehamilan.

5. Cara Mengatasi Sakit Tumit

Menurut Dr Mahyudin menerusi Malaysian Medical Gazette, sakit tumit ini boleh dirawat dengan beberapa cara mudah iaitu:

  • Memilih kasut atau selipar yang mempunyai lapisan dalam (insole) yang lembut dan selesa
  • Mengurangkan berat badan
  • Ubat tahan sakit (semasa peringkat awal diagnosis) biasanya ubat anti-radang seperti Ponstan/ Voltaren / Celebrex
  • Fisioterapi – ultrasound / heat / cold

Foto Kredit: lifemartini.com

Rawatan fisioterapi boleh terdiri daripada:

  • Ais atau rawatan haba
  • Elektroterapi (seperti Ultra Sound)
  • Senaman untuk meningkatkan keseimbangan, kekuatan dan fleksibiliti (terutamanya otot-otot betis)
  • Urutan tisu lembut
  • Mobilisasi pada sendi otot
  • Taping (plaster)

6. Senaman Mengurangkan Sakit Tumit Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Menurut Dr Latif Saad menerusi The Diagnosa, antara senaman regangan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesakitan pada tumit adalah seperti berikut:

Aktiviti Pertama

  • Pesakit perlu menghala ke dinding
  • Kemudian tapak tangan pegang ke dinding
  • Kaki pula ditolak pada lantai sehingga tapak kaki merasa meregang
  • Lakukan aktiviti ini berulang kali sehingga sakit tersebut berkurangan

Aktiviti kedua

  • Berdiri di hujung bahagian anak tangga
  • Pastikan tumit berada di atas angin dan tidak mencecah lantai
  • Berdiri beberapa minit untuk memastikan bahagian tapak kaki meregang

Aktiviti ketiga

  • Boleh lakukan aktiviti ini ketika duduk
  • Gunakan tuala dan tarik bahagian hujung tapak kaki untuk meregangkannya

Aktiviti keempat

  • Gunakan botol.Letakkan kaki kaki diatas botol dan tekan.
  • Sambil tekan sambil tolak botal itu ke depan dan belakang menggunakan kaki. Ia akan meregangkan tisu dibahagian tapak kaki

7. Apa Perlu Buat Jika Sakit Tumit Berterusan?

Jangan mengabaikan sakit tumit yang berterusan kerana ia boleh menyebabkan keradangan menjadi lebih kronik.

Jika dibiarkan, sakit tumit ini juga boleh merebak kepada masalah kesakitan pada bahagian tubuh yang berkai rapat seperti kaki, lutut, pinggul atau belakang kerana sakit tapak kaki membawa kepada perubahan cara kita berjalan.

Suntikan, Pembedahan Sebagai Langkah Terakhir

Jika semua cara diatas telah dilakukan tetapi tumit masih mengalami sakit, mungkik doktor akan memberi suntikan steroid mungkin bagi mengurangkan kesakitan dibahagian tersebut dengan cara mengurangkan keradangan.

Kaedah rawatan melalui pembedahan boleh dianggap sebagai langkah dan pilihan terakhir untuk merawat sakit tumit anda, sekiranya kesakitan yang anda alami berlanjutan sehingga 6 bulan dan lebih.

Apapun, periksalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang spesifik terhadap keadaan yang dialami ya!

Most Popular

To Top