Percutian

12 Pulau Yang Menarik Di Sabah. Sangat Cantik & Best, Tak Perlu Ke Maldives!

22.8K
reads
Pulau Yang Menarik di Malaysia

Pulau Yang Menarik di Sabah

Rentetan dari senarai pulau menarik di Malaysia yang kurang popular dan infografik tentang pulau tercantik di Malaysia, kami sediakan artikel yang lebih spesifik kepada negeri Sabah sahaja.

Untuk pengetahuan, Sabah adalah syurga bagi pencinta pulau. Dianugerahkan dengan pulau yang amat cantik dengan air yang hijau-biru, ia bakal menggamit pengunjung ke sana. Daerah Semporna menggunguli carta kerana di situlah terdapat banyak pulau yang cantik-cantik.

 

A. Pulau Yang Popular di Sabah

Ada sebab pulau-pulau ini popular. Ini kerana terdapat banyak kemudahan dan resort yang disediakan. Perjalanan juga agak mudah jika ingin ke sini. Jadi, sebagai pelancong, anda tidak perlu risau jika bercadang melawat pulau-pulau menarik di Sabah ini.

Pulau-pulau ini juga sungguh popular kerana banyak mendapat promosi dan publisiti.  Informasi tentang pulau-pulau ini juga mudah dijumpai di Internet. Lihat bagaimana mudahnya kami menyelitkan maklumat yang bersumber dari Wikipedia.

1. Pulau Manukan, Kota Kinabalu, Sabah

Pulau Menarik di Sabah

Foto Kredit: budakletrik.blogspot.com

Sumber dari Wikipedia, Pulau Manukan adalah pulau yang paling popular di kawasan Kota Kinabalu. Pulau ini juga mempunyai beberapa kawasan yang terbentang baik di pantai selatan. Pantai yang terbaik adalah di kawasan hujung timur pulau itu. Pada luar pesisir Pulau Manukan terdapat terumbu karang yang sangat sesuai untuk diselam.

Daripada 5 pulau yang termasuk dalam Taman Tunku Abdul Rahman, pulau ini mempunyai kemudahan pelancongan yang paling maju dengan terdapat 20 unit chalet, rumah kelab, dan beberapa restoran dan pusat menyelam.

Menurut Wikipedia juga, Taman Tunku Abdul Rahman meliputi lima buah pulau, iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi, dan Pulau Sulug dengan keluasan keseluruhan 4,929 hektar serta jaraknya dari Kota Kinabalu antara tiga hingga lapan kilometer.

Pulau-pulau ini merupakan tempat perlindungan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan termasuk sejenis burung yang paling ganjil iaitu Burung Tambun atau Megapode yang kelihatan seakan-akan seekor ayam tetapi mempunyai kaki yang besar dan mengeluarkan bunyi seperti kucing.

Menurut blog budakletrik, boleh naik bot dari jet Jesselton Point. Berikut ialah tambang bot dan snorkeling di Pulau Manukan:

Tambang bot ke Pulau Manukan : RM 23.00
Cukai jeti Jesselton Point : RM 7.00
Sewa alatan snorkeling : RM 10.00
Sewa jaket keselamatan : RM 10.00
Total : RM 50.00

Sila cuci mata puas-puas dengan banyak gambar Pulau Manukan. Sila bawa seluar atau baju renang sendiri. Kalau beli di sana, memang cekik darah!

Selain itu, sungguh bijak tindakah Zura yang tapau makanan sebelum pergi ke Pulau Manukan. Katanya, makanan atau pulau sangat mahal!.

2. Pulau Mabul, Semporna, Sabah

Pulau Yang Menarik di Sabah

Foto Kredit: blueewoke09.blogspot.com/2013/05/minimoon-pulau-mabul.html

Sebelum baca lebih lanjut tentang Pulau Mabul, cuci mata dulu di blog Chawanna yang ‘berminimoon’ di sini secara backpacking di Uncle Chang. Kami pasti anda akan terus buka laman web Air Asia atau Malaysia Airlines untuk cari tiket murah.

Menurut Wikipedia, Pulau Mabul terletak di pesisir pantai tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pulau ini terkenal kerana dekat dengan pulau Sipadan.

Pulau ini kecil dan melengkung dan terdapat banyak batu karang pelbagai jenis. Batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana banyaknya makanan plankton . Dasarnya tidak dalam, sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Kedalaman sekitar 25 hingga 30 meter sesuai untuk aktiviti ‘scuba diving’.

Pulau Yang Menarik di Sabah

Foto Kredit: blueewoke09.blogspot.com/2013/05/minimoon-pulau-mabul.html

Banyak sekali hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam, rumpai laut lain.

Hang Dhamin berkongsi coretan perjalanan beliau setelah lebih setahun menunggu impian untuk ke Pulau Mabul ini.

Aina Azami juga akhirnya jejak kaki ke sini setelah dengar kata-kata orang yang underwater scenery Pulau Mabul lebih cantik dari Pulau Perhentian.

Antara lain, umie pula berkata, terlalu banyak batu-batu karang yang terpelihara, cantik dan langsung tidak terusik. Selain itu, pelbagai spesis ikan laut dalam dan cetek yang cantik boleh ditemui di sini.

Poorbritney juga sudi berkongsi trip bajet beliau menaiki pesawat Air Asia.

3. Pulau Sipadan, Semporna, Sabah

Pulau yang menarik di Sabah

Foto Kredit: yantieahmadblog.blogspot.com

Menurut sumber dari Wikipedia, Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah, Malaysia. Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut.

Kalau tak pernah lihat ikan jerung, anda pasti akan berjumpa secara ‘live’ kerana ia adalah hidupan laut yang biasa dijumpai di sini. Jika sudah berada di Pulau Mabul, perjalanan ke Pulau Sipadan hanya mengambil masa 15 minit sahaja.

Belek-belak gambar di blog Yantie Ahmad yang siap pergi diving, Subhanallah, sungguh cantik hidupan laut di sini. Kalau Irina yang hamil pun boleh sampai ke sini, apa alasan anda?

4. Pulau Sapi, Kota Kinabalu, Sabah

Pulau yang menarik di Sabah

Foto Kredit: chillout-soulout-freakout.blogspot.com/2012/09/pulau-sapi-kota-kinabalu.html

Pulau Sapi adalah pulau yang terletak di Taman Tunku Abdul Rahman. Pulau Sapi dibangunkan dengan kemudahan pelancong yang termasuk jeti, perlindungan berkelah, tempat memanggang, meja, bilik persalinan, dan bilik air.

Jika singgah di jeti Jesselton Point dan tidak tahu pulau mana yang ingin dikunjungi, selain Pulau Manukan, kami cadangkan anda pergi Pulau Sapi. Pakej lebih kurang sama, tidak ada banyak beza.

Lebih baik lagi, singgah kedua-dua pulau ini seperti Ella yang sewa satu bot terus. Katanya lagi, cukuplah kalau kita melawat satu atau dua pulau. Tidak perlu melawat banyak sebab pulau-pulaunya lebih kurang sama sahaja.

Kalau masih tidak tahu pulau mana yang patut dikunjungi, ikut nasihat Fizura yang pergi ke Pulau Manukan dan Pulau Sapi sambil angkut satu family ke sana. Menurut beliau lagi, pasir di Pulau Sapi lebih halus dari Pulau Manukan.

Hati-hati bila mandi di Pulau Sapi kerana ada jellyfish, ujar Qaseh Tia. Sebelum terlupa, tiket mesti di simpan untuk pergi ke pulau-pulau lain, jelas Anna yang melawat Pulau Manukan dan Pulau Sapi.

Menurut Pas De Nom, di sini juga ada pakej diving yang harganya termasuk makan dan harga sewa bot.

5. Pulau Tiga, Kota Kinabalu, Sabah

Pulau yang menarik di Sabah

Foto Kredit: http://blog.tourism.gov.my/a-taste-of-survivor-island/

Menurut Wikipedia, Pulau Tiga adalah sebuah pulau yang tidak dihuni oleh manusia yang terletak di Laut China Selatan, dekat pesisir pantai barat Sabah, Malaysia.

Pulau ini terbentuk pada 21 September 1897 ketika gempa bumi yang melanda Mindanao menyebabkan letusan gunung berapi dekat Borneo.

Pulau Tiga terkenal sebagai lokasi pengambaran rancangan TV realiti Survivor yang pertama. Menurut daryl dari blog Tourism Malaysia, selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, beliau naik van selama 2 jam ke Kuala Penyu. Dipetik dari blog daughterofdestiny, dari Kuala Penyu pula, perjalanan dengan speedboat pula hanya mengambil masa 30 minit.

B. Pulau Yang Kurang Popular di Sabah

Ada sebab pulau-pulau ini kurang popular dan tidak diketahui ramai. Mungkin kerana kurang promosi oleh media arus perdana tentang pulau-pulau yang menarik di Sabah.

Juga mungkin kerana tidak terdapat banyak kemudahan dan resort yang disediakan. Lebih-lebih lagi, ada antara pulau-pulau ini yang hanya menjadi kampung dan bukan untuk dikomersilkan. Jadi, jika tidak mengharapkan resort mewah dah boleh hidup ala kadar, tempat ini amat sesuai untuk anda.

Tambahan lagi, sukar untuk mendapat maklumat tentang pulau-pulau ini di Internet, terutama dari Wikipedia. Nasib baik ada beberapa orang blogger yang sudi mencoretkan perjalanan mereka ke sini.

1. Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: https://500px.com/paklang

Pulau ini juga dikenali dan dipanggil Pulau Bohaydulong atau Pulau Bohidulong. Jarak perjalanan dari bandar Semporna lebih kurang 30 minit, dengan menaiki bot. Pulau Bohey Dulang ialah satu daripada 8 pulau dalam  Tun Sakaran Marine Park.

Pulau Yang Menarik di Malaysia

Foto Kredit: blueewoke09.blogspot.com

Kalau ada masa, baca entri honeymoon dari Chawanna ini penuh dengan gambar kecantikan Pulau Bohey Dulang.

Pulau yang menarik di Malaysia

Foto Kredit: blueewoke09.blogspot.com

Kami teramat pasti, gambar-gambar ini bakal menggetarkan jiwa anda dan buat anda tergamam kerana teramat cantik!

2. Pulau Kapalai, Semporna, Sabah

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: divinginsipadan.com

Pulau Kapalai terletak lebih kurang 15 kilometer dari Pulau Sipadan. Ia adalah syurga bagi penggemar sukan skuba dan snorkeling. Pulau Kapalai juga adalah destinasi yang sangat sesuai untuk bulan madu.

Biasanya, ramai orang akan pergi ke Pulau Mabul-Pulau Sipadan-Pulau Kapalai-Pulau Bohey Dulang. Bak kata seorang blogger, akibat kawasan sekitar yang terlalu cantik, hatiku tertinggal di Kapalai.

3. Pulau Banggi, Kudat, Sabah

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: http://www.sunnyrainbowtours.com.my

Kalau mahu tahu, menurut Wikipedia, Pulau Banggi ini adalah pulau terbesar di Malaysia. Lebih besar dari Langkawi dan Pulau Pinang!

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: irwanfieldteam.wordpress.com

Baca catatan kembara dan pengalaman ke Pulau Banggi untuk maklumat lanjut. Jika minat diving, jangan lupa singgah ke sini juga.

 

4. Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: aqim22.deviantart.com

Menurut Wikipedia, Pulau Bum Bum terletak berhampiran dengan perairan SempornaKunak dan Lahad Datu. Dikatakan juga, saiz Pulau Bum Bum lebih kurang sebesar Singapura.

Walaupun Pulau Bum Bum bukanlah sebuah pulau pelancongan, airnya masih lagi crystal clearPercutian ke Semporna tidak sempurna jika tidak singgah ke sini.

5. Pulau Mataking, Semporna, Sabah

Pulau menarik di Malaysia

Foto Kredit: sabahtourism.com

Tidak perlu cakap banyak, lihat gambar sahaja sudah buat mulut kita terlopong. Malah terdetik di hati, benarkah ada pulau sebegini di Malaysia?

Pulau Menarik di Malaysia

Foto Kredit: mataking.com

Jika terlalu banyak kerja di pejabat, ambil cuti dan hilangkan stress di sini. Bila sudah sampai Pulau Mabul, jangan lupa singgah ke Pulau Mataking. Mungkin kena sewa bot yang agak mahal, tetapi sangat-sangat berbaloi.

 

 6. Pulau Timba Timba, Semporna,Sabah

Pulau tercantik di Malaysia

Foto Kredit: flickr.com

Ini sememangnya pulau yang jarang dikenali ramai. Jikalau anda cuba Google untuk mencari maklumat, pasti anda akan kecewa. Nasib baik ada yang sudi berkongsi gambar ketika beliau pergi island hopping ke sana.

Pulau tercantik di Malaysia

Foto Kredit: http://blog.napiemoksin.com

Pulau Timba Timba terkenal dengan pantainya yang cantik dan hidupan laut yang jarang dijumpai. Juga ada warna 3 layer yang sangat cantik.

Hidupan lautnya termasuk sotong besar, ular laut dan ikan jerung kecil. Selain itu, penyu juga selalui dijumpai di sini. Antara yang lain ialah udang kara, blue ribbon eels, moray eels, barracudas dan large coral trout.

7. Pulau Sibuan, Semporna, Sabah

Pulau tercantik di Malaysia

Foto Kredit: syathebackpacker.blogspot.com

Walaupun namanya sama, ini bukan Pulau Sibu yang terletak di  Mersing, Johor. Pulau Sibuan termasuk dalam rangkaian Taman Marin Tun Sakaran.

Pulau ini berpenghuni dengan etnik Bajau Laut. Ada yang bersetuju, bercerita tentang pulau-pulau di Semporna lebih menarik dari tempat lain. Dikatakan lagi Pulau Sibuan adalah tempat pilihan diver sebelum Pulau Sipadan menjadi terkenal.

Pulau tercantik di Malaysia

Foto Kredit: azmiman08.blogspot.com

Air di sini, katanya sangat jernih. Sekejap hijau, sekejap biru. Suasana sekeliling pula, bagaikan dalam filem yang dibuat-buat, padahal ia adalah yang semulajadi.

Akhir kata

Ini cuma sebahagian dari pulau-pulau yang menarik di Sabah. Sebenarnya, banyak sangat tempat percutian menarik di Malaysia, lebih-lebih lagi di negeri Sabah. Cuma ramai antara kita tidak tahu kerana kurang publisiti dan promosi di media massa. Buat apa pergi ke Maldives jika pantai dan pulau di Malaysia adalah setanding?

Yang Popular

To Top