Rakyat

7 Perkara Tentang Program Sarapan Pagi (PSP) Di Sekolah Yang Akan Bermula 20 Jan 2020 Ini

1.1K
SHARES
Cuti Sekolah 2015

Program Sarapan Pagi (PSP) di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaru untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

Berikut adalah 7 perkara tentang PSP yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sebuah kenyataan hari ini, 27 Disember 2019.

1. Fasa Pertama Bermula 20 Januari 2020

Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama akan mula dilaksanakan pada 20 Jan 2020 di 100 sekolah rendah di seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut KPM, ia melibatkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

2. Waktu Sarapan Antara Jam 7.00 – 8.30 Pagi

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara pukul 7 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan 1 hingga 4 petang bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

3. Menu Berkonsep Grab ‘n’ Go

Menurut KPM, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.

4. 100 Sekolah Pertama Yang Terlibat

Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

KPM berkata pemilihan sekolah juga berdasarkan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman.

5. Pegawai Sains Makanan Bagi Setiap Daerah Diperuntukkan Bagi Menyelia Menu PSP

“Pelaksanaan ini juga turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memperuntukkan seorang pegawai sains pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah berkaitan menu PSP.

idea bekal anak

6. Kebenaran Ibu Bapa Diperlukan

“Bagaimanapun, kebenaran daripada ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan,” katanya.

7. Bakal Diperluaskan Kepada Semua Sekolah Rendah

KPM juga merancang supaya program itu diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.

Kajian Keberkesanan Program Akan Dibentangkan

“Kajian keberkesanan program akan dilaksanakan dan akan dibentangkan untuk tujuan penambahbaikan program dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut KPM, pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan dengan kerjasama KKM supaya makanan yang dibekalkan adalah berkualiti bagi mencapai impak yang disasarkan.

— BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×