Hebahan

Pihak Berkuasa Tempatan Selangor Tiada Kuasa Untuk Tutup Kilang

117
SHARES

Berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat khususnya di negeri Selangor, ramai dalam kalangan rakyat yang tertanya-tanya mengapakah situasi ini berlaku walaupun sudah ‘lockdown’. Ada juga yang mengatakan bahawa punca kes jangkitan meningkat adalah kerana operasi kilang di Selangor yang masih dibuka.

Oleh kerana rakyat mempersoalkan mengapa kerajaan negeri iaitu Pihak Berkuasa Tempatan Selangor tidak menutup operasi kilang, mereka tampil memberikan kenyataan supaya rakyat mendapat gambaran yang lebih jelas.

KENAPA KILANG DI SELANGOR TAK DITUTUP?

Foto: MalaysiaKini

Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan berkaitan kuasa Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor terutamanya dalam hal menutup kilang bagi membendung penularan wabak COVID-19. Persoalan yang diajukan melibatkan penggunaan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], khususnya Seksyen 107(2), untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.

Sejak 18 Mac 2020, penentuan Tatacara Pengendalian Piawai ataupun SOP dipatuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342. Ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Negeri Selangor. Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN TIADA KUASA TUTUP KILANG DI SELANGOR

Foto: SelangorKini

Pada 3 Mac 2021, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas Tatacara Pengendalian Piawai (SOP).

Harus diingatkan pindaan di atas bukan bermaksud Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai kuasa untuk menutup kilang. Pindaan itu dibuat bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pihak Berkuasa Tempatan membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan Kerajaan Persekutuan. Kuasa tersebut masih di bawah Kerajaan Persekutuan.

Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh. Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri yang mana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa. Berdasarkan laporan Polis DiRaja Malaysia, setakat 12 Julai 2021, sejumlah 39,604 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup.

Pada masa ini, hal perkara mengenai operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan COVID 19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) umum PKP/PKPB/PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Oleh yang demikian, bagi maksud Akta 342, Pihak Berkuasa Tempatan tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×