Dapur

Petua Simpan Sayur Tahan Lama. Lepas Seminggu Tetap Segar, Macam Baru Beli

26.5K
reads

“Begini cara Kak Feena simpan sayur dan bahan-bahan lain supaya tahan lama. Maklumlah, beli barang dapur 2 minggu sekali. Kak Feena rasa tips ini yang paling mudah dan bagus.”

Bila dah selalu sibuk, bukannya selalu dapat ke pasar dan top-up barang dapur. Tapi kalau kita beli sekali banyak, takut pula tak tahan lama, sekejap saja dah layu dan kurang segar. Untuk mengatasinya, inilah tips yang dikongsikan oleh Cikpuan Azlin Safena Azihar yang lebih mesra dengan panggilan Kak Feena. Ia telah mendapat lebih 4ribu share di laman sosial. Mari kita ikuti selengkapnya.

Petua Simpan Sayur & Stok Barang Dapur Supaya Tahan Lebih Lama

1. Cara Simpan Sayuran Hijau

i) Rendam semua sayur yang kita beli dalam air selama 5-10 minit. Kalau sayur kangkung atau bayam, seeloknya asingkan dengan sayur lain, sebab kedua-dua sayur ini sedikit berpasir. Tapi kalau konfiden memang dah basuh betul-betul bayam dan kangkung, bolehlah rendam sekali dengan sayur lain. Tak perlu potong akarnya ya, potong masa kita nak guna nanti.

ii) Campurkan sesudu garam / agak-agak ikut banyak mana sayur kita. Tujuan tambah garam dalam air tadi untuk buang bahan kimia pada sayur.

iii) Kemudian, toskan sayur sehingga kering.

iv) Boleh simpan sayur dalam bekas kedap udara / ziplock bag.

Insha Allah lepas seminggu sayur masih segar macam baru beli!

petua simpan sayur

2. Cara Simpan Serai, Lengkuas, Halia & Kunyit Hidup

Untuk lengkuas dan serai yang kak feena jarang guna ni, akak simpan dalam balang yang diisi air.

i) Isi air penuh-penuh, kemudian rendam lengkuas / serai dalamnya.

ii) Pastikan tutup balang dengan rapat ya.

iii) Tak perlu tukar air setiap hari, tukar 2 minggu sekali pun cukup.

Boleh buat cara yang sama untuk halia dan kunyit hidup.

cara simpan lengkuas

3. Cara Simpan Daun Sup

Cara Kak Feena simpan daun sup begini, insha allah boleh bertahan sampai sebulan.

i) Akak simpan dalam botol air saja. Kalau tak ada botol macam ini, boleh guna botol air mineral yang dipotong dan diletak sedikit air pada hujung akar.

ii) Simpan dalam peti sejuk.

Pastikan hujung akar saja yang kena air ya. Kalau batangnya turut terendam dalam air, nanti cepat lembik dan rosak.

cara simpan daun sup

4. Cara Simpan Tomato

Bahagian tangkai tomato sebenarnya adalah kawasan yang paling sensitif. Bahagian inilah yang akan mula-mula sekali merosak.

Jadi kalau nak simpan tomato supaya tahan lama, bahagian tersebut mestilah menghala ke atas. Susun elok-elok, jangan main golek-golek. Kalau tak memang cepat rosak atau lembik.

5. Cara Simpan Bawang

i) Jangan simpan bawang bersama kentang sebab gas yang dihasilkan oleh keduanya akan saling menjadikannya cepat rosak.

ii) Jika bawang disimpan di tempat yang kering, ia akan bertahan hingga 2-3 bulan.

6. Cara Simpan Kentang

Tahu tak, kentang tak elok kena matahari directly sebab ia akan cepat rosak.

i) Maka, cara yang betul adalah dengan menyimpannya dekat tempat yang tak panas atau terlindung daripada cahaya matahari.

ii) Satu lagi petua adalah simpan sekali dengan epal. Kentang akan lebih tahan lama bila dia disimpan bersama epal. Tak percaya? Cubalah!

7. Cara Simpan Cili

i) Sebelum Kak Feena simpan cili merah dan cili hijau di dalam peti ais, Kak Feena akan cabut tangkainya terlebih dahulu. Kenapa Sebab tangkai inilah yang selalunya akan rosak dulu dan menyebabkan semua cili rosak.

ii) Lepas patahkan tangkai, Kak Feena akan balutkan cili dalam tisu atau surat khabar.

iii) Masukkan bawang putih untuk cili lagi tahan lama.

iv) Kalau nak guna beberapa batang cili saja, lapkan semula cili yang selebihnya untuk pastikan ia sentiasa kering. Barulah ia dapat kekal segar buat masa yang panjang.

Semoga Bermanfaat

Tips ini bukan saja dapat memudahkan urusan di dapur dan mengelakkan pembaziran, ia juga menjimatkan masa sebab tak perlu lagi berulang-alik ke pasar. Sekali beli, boleh borong lebih-lebih sikit. Senanglah kan?

Mudah-mudahan ramai yang dapat mendapat manfaat daripada perkongsian petua ini.

Selamat mencuba!

 

*Perkongsian petua simpan sayur dan barang dapur ini dikongsikan oleh Cikpuan Azlin Safena Azihar dengan kebenaran. Untuk lebih banyak perkongsian tips, petua, dan pertanyaan, boleh follow Facebook beliau di SINI.

Yang Popular

To Top