Rakyat

Ramai Wanita Malaysia Belajar Tinggi, Tapi Tak Bekerja – Kajian

777
SHARES

Kajian Peralihan Persekolahan ke Pasaran Pekerjaan oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendapati golongan wanita adalah 15% lebih tinggi berbanding lelaki dalam segala peringkat pendidikan di Malaysia. Ironinya, kaum wanita mempunyai kadar penyertaan dalam tenaga kerja yang rendah dan kadar pengangguran tinggi berbanding golongan lelaki.

“Wanita merangkumi 70% kumpulan pelajar yang akan memasuki alam pekerjaan, namun penyertaan dalam tenaga kerja adalah rendah.

“Kajian turut mendapati golongan muda lelaki terus ketinggalan dalam penyertaan pendidikan manakala golongan wanita muda terus berdepan halangan dan diskriminasi pasaran pekerjaan,” kata kajian tersebut.

penglibatan wanita di alam pekerjaan

Foto Kredit: istockphotos.com

2.6 Juta Wanita Di Malaysia Tidak Bekerja

Berdasarkan sebuah artikel di Kapital.my, sebanyak 2.6 juta wanita di Malaysia dilaporkan tidak bekerja kerana faktor tanggungjawab kepada keluarga. Laporan Global Gender Gap 2017 yang diterbitkan oleh World Economic Forum memperlihatkan Malaysia berada di kedudukan 87 daripada 144 negara berdasarkan Economic Participation and Opportunity. Kedudukan ini menunjukkan jurang antara jantina di mana wanita Malaysia masih kurang melibatkan diri dalam ekonomi negara.

Laporan The State of Household 2018 : Different Realities yang diterbitkan oleh Khazanah Research Institute juga secara jelas dinyatakan bahawa wanita Malaysia yang berumur dalam lingkungan umur pekerjaan (working age) yang berkelulusan tinggi adalah lebih ramai berbanding jantina lelaki. Tetapi sebahagian besar wanita-wanita ini tidak berkerja.

Foto Kredit: someecards.com

Semakin Lama ‘Menganggur’, Semakin Sukar Memasuki Sistem Pekerjaan

“Semakin lama mereka berada di luar pasaran pekerjaan, semakin sukar dan melibatkan kos yang tinggi untuk membawa mereka kembali memasuki sistem pekerjaan,” kata kajian yang dilaporkan oleh Astro Awani tersebut.

Justeru kajian tersebut juga mencadangkan penambahbaikan program latihan kepada bukan sahaja graduan sebaliknya golongan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi bagi melengkapkan mereka dengan kepakaran yang diperlukan industri.

Foto Kredit: freepik.com

Walaupun Peratusan Rendah, Penyertaan Wanita Di Alam Pekerjaan Tetap Mencatatkan Peningkatan

Realitinya, antara punca wanita kurang menyertai alam pekerjaan kerana tanggungjawab yang perlu dipikul oleh wanita dalam institusi keluarga. Di sinilah pentingnya fleksibiliti dalam masa bekerja dan tempat bekerja, terutamanya kemudahan tempat penjagaan kanak-kanak di pejabat yang sesuai.

Namun, walaupun statistik menunjukkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan adalah rendah tetapi ia telah mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Yang pasti, sebahagian besar wanita yang ‘tidak bekerja’ ini bukanlah bersenang-lenang di rumah. Bahkan, keputusan itu tentunya dibuat setelah menimbang tara begitu banyak faktor demi keluarga kan?

*Sumber berita: Astro Awani, Kapital.my

To Top
SKIP THIS AD ×