Kewangan

Bayaran Balik PTPTN Akan Dipotong 2% Hingga 15% Ikut Gaji Bulanan, Bermula RM2000 Ke Atas

1.8K
SHARES

Pada 5 Disember 2018, PTPTN telah mengadakan Sidang Media : Pelaksanaan Dasar-Dasar Baharu PTPTN di Dewan Utama, Menara PTPTN. Dalam sidang media ini, Encik Wan Saiful Wan Jan selaku Pengerusi PTPTN membuat pengumuman berkenaan mekanisme pelaksanaan dasar-dasar baharu PTPTN sempena pengumuman belanjawan 2019 yang diumumkan kerajaan pada 2 November lepas.

Berdasarkan sidang media tadi, 5 perkara telah diumumkan ialah seperti berikut:

5 Pelaksanaan Dasar Baharu PTPTN Sempena Belanjawan 2019

1. Potongan gaji secara progresif daripada 2 peratus hingga 15 peratus berdasarkan gaji bulanan peminjam;
2. Potongan cukai untuk majikan yang membayar hutang PTPTN pekerja;
3. Pengecualian bayaran balik pinjaman Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama untuk pelajar daripada keluarga B40 dan M40;
4. Baki hutang dilupuskan apabila peminjam berumur 60 tahun; dan
5. Pelepasan taksiran cukai SSPN dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 mulai tahun taksiran 2019.

Mekanisme pelaksanaan adalah seperti di bawah:

1. MEKANISME BAHARU PEMBAYARAN – POTONGAN GAJI SECARA PROGRESIF (PGB)

PGB adalah bayaran balik mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan. Peratus potongan adalah di antara 2% hingga 15% seperti jadual di lampiran.

2. INSENTIF PELEPASAN CUKAI UNTUK MAJIKAN YANG MEMBANTU PEKERJA

Majikan layak menikmati potongan cukai ke atas apa-apa jumlah bayaran balik, baik yang dibayar secara ansuran setiap bulan atau melalui pembayaran sekaligus. Syaratnya ialah majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja setelah pembayaran ini dibuat.

3. PENGECUALIAN BAYARAN BALIK PINJAMAN IJAZAH SARJANA MUDA KELAS PERTAMA

Kerajaan juga menghargai usaha para peminjam untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pengajian. Maka dengan itu, pelajar daripada golongan isirumah B40 dan M40 yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama dan menamatkan pengajian dalam tahun 2019 layak mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman dengan syarat-syarat berikut:
– Mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda secara Sepenuh Masa
– Memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama
– Menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan
– Dikategorikan daripada keluarga B40 dan M40 ketika menamatkan pengajian

4. MENGHAPUS KIRA HUTANG PEMINJAM WARGA EMAS

Kerajaan prihatin dengan golongan warga emas. Sebagai penghargaan kepada warga emas yang komited dan konsisten dalam membuat bayaran balik, kerajaan bersetuju untuk melupuskan baki hutang peminjam yang memasuki umur 60 tahun sekiranya peminjam berpendapatan RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dan konsisten membayar balik dalam tempoh tiga (3) tahun terkini sebelum umur mencapai 60 tahun.

5. MENINGKATKAN INSENTIF UNTUK MENABUNG

Selaras dengan itu, insentif pelepasan cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) akan dinaikkan daripada RM6,000 sebelum ini kepada RM8,000 bermula tahun 2019.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Facebook Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Pengumuman PTPTN Timbulkan Reaksi Positif Dan Negatif Daripada Netizen

Rata-rata, netizen meluahkan rasa kurang berpuas hati, terutamanya para peminjam yang telah membuat penukaran kepada sistem ujrah bagi menikmati kadar bayaran balik yang lebih berpatutan mengikut perjanjian terdahulu yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Bahkan, ramai juga yang meminta agar dasar ini dikaji semula agar tidak terlalu membebankan peminjam.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat bahawa ‘hutang tetap hutang’ dan ia tetap perlu dibayar. Mungkin dengan cara ini dapat mempercepatkan lagi pelangsaian hutang dan pada masa yang sama dapat mengukuhkan ekonomi negara.

Jadi, apa kata anda?

**UPDATE : Penangguhan Pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) sebagaimana pengumuman pada 7 Disember oleh Yang Berhormat Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.

Sebarang maklumat yang berkaitan Pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Terima kasih.

 

To Top
SKIP THIS AD ×