Bersalin

7 Perkara Kurang ‘Best’ Yang Mama Mungkin Pernah Rasa Masa Cuti Bersalin

520
SHARES

“Seronoklah kau nanti bercuti 2 bulan. Tak payah fikir pasal kerja, dapat duduk rumah, luangkan masa dengan baby je.”

Cuti bersalin sering disalah anggap sebagai satu ‘percutian’. Memang seronok sambut baby baru. Dan memang betullah, dalam tempoh 2-3 bulan yang diperuntukkan ini kita tak akan pergi bekerja.

Walaubagaimanapun, cuti bersalin bukanlah semuanya indah. Ada juga saat-saat yang membuatkan kita berasa sebaliknya.

7 Perkara Kurang Best Yang Mama Mungkin Pernah Rasa Masa Cuti Bersalin

1. Rasa Tak Adil

Hampir di semua tempat kerja, cuti bersalin telah ditetapkan bagi wanita, tetapi tidak pula bagi lelaki. Sebagai wanita, ada masanya kita rasa macam ia sesuatu yang tak adil sebab seolah-olah macam kita seorang yang perlu jaga bayi serta menguruskan semua keperluan bayi dari A hingga Z.

Itu belum kira lagi ibu-ibu yang terpaksa melalui pembedahan Caesarean dan perlu berpantang sendiri. Rasa tak adil sebab kita dah penat mengandung dan melahirkan bayi tapi tak ada suami di sisi untuk menjaga diri ini. Kita tak ada masa untuk memberi keutamaan kepada diri sendiri.

Foto Kredit: http://sinar.fm/

2. Cemburu

Sungguhpun suami kita bukanlah seorang yang ‘pemalas’, tapi mesti terdetik juga perasaan cemburu sebab mereka tak perlu berhadapan dengan semua rutin di rumah ini setiap hari selama 3 bulan.

Kita dengan kekurangan tidur inilah yang perlu berjaga bila-bila masa bayi berjaga, menyusukannya, mengepam susu, menukar lampinnya, memandikannya – sedangkan si suami dapat pergi pejabat dan meneruskan kehidupan normal. Kita ni nak mandi dan makan pun kadang-kadang tak sempat!

Foto Kredit: greencleanphoenix.com

3. Sakit

Sebenarnya, macam-macam cabaran yang akan Mama hadapi sepanjang tempoh cuti bersalin.

Ada yang bermasalah dengan proses penyusuan – puting melecet, bengkak susu, tersumbat dan sebagainya.

Ada yang terpaksa berulang-alik ke hospital 3-4 kali sehari sebab anak kuning. Berpantang pun rasa macam tak pantang bila terpaksa drive sendiri dan berjalan ke wad dalam keadaan baru lepas kena jahit. Hari-hari gigih perah susu untuk anak walaupun setiap kali perah cuma dapat 1 oz.

Sesetengah ibu juga terpaksa berlasak dan buat semua sendiri sebab tak ada sesiapa yang boleh diharapkan. Sampai ada yang demam-demam dan tertetas jahitan.

demam kuning bayi

Foto Kredit: gspkdesign.ltd.uk

4. Agak Membosankan

Bagi seorang ibu yang sentiasa aktif atau dah biasa bekerja, tak kiralah di rumah atau pejabat, cuti bersalin boleh menjadi suatu tempoh yang agak membosankan.

Bayangkan sajalah, kita bukannya dapat pergi jalan-jalan. Kita tak dapat makan semua makanan kegemaran kita. Mungkin ada yang terpaksa ikut cara berpantang orang dulu-dulu tanpa kerelaan hati. Tidur dan rehat kena catu. Nak buat apa-apa aktiviti lain pun rasa tak larat dan sengal badan.

pengalaman bersalin caesar

Foto Kredit: malibuvist.com

5. Sunyi

Lagi satu, kadang-kadang timbul rasa sunyi bila kita sendirian di rumah dengan bayi. Tak ada siapa untuk berbual dan meluahkan perasaan.

Nak telefon kawan, rasa kekok. Selalu juga telefon Mak, tapi biasanya dapat cakap sekejap saja sebab baby dah menangis. Nasiblah kalau suami jenis rajin mendengar kita berceloteh bila balik kerja. Terhiburlah sedikit lepas seharian ‘berperang’ dengan emosi di rumah. Kalau dipendam-pendam, mesti rasa stres dan sedih semakin teruk.

Bila dah ada pengalaman sendiri, barulah faham kenapa ibu lepas bersalin ni mudah alami kemurungan, lebih-lebih lagi bila kurang dapat sokongan moral daripada suami.

cuti bersalin

Foto Kredit: theallineed.com

6. Terlampau Letih

Rasa letih ini mungkin tak perlu dijelaskan lagi. Tak ada lagi istilah beauty sleep bagi Mama. Bayi bergerak sedikit pun kita dah terjaga. Suami pula masih boleh berdengkur walaupun bayi dah menjerit-jerit menangis.

Kerja rumah pula bukannya berkurang masa cuti bersalin. Tengok saja longgokan baju bayi yang perlu dicuci dah boleh histeria dibuatnya. Sekejap muntah, sekejap kena kencing dan berak. Baju ibu pun sama, dan banyak juga yang tertumpah susu. Kalau tak berganti, tak selesa pula.

Dalam tempoh cuti bersalin ini, kita hanya mampu go with the flow. Seolah-olah jadual bergantung kepada keadaan bayi. Rutin harian menjadi sibuk dengan urusan bayi sampai urusan kita sendiri pun terabai.

Foto Kredit: ithacajournal.com/

7. ‘Pressure’ Untuk Jadi Ibu Yang Terbaik

Berbeza dengan suami, mungkin naluri seorang ibu itu biasanya lebih mendalam. Atau mungkin juga tempoh yang panjang semasa cuti bersalin menyebabkan kita terlalu banyak berfikir tentang apa yang kita lakukan.

Bila bayi menangis, kita rasa ia mungkin salah kita. Kita pegang bayi terlalu kasarkah? Kita ada salah makankah? Bayi ada alahankah? Kita lupa yang kita bukannya perfect. Bila dah jadi seorang ibu, kita mudah rasa ‘pressure’ nak selesaikan semua perkara untuk anak kita.

berpantang sendiri

Foto Kredit: parents.com

Isteri Hanya Ingin Dihargai

Yang tak pernah melaluinya mungkin berasa hairan macam mana seseorang boleh melalui saat-saat seperti ini. Namun, inilah hakikat sebuah cuti bersalin yang tak selalu didendangkan. Yalah, biasanya kita ingat semua serba seronoklah bila dapat baby.

Bukan tak seronok, cuma ada cabarannya yang perlu kita lalui, lebih-lebih lagi kalau kita berpantang sendiri tanpa bantuan ibu ayah sendiri, mentua, atau pembantu. Apapun, jika dilihat dari sisi positif, semua ini tentu ada hikmahnya dalam melatih kita menjadi seorang ibu yang lebih tabah.

Tempoh cuti bersalin selama 3 bulan adalah tempoh yang boleh dikatakan agak intense bagi wanita, terutamanya yang pertama kali bergelar ibu. Jadi, sebagai suami kenalah peka dengan apa yang dilalui oleh isteri ya. Sesekali bila dapat pelukan dan layanan istimewa, mesti semua rasa kusut akan hilang begitu saja!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×