Sihat

Kerap Sangat Batuk & Selsema Sampai Muntah. Ibu Kongsi Pengalaman Anak 2 Tahun Buat Pembedahan Tonsil

690
SHARES

Kita kerap dengar masalah tonsil di kalangan kanak-kanak. Rata-rata ramai ibu ayah kata kalau anak kena tonsil ni, kerap kena batuk selsema. Dan kalau demam pula, demamnya agak tinggi berbanding biasa.

Menurut portal MyHealth, tonsillitis adalah radang pada tonsil yang disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria.

Foto Kredit: Myhealth.gov.my

Ramai kanak-kanak mengalami tonsillitis biasanya akan sembuh dengan sendirinya. Ini kerana radang yang disebabkan oleh virus boleh sembuh dengan sendirinya, manakala tonsillitis yang disebabkan oleh bakteria pula boleh dirawat dengan antibiotik.

Namun dalam kes tertentu, tonsilektomi atau pembedahan tonsil perlu dilakukan dengan sebab-sebab tertentu setelah pesakit mendapatkan nasihat pakar bedah.

Dalam artikel ini, kami kongsikan pengalaman Puan Atiyah Salleh yang membawa anaknya menjalani pembedahan tonsil pada usia 2 tahun 5 bulan.

Pengalaman Bawa Anak Jalani Pembedahan Tonsil

Assalamualaikum semua.

Saya sekadar ingin berkongsi tentang pengalaman hero kedua saya yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang tonsil pada usia yang terlalu muda iaitu 2 tahun 5 bulan.

Bermula Simptom Batuk & Selsema Yang Amat Kerap

Episod duka bermula apabila dia seringkali batuk dan selsema hampir setiap hari setiap bulan sejak dari bulan Mac hingga September.

Dan sejak itu juga hampir setiap malam dia akan muntah. Bayangkan dari bulan Mac sampai September hampir setiap hari setiap malam dia akan muntah.

Dah Cuba Ikhtiar Pelbagai Cara

Klinik? hospital? Berubat kampung? Semua dah ikhtiar buat, tapi masih juga tak sembuh.

Sebenarnya masalah tonsil anak saya telah dirujuk ke pakar ENT dan memang doktor pakar ENT sahkan tonsil anak saya telah membengkak dengan agak teruk.

Cuma pada wakty tu doktor tak galakkan untuk dibuang atas faktor anak saya masih kecil.

Jadi doktor hanya sarankan pengambilan antibiotik supaya bengkak tonsil mengecut dan kembali normal seperti biasa.

Malangnya walaupun beberapa kali ubat diberikan anak saya masih juga tak sembuh.

Saya ada juga cuba ikhtiar dari segi perubatan Islam serta tradisional namun tetap tidak menampakkan perubahan.

Demam Panas Seminggu Tak Kebah

Bengkak masih tak surut dan akhirnya anak saya mengalami demam panas on off tak kebah selama seminggu dan suhunya mencecah 42°c.

Anak saya dimasukkan ke hospital dan sekali lagi drujuk ke pakar ENT.

Tonsil Dah Sampai Tahap 3

Doktor maklumkan masalah tonsil anak saya dah sampai tahap 3 dan jika dibiarkan mungkin akan berlarutan menjadi tahap 4.

Ubat-ubat yang diberikan sebelum ni memang tak memberikan kesan kepada anak saya.

Pakar ENT memaklumkan anak saya perlu dibedah. Sekiranya ia tidak dibuang, kesihatan anak saya akan kerap terganggu malah akan menjadi lebih buruk.

Terpaksa Bersetuju Buat Pembedahan Tonsil Demi Kesihatan Anak

Saya dan suami terpaksa bsetuju demi kesihatan hero kami.

Hati ibu mana yang sanggup tengok keadaan kesihatan anak begitu.

Dan memikirkan ini mungkin juga salah satu ikhtiar dan jalan yang Allah berikan demi kesembuhan anak kami.

Maka pada 12/9/2019 yang lalu, pembedahan telah dijalankan.

Dan alhamdulillah semuanya selesai dgn selamat. Anak saya dibius sepenuhnya dan proses mengambil masa hampir 2 jam.

Pembedahan Berjalan Lancar

Syukur sangat sebab Allah mudahkan segala urusan.

Selepas beberapa hari, anak saya pun dah berselera makan dan minum seperti biasa

Cuma masih perlu dijaga pemakanan sebaiknya, susu pon kena bancuh sejuk.

Harapnya selepas ni berakhirlah episod duka anak saya.

Pembedahan tonsil kanak kanak

Pembedahan tonsil kanak kanak

Jangan Ambil Mudah Masalah Tonsil Anak

Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ambil mudah masalah tonsil anak.

Sebabnya setiap orang tak sama ketahanan badan mereka.

Jadi kena pantau dan dapatkan nasihat doktor, terutamanya kalau anak masih kecil dan kerap demam selsema.

Semoga sedikit info ini memberi manfaat kepada yang membacanya.

*Pengalaman bawa anak jalani pembedahan tonsil ini dikongsikan oleh menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

Bagi yang ingin tahu lebih lanjut tentang tonsil, jom baca 5 fakta ringkas tentangnya di bawah ini.

 

5 Fakta Ringkas Tentang Radang Tonsil

Pembedahan tonsil

1. Apakah Tonsil

Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid (sub-epitelium) yang terletak di bahagian tekak (orofarinks).

Setiap manusia mempunyai 2 biji tonsil. Tonsil berbentuk bujur dan terletak di dinding sisi tekak (orofarinks) di antara tiang anterior (‘anterior pillar’) dan tiang posterior (‘posterior pillar’).

2. Fungsi Tonsil

Tonsil sebenarnya mempunyai fungsi untuk membangunkan sistem keimunan dan antibodi badan (di peringkat awal usia).

Ia juga melindungi saluran pernafasan dengan mengawal pintu laluan udara pernafasan serta membentuk sel limfosit dan plasma untuk pertahanan badan.

3. Gejala / Tanda Radang Tonsil

  • Sakit tekak
  • Sukar menelan
  • Demam panas – 38°C hingga 40°C, seram sejuk dan menggigil
  • Berdengkur
  • Suara berubah
  • Sakit telinga – disebabkan oleh “referred pain” (sakit yang berasal di tekak tetapi turut dirasai di telinga kerana mempunyai saraf yang sama) atau disebabkan oleh komplikasi tonsillitis seperti jangkitan kuman di telinga tengah (Otitis media akut).
  • Nafas berbau busuk dan lidah kering bersalut putih
  • Lelangit dan anak tekak berwarna merah terang
  • Tonsil – merah, bengkak dengan nanah
  • Kelenjar limfa di leher membesar.

4. Rawatan 

Biasanya tonsil yang tidak serius dan tidak mengganggu kanak-kanak akan sembuh dengan sendirinya.

Antara ubat yang akan diberikan oleh doktor adalah:

  • Lozenge (ubat hisap)
  • Ubat kumur
  • Ubat demam / tahan sakit
  • Antibiotik

Rawatan sokongan yang boleh diberikan di rumah termasuklah:

  • Berehat
  • Minum air secukupnya
  • Makan secara sihat
  • Melegakan kesakitan
  • Meredakan demam

5. Bilakah Perlu Buat Pembedahan Tonsil

Jika keradangan berterusan dan bertambah buruk, pastikan ianya dirujuk kepada pakar ENT.

Pakar akan menjalankan pemeriksaan lanjut dan pembedahan tonsillectomy akan dilakukan sebagai jalan terakhir untuk merawat penyakit tonsil yang berulang-ulang.

Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum doktor pakar ENT menasihati pesakit untuk menjalani tonsillectomy.

Kriteria asas untuk tonsillectomy ialah seperti berikut:

  • Masalah sakit tonsil yang berulang-ulang menyebabkan pesakit memerlukan rawatan doktor, ubatan antibiotik dan terpaksa mengambil cuti dari persekolahan atau dari bekerja.
  • Mengalami tonsillitis sebanyak 5 kali setahun atau 7 kali dalam 2 tahun yang berturut-turut.
  • Tonsil yang besar dan radang yang menyebabkan pesakit berdengkur dan mengalami apnea (berhenti bernafas) semasa tidur.
  • Sakit tonsil yang menyebabkan kawasan disekeliling tonsil bernanah (Peritonsillitis atau Quincy).
  • Sekiranya doktor pakar ENT syak pembesaran tonsil adalah disebabkan barah tonsil.

*Sumber: MyHealth.gov.my, DoktorBudak.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×