Didik

7 Perkara Best Yang Saya Saksikan Sendiri Masa Melawat ‘Sekolah Kampung’ Di Finland

3.4K
SHARES

Rata-rata mungkin ramai dah tahu yang Finland merupakan antara negara yang menduduki tempat teratas dalam mengimplementasi sistem pendidikan. Heboh di media sosial katanya sekolah di Finland ni seronok – tak ada peperiksaan, tak terikat dengan silibus, budak-budak tak stres dan sebagainya.

Tambah menarik, walaupun tak diberatkan dengan semua ‘bebanan’ ini, anak-anak di sana tetap sukses kerana mereka belajar banyak perkara lain yang mendorong mereka menjadi seorang insan yang berkualiti. Buktinya, Finland telah disenaraikan sebagai top education in the world secara konsisten, terutamanya sejak kebelakangan ini.

Dalam artikel perkongsian kali ini, Puan Siera Haiyi berkesempatan untuk melawat sendiri sebuah sekolah di sana. Ternyata, ia benar-benar menjadi sebuah pengalaman yang ‘membuka mata’. Jom kita baca perkongsian beliau ini selanjutnya.

Berpeluang Melawat Sendiri Sekolah Di Finland

Semalam kami dijemput oleh tuan rumah kami, Mr Timo, untuk ke sekolah beliau. Kebetulan Mr Timo ni adalah seorang cikgu sekolah. Jadi dia pun berbesar hati untuk bawa kami ke sekolah beliau. Besar hati dia, besar lagilah hati saya.

Memang hajat di hati ni bila jejak kaki di Finland saya teringin sangat nak lihat sekolah di sini memandangkan kalau ikut ranking dah pernah dilabel sebagai NO.1 BEST EDUCATION IN THE WORLD kan?.

Sudah tentulah saya nak saksikan sendiri!

Jadinya semalam kami ke sekolah Mr Timo yang terletak tak jauh dari rumahnya.

7 Perkara Best Tentang Sekolah Di Finland

1. Pengangkutan Percuma Ke Sekolah

Di Finland, sekolah dibina sangat dekat dengan kawasan perumahan, sama seperti di Malaysia. Jadi sekolah mereka sangat banyak.

Tapi yang menarik tu, jika rumahnya jauh dengan sekolah, mak ayah tak perlu risau sebabnya mereka akan dapat PENGANGKUTAN BAS PERCUMA KE SEKOLAH.

2. Fasiliti Canggih Walaupun ‘Sekolah Kampung’

Sekolah Mr Timo ni tak ramai. Katanya ni ‘sekolah kampung’. Kalau bandar lagi besar.

Tapi terkejut juga saya sebab bila sampai, ‘sekolah kampung’ ini pun 3 tingkat dan fasilitinya pula bukan main canggih!
So, boleh bayangkan macam mana pula sekolah kat bandar pasti lebih besar dan hebat.

3. Kumpulan Kelas Yang Kecil

Oh ya, walau besar mana pun sekolah, menurut Mr Timo setiap kelas hanya dihadkan dengan maksima 25 orang murid. Tak boleh lebih.

Dan biasanya dalam 1 kelas ada 1 guru dan 1 pembantu.

4. Kerjaya Guru Dipandang Tinggi

Saya diberitahu yang dekat Finland ni kerjaya guru tu dipandang tinggi.

Nak jadi guru tadika pun dah kena ada degree. Nak jadi guru sekolah rendah dan sekolah menengah pula kena ada Master.

Lebih menarik lagi GURU-GURU SINI TIDAK DIPANTAU. Mereka diberi kepercayaan yang sangat tinggi oleh guru besar dan kerajaan untuk mendidik anak bangsa.

Mr Timo kata dah cikgu ni belajar sampai degree & master takkan lah tak reti nak ajar budak-budak? Bila difikirkan semula, logik juga kan?

5. Tak Terikat Dengan Aktiviti Dalam Kelas

Dan bila diberi kepercayaan dan kebebasan sebenarnya cikgu-cikgu ni akan jadi lebih BERTANGGUNGJAWAB dan lebih KREATIF!

Cikgu tu sendiri akan usahakan dengan pelbagai idea untuk bijakkan anak murid dia. Bukan hanya spoonfeed atau mengikut buku semata-mata.

6. Aktiviti Simple

Selain itu, apa yang saya perhatikan sepanjang setengah hari di sini, mereka cuma buat aktiviti yang ringkas.

Contohnya mereka belajar sekejap kemudian buat aktiviti seperti senaman ringkas, bermain simple game, memanjat, bercerita, minum air kosong, mewarna (walaupun budak besar), bermain di luar dan lain-lain.

Boleh tengok dalam gambar tu anak-anak siap bawa ‘bantal busuk’ lagi ke sekolah.

7. Beg Ringan

Beg sekolah mereka juga alahai..melayang. Angkat dengan jari kelingking pun boleh!

Nak tahu apa ada dalam beg?

Hanya buku sekolah yang ada HOMEWORK.

Buku lain semua di simpan di sekolah.

Buku teks diberi pinjam.

Buku tulis diberi PERCUMA.

Alat tulis juga tak perlu bawa.

Semua ada disekolah.

Patutlah saya ke kedai nak beli alat tulis tapi tak banyak pilihan. Rupanya di sekolah dah ada semua!

Seronok kan?

Kalau kita sendiri belajar di sekolah begini, mesti kita pun teruja, kan? Dan ya, inilah sekolah yang disediakan oleh kerajaan mereka, bukannya sekolah swasta yang perlu dibayar yuran yang mahal.

Memang teruja tengok sistem pendidikan begini. Setiap tahun TIADA EXAM & TIADA RANKING.
Tiada siapa dapat no.1..2…3…tetapi dapat menjadi NO.1 BEST EDUCATION IN THE WORLD.

Agaknya di Malaysia boleh tak buat begini ya?

*Perkongsian oleh Puan Siera Haiyi telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk mengikuti lebih banyak perkongsian di IG sierahaiyi untuk lawatan ke sekolah seterusnya di Finland. Lagi menarik!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×