Inspirasi

Dah 6 Tahun Bebas Rokok, Lelaki Ni Kongsi Pengalaman Berhenti Merokok Bulan Ramadhan

1.3K
SHARES
Pengalaman berhenti merokok

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat bermakna bagi umat Islam.

Bukan saja terdapat keberkatan di dalamnya, tetapi bulan ini juga terdapat pelbagai keistimewaan bagi kita yang benar-benar memanfaatkannya.

Dalam sebuah posting, saudara Hamudi Mohamad Nor menceritakan pengalaman berhenti merokok yang berlaku kepada beliau pada bulan Ramadhan tahun 2014 yang lalu.

Semoga ia dapat memberi inspirasi dan menjadi panduan bagi perokok yang ingin cuba berhenti merokok.

Mari ikuti kisah beliau seterusnya di bawah ini.

Dah 6 Tahun Bebas Rokok, Lelaki Ni Kongsi Pengalaman Mula Berhenti Merokok Bulan Ramadhan

Bila masuk sahaja bulan Ramadhan, saya mesti teringat satu kisah yang mengubah diri kepada yang lebih baik.

Kisah tentang bertangguh yang memberi manfaat.

Biasanya bertangguh ni orang nampak bahagian negatifnya sahaja kan, tapi apa yang saya akan kongsi ini ialah bertangguh juga ada kebaikannya.

Mula Merokok Pada Usia 15 Tahun

Kalau dicerita sejarah merokok saya ni bermula dari umur 15 tahun lagi, tapi sorok-soroklah (harap Abah dan Mama tak baca posting ni), bersambung sehingga universiti, semasa alam pekerjaan sehinggalah mula berniaga secara serius di Kuala Lumpur.

Saya punya cara merokok unik sikit, boleh merokok satu hingga dua batang sahaja sehari atau boleh mencecah dua kotak sehari, bergantung kepada keadaan sekeliling.

Jadi saya ni nak kata perokok tegar tu tak juga, mungkin separa tegar kot.

Demam Pada Bulan Ramadhan Jadi Asbab ‘Tangguh’ Merokok

1 Ramadhan 1435 (30 Jun 2014), saya demam.

Pada hari tersebut saya berada di kampung isteri di Melaka sempena sambut Ramadhan di sana.

Memang letih sangat dengan seminar bisnes 4 hari baru selesai, dengan urusan kerja, dengan pemanduan dari KL ke Melaka, sampai-sampai rumah terus rasa seram sejuk.

Esoknya, terus demam.

Pada hari tu saya tak sentuh langsung ROKOK!

Mana taknya, bau asap pun dah tak lalu. Busuk sangat. Dalam hati kata, “Tunggulah esok, aku hisap banyak sikit..hahaha (gelak jahat).”

Berbalik pada kisah demam tadi, hari kedua Ramadhan demam masih belum kebah. Jadi masih tak boleh merokok sebab hidung masih tersumbat.

Rokok Pall Mall Merah 20’s yang dibeli di Petronas R&R Seremban masih ada baki dalam 13 batang macam tu.

Hati saya memujuk, “Rilek bro, esok kita kasi hentam puas-puas”.

Pada hari ketiga Ramadhan, demam dah semakin kebah. Waktu siang tak boleh merokok sebab puasa, jadi terpaksa tunggu sehingga buka puasa.

Perghh, memang syahdu habis kalau merokok lepas berbuka puasa ni, hanya perokok sejati sahaja yang tahu ‘feel’ dia.

Tapi apa yang berlaku selepas berbuka puasa hari ketiga Ramadhan tu memang diluar jangkaan sendiri.

Saya mula 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐆𝐆𝐔𝐇 untuk merokok!

Cuba ‘Tahan’ Sampai Raya

Hati saya yang dah dua hari dok mengejek tiba-tiba menukar skrip, “Hang dah dua hari tak hisap rokok, lagipun lani kan bulan puasa, siang-siang bukan boleh merokok pun. Hang stop la dulu sampai habis puasa, nanti pagi hari raya, hang hisap la balik”.

Pada malam tu, termeterailah perjanjian untuk berhenti merokok selama sebulan sehingga hari raya pertama.

Ber’tangguh’ Merokok Lagi Bila Tiba Raya

Bila saya balik beraya di kampung halaman di Kulim, adalah menjadi kewajipan untuk lepak dengan kawan-kawan sepermainan yang dah lama tak jumpa di satu ‘port’ berdekatan masjid.

Tujuan utama perjumpaan ini ialah untuk kami sembang-sembang dan melepaskan gian sebab dah sebulan tak boleh merokok pada waktu siang.

Pada hari ini, kali kedua saya 𝐁𝐄𝐑𝐓𝐀𝐍𝐆𝐆𝐔𝐇 untuk merokok.

Si hati berkata lagi, “Bro, hang dah sebulan stop smoking, why not hang continue sebulan lagi, habis Syawal ni kita on balik”.

Ok, saya setuju!

𝐏𝐄𝐍𝐀𝐍𝐆𝐆𝐔𝐇𝐀𝐍 merokok ini dibawa ke bulan depan dan bulan seterusnya. Jumlah bulan yang terlibat ialah empat (4) bulan atau lebih kurang 120 hari.

Lepas 4 Bulan Tahan Diri Daripada Merokok…

Selepas bulan keempat, tiada lagi ‘penangguhan’ merokok.

Ini disebabkan otak saya secara automatik dah ubah ‘setting’ bahawa saya sudah tak perlu merokok.

Jadi, saya dah boleh keluar untuk lepak dan ber’networking’ dengan kawan-kawan yang merokok tanpa ada rasa nak merokok semula.

Alhamdulillah, dari saat itu, keinginan nak merokok terus hilang sehinggalah sekarang yang dah masuk tahun ke enam.

Asalnya Memang Ada Pasang Niat Nak Berhenti Merokok

Oh ya, sebenarnya dua minggu sebelum kejadian demam, saya ada pasang satu niat.

Iaitu niat yang bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok.

Hati saya pada masa tu seolah-olah tengah marahkan diri sendiri.

“Hang berhenti kerja sebab nak buat bisnes, hang nak buat bisnes sebab nak kaya, hang nak kaya sebab nak bantu keluarga, hang nak ubah hidup keluarga hang, tapi diri hang sendiri tak berani nak berubah. Hang sendiri tak mau berhenti merokok. Kata nak kukuhkan kewangan, tapi rokok boleh pulak beli hari-hari!”

Siapa sangka bulan Ramadhan inilah bulan yang dapat mengubah saya mencapai matlamat ini.

Walaupun bukan mudah, namun ia tak mustahil dengan izin Allah…

Jadi ambillah peluang bulan Ramadhan ni untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Tak kisah apa sahaja yang anda nak ubah, pasang niat dengan bersungguh-sungguh.

Menangislah kalau perlu, insha Allah, Allah akan permudahkan semudah-mudahnya untuk anda dalam bulan yang penuh berkat ini.

Pengalaman berhenti merokok

P/S: Gambar di atas ini diambil pada hari saya betul-betul nekad nak berhenti merokok pada tahun 2014.

Gambar di bawah ini pula diambil sekitar tahun 2019, setelah hampir 6 tahun bebas rokok.

Pengalaman berhenti merokok

Semoga kita sama-sama dapat menghayati Ramadhan dengan penuh makna.

Bagi saya, Ramadhan sememangnya bulan yang sangat suci dan penuh keberkatan.

Ramadhan tahun ini pula, saya dapat menjadi imam solat terawih kepada Abah, Mama dan isteri.

Subhanallah… Alhamdulillah…

Jangan lupa panjatkan doa demi doa sebab bulan Ramadhan ada banyak waktu mustajab untuk berdoa. Jadi manfaatkanlah sepenuhnya.

Semoga dengan perkongsian ini semua niat baik kita akan dipermudahkanNya.

 

*Pengalaman berhenti merokok di bulan Ramadhan ini dikongsikan oleh saudara Hamudi Mohamad Nor menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Sebarang tips atau pertanyaan boleh dirujuk pada post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×