Hebahan

Pelancaran Lagu Dan Video Muzik Liyana Jasmay “Oh Na Na” Dan “Selesa Tanpamu” H Live! X LJ

21
SHARES

Liyana Jasmay hari ini melancarkan dua single terbaru bertajuk “Oh Na Na” dan “Selesa Tanpamu” diiringi bersama muzik video kedua-dua buah lagu. Pelancaran ini dilakukan dengan cara yang unik iaitu melalui sebuah slot istimewa di Astro Ria yang bertajuk “H Live! X LJ”.

H Live! X LJ ialah sebuah dokumentari berdurasi 22 minit yang disiarkan pada hari Khamis, 27 Oktober 2016 pada jam 8:30 malam, di saluran Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 123. Dokumentari tersebut memberi ruang untuk Liyana Jasmay meluahkan rasa dan cerita tentang pembikinan kedua-dua lagu barunya. Ia membawa penonton ke belakang tabir pembikinan lagu dan proses yang dilalui oleh Liyana dalam menyempurnakan kedua-dua lagu ini. Di penghujung dokumentari tersebut, kedua-dua buah muzik video lagu Oh Na Na dan Selesa Tanpamu akan disiarkan untuk pertama kalinya kepada umum secara eksklusif, menandakan pelancaran rasmi kedua-dua buah lagu tersebut.

img_7257-1

Untuk menyemarakkan lagi pelancaran kedua-dua lagu tersebut, Liyana Jasmay juga telah menganjurkan sebuah majlis bertajuk “Watch & Listen Party” untuk menonton dokumentari tersebut secara langsung bersama-sama keluarga, rakan-rakan selebriti dan rakan-rakan media di Bistro 160, Hotel Grand Millennium di Kuala Lumpur. Di majlis itu, tetamu bersama-sama menonton dokumentari tersebut dan kemudiannya disajikan dengan persembahan akustik oleh Liyana Jasmay yang mendendangkan kedua-dua lagu barunya dengan iringan gitar.

H Live! X LJ ialah hasil kolaborasi Liyana Jasmay dan H Live!, sebuah rancangan TV yang memberi fokus kepada berita bidang hiburan Malaysia. Menurut Liyana, dia merasakan yang H Live! ialah sebuah rancangan hiburan alaf baru yang mengambil sudut positif terhadap sebarang perkembangan artis Malaysia. Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, Liyana merasakan motto “bukan sekadar gosip” yang diambil oleh H Live! dalam membuat liputan dunia hiburan sebagai satu langkah yang patut dicontohi ramai memandangkan ia memberi impak yang positif kepada selebriti dan peminat. Kerana itulah Liyana merasakan H Live! ialah pilihan yang tepat sebagai penyiar rasmi kedua-dua muzik terbarunya.

img_7287

Pada mulanya Liyana hanya inginkan H Live! untuk menjadi rancangan TV rasmi pada majlis pelancaran lagunya, namun pertemuan positif bersama Ketua Pengarang H Live!, Encik Adly Syairi telah menghasilkan idea yang jauh lebih baik iaitu sebuah dokumentari yang diakhiri dengan siaran rasmi muzik video yang akhirnya dinamakan H Live! X LJ. Lebih menarik, dokumentari ini diarahkan oleh pengarah kegemaran Liyana sendiri iaitu, Ghaz Abu Bakar. Pemilihan Ghaz Abu Bakar sebagai pengarah amat sesuai memandangkan Ghaz sendiri ialah pengarah untuk muzik video pertama Liyana pada tahun 2009. Liyana sangat berbesar hati dengan semua kerjasama dari pihak H Live! dan berharap akan mendapat lebih banyak peluang untuk berkolaborasi bersama H Live! di masa akan datang.

Liyana megakui bahawa setelah lama berdiam diri dalam arena nyanyian membuatkan dia gementar untuk menghasilkan lagu baru. Namun di atas sebab rindu yang mendalam terhadap dunia nyanyian, dia menggagahkan diri untuk menyiapkan dua lagu tersebut. Menurutnya, dia inginkan sesuatu yang baru dan berbeza dari apa yang pernah dirakamkan sebelum ini dan dalam mencari komposer yang sesuai untuk memberinya lagu yang tepat, dia banyak mendengar lagu-lagu penyanyi lokal dan penyanyi luar negara.

img_7360

Pertemuan dengan Alif, komposer dan juga penyanyi dari kumpulan Sleeq pada tahun lalu memberi impak yang besar dan tanpa ragu-ragu Liyana memilih Alif untuk menjadi komposer untuk lagu-lagu barunya. Alif sememangnya terkenal dengan kreativitinya mengolah bunyian dan lagu yang berunsur hip-hop dan itulah yang diingini oleh Liyana. Setelah berbincang dan mendengar permintaan Liyana, Alif tampil dengan demo Oh Na Na dan nyata, Liyana setuju.

Tidak puas dengan hanya satu lagu, Liyana meminta Alif untuk mencipta sebuah lagi lagu. Atas permintaan Liyana, lagu tersebut digubah sebagai sebuah lagu duet. Setelah lama mencari penyanyi lelaki yang sesuai, Liyana akhirnya memilih Syarif, juga ahli kumpulan Sleeq. Pemilihan Syarif berdasarkan kemerduan suaranya dan kebolehannya menjiwai muzik yang bercirikan motown yang digubah oleh Alif. Proses rakaman suara Liyana Jasmay disiapkan di Malaysia namun setelah memilih Syarif, Liyana telah ke Singapura untuk menyempurnakan rakaman bersama-sama di sana. Rakaman di Singapura telah memberi Liyana pengalaman baru dan memberi peluang kepada Liyana untuk berkenalan dengan pemuzik di sana.

img_7341

Pembikinan kedua-dua video muzik telah diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Idea untuk menjalankan penggambaran di sana ialah idea Liyana sendiri dan ia terhasil setelah melihat hasil kerja seorang pengarah baru, Jeany Amir. Penggambaran mengambil masa selama empat hari dan antara lokasi menarik yang terlibat adalah Venice Beach, Palm Springs dan Malibu Beach. Banyak pengalaman menarik yang didapati oleh Liyana namun pengalaman yang paling berharga ialah bekerja bersama kru warga Amerika di sana yang telah banyak mengajar Liyana untuk menjadi lebih professional.

Kedua-dua lagu ini telah diterbitkan oleh Mermaid Studios Sdn Bhd dan Warner Music Malaysia Sdn Bhd. Liyana membuat keputusan untuk bergabung bersama Warner Music Malaysia kerana dia percaya bahawa Warner mampu menjalankan tugas memasarkan kedua-dua lagunya dengan baik memandangkan Warner mempunyai portfolio yang hebat di Malaysia. Liyana banyak mendapat banyak sokongan dari pihak Warner terutamanya dari Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy yang menggemari kedua-dua buah lagu tersebut.

Liyana Jasmay mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan berharap agar kedua-dua lagu diterima pendengar dan akan menjadi kegemaran ramai.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×