Umum mengetahui bahawa Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). PKPB ini juga telah berlangsung selama dua minggu dan dilanjutkan lagi sehingga 7 November 2020.
Ini menimbulkan kegusaran ramai orang yang tidak dapat merentas negeri terutama sekali untuk bertemu keluarga. Ada yang sudah hampir berbulan tidak bertemu pasangan dan anak-anak kerana berada di negeri yang berbeza.
PASANGAN TERPISAH BOLEH RENTAS NEGERI TAPI BERSYARAT
Ini mungkin berita baik buat pasangan suami isteri yang terpisah akibat pelaksanaan semula PKPB dikawasan masing-masing kerana mereka dibenarkan memohon kebenaran dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan adalah sama dengan SOP PKPB yang dilaksanakan pada Mei lalu.
Namun, perlu anda tahu bahawa menunjukkan bukti surat dari pihak PDRM adalah wajib. Mana-mana pasangan suami isteri yang mahu masuk ke negeri yang dikenakan PKPB perlulah mengemukakan bukti dan maklumkan tujuan sebenar mereka kepada pihak PDRM.
“Mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM dan memaklumkan mengenai tujuan dan menunjukkan bukti.
“InsyaAllah, polis akan benarkan, untuk lebih maklumat, orang ramai boleh menyemak di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya
Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 310 buah kenderaan diarah berpatah balik oleh anggota keselamatan di sekatan jalan raya atas pelbagai alasan pergerakan tanpa kebenaran pihak PDRM.
Sumber : Berita Harian