Bersalin

10 Pantang Larang Melawat Bayi Baru Lahir

524
SHARES

Menerima berita kelahiran ahli baru memang menggembirakan. Cukup seronok hingga tak sabar satu family nak melawat bayi baru lahir.

Biasanya keluarga dan kawan akan datang beramai-ramai menjenguk ibu dan bayi di hospital atau di rumah.

10 Pantang Larang Melawat Bayi Baru Lahir

Dalam kegembiraan dan keterujaan melihat si kecil, ada beberapa perkara yang perlu dielakkan ketika melawat demi menjaga kesihatan bayi iaitu:

1. Pakai baju yang penuh dengan asap dan kotoran

Pastikan anda pakai baju yang bersih ketika melawat bayi baru lahir. Jika anda seorang perokok, elak merokok sebelum melawat bayi baru lahir kerana asap rokok boleh melekat di baju serta rambut. Ia sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan bayi.

2. Letak makanan atau minuman panas berdekatan dengan bayi

Malang tidak berbau. Oleh itu, elakkan daripada minum air panas ataupun meletak benda-benda panas berdekatan dengan tempat tidur bayi meskipun untuk sementara waktu.

3. Bawa anak kecil (yang merengek) bersama

Ibu yang baru bersalin biasanya masih kepenatan beberapa hari. Ditambah lagi perlu berjaga untuk menyusu dan menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli baru.

Kadang-kadang mereka perlu suasana yang tenang. Kehadiran anak-anak kecil yang aktif berlari-lari dalam wad boleh mengganggu ketenteraman ibu dan bayi baru lahir.

Jika terpaksa, pastikan anak kecil telah diberi makan dan membawa maina kegemaran supaya mereka berada dalam keadaan tenang. Jika mereka mula membuat ‘perangai’, jangan menangguh dan usulkan diri untuk pulang dengan sopan.

4. Melawat bayi baru lahir di luar waktu yang dibenarkan

Sebaiknya, datang melawat pada waktu yang ditetapkan oleh pihak hospital. Ini untuk memberi peluang ibu berehat sepenuhnya sebelum bersedia menerima kedatangan tetamu.

Jika melawat di rumah, pastikan anda menelefon terlebih dahulu dan bertanyakan kesihatan ibu dan bayi. Jangan datang terlalu awal atau terlalu lewat untuk memberi mereka masa berehat.

5. Tidak mencuci tangan

Terutamanya sebelum memegang bayi baru lahir. Ini adalah untuk mengelakkan anda memindahkan kuman pada bayi yang belum kuat lagi sistem imunisasinya.

Meski sudah cuci tangan sekalipun, pastikan anda tidak memasukkan jari ke dalam mulut bayi demi memelihara kesihatan bayi.

6. Kejutkan bayi yang sedang tidur

Ada yang tak cukup sekadar melihat wajah ahli baru, meminta pula untuk melihat mata bayi. Jika bayi sedang lena tidur, jangan dikejutkan semata-mata menunaikan permintaan tetamu.

Bayi baru lahir perlukan tidur yang secukupnya. Jika bayi meragam, ingat, ibu juga yang perlu berjaga untuk menenangkannya.

7. Sakit ketika datang melawat

Jika tidak sihat, elak datang melawat ibu dan bayi kerana anda berisiko memberi penyakit anda kepada mereka.

Kasihan ibu, sudah lah belum habis penat bersalin, perlu pula merawat anak yang sakit.

8. Asyik memegang dan mengambil gambar bayi tanpa minta izin

Ada ibu yang masih belum bersedia memberi orang lain menyentuh bayinya. Hormati pendirian si ibu. Jangan ambil hati kerana mungkin dia ada sebab yang tersendiri.

Ada pula rakan atau ahli keluarga yang sibuk mengambil gambar atau merakam video bayi baru lahir. Kemudian di ‘upload‘ pula di FB mereka sesuka hati!

Tidak dinafikan, ada ibu yang gembira dan memang suka bergambar. Tetapi ada juga yang tidak suka diperlakukan sebegitu, lebih-lebih lagi dalam keadaan letih selepas bersalin.

Hanya apabila si ibu beri keizinan, barulah anda boleh mendukung dan merakam gambar bayi.

9. Merenung ibu yang sedang menyusu

Bayi baru lahir memang kerap menyusu. Oleh itu, janganlah menunjukkan ekspresi pelik atau hairan sehingga membuatkan si ibu merasa tidak selesa untuk menyusukan bayi. Lebih elok jika anda menjaga pandangan anda.

10. Elak beri nasihat berjela-jela

Dalam keadaan masih penat, si ibu tidak perlukan pendapat semua orang memberitahu apa yang terbaik untuk dirinya dan bayi meskipun itu adalah pengalaman pertamanya.

Biarkan ibu berehat sehingga dapat mengembalikan tenaganya. Jika dia perlukan nasihat, pasti dia akan bertanya pada anda.

Dalam keterujaan melawat bayi baru lahir,

Fikirkan juga kesihatan dan keselesaan ibu dan bayi apabila anda datang melawat. Lebih-lebih lagi ibu yang masih kepenatan bertarung nyawa melahirkan perlu rehat yang secukupnya.

Elak lakukan perkara yang boleh mendatangkan sensitiviti si ibu dan menjejaskan kesihatan bayi yang baru lahir.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×