Menerusi infografik yang dikongsikan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, solat sunat gerhana bulan dilakukan secara berjemaah sebanyak dua rakaat dan mempunyai keunikan tersendiri berbanding solat sunat yang lain.
Solat ini dilaksanakan sebanyak dua rakaat, namun setiap rakaat mempunyai dua kali berdiri dan dua kali rukuk sebelum sujud.
PANDUAN RINGKAS SOLAT SUNAT GERHANA BULAN 2 RAKAAT

Kredit: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. Secara keseluruhannya, solat ini mengandungi:
- 2 rakaat
- 4 kali rukuk
- 4 kali bacaan Surah Al-Fatihah
Keunikan inilah yang membezakan solat gerhana bulan daripada solat sunat biasa.
Lafaz niat yang boleh dibaca ialah: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”
Niat ini dibaca ketika mengangkat takbiratul ihram sebagaimana solat-solat lain.
Rakaat Pertama
Bagi rakaat pertama, jemaah akan:
1. Berdiri dan membaca Surah Al-Fatihah serta surah pilihan.
2. Rukuk.
3. Bangun semula untuk kali kedua dan membaca Surah al-Fatihah serta surah pilihan.
4. Rukuk kali kedua.
5. Kemudian barulah dilakukan sujud seperti biasa dengan dua kali sujud.
Rakaat Kedua
Rakaat kedua dilakukan dengan tatacara yang sama seperti rakaat pertama, iaitu dua kali berdiri (bacaan Al-Fatihah dan surah) serta dua kali rukuk sebelum sujud.
Bacaan Secara Nyaring
Dalam solat sunat gerhana bulan, bacaan Surah al-Fatihah dan surah pilihan disunatkan dibaca secara nyaring (kuat), khususnya jika dilakukan secara berjemaah.

Freepik
Dua Khutbah Selepas Solat
Selepas selesai solat, disunatkan untuk membaca dua khutbah sebagaimana khutbah Jumaat. Khutbah tersebut hendaklah memenuhi rukun dan syarat khutbah seperti yang ditetapkan dalam syariat.
Menghayati kebesaran Allah
Gerhana bulan merupakan antara tanda kekuasaan Allah SWT. Justeru, umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa, istighfar dan zikir selain melaksanakan solat sunat gerhana sebagai tanda keinsafan dan pengabdian kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Maka apabila kamu melihat gerhana itu, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah solat dan bersedekahlah.” (Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)
Semoga panduan ringkas ini dapat membantu umat Islam memahami dan melaksanakan solat sunat gerhana bulan dengan lebih tertib dan sempurna apabila berlakunya fenomena tersebut.
Sumber: Jabmuftins
