Trend menyertai marathon kini semakin mendapat perhatian di Malaysia. Daripada larian 5KM hinggalah ke half marathon dan full marathon, ramai sanggup merentas negeri semata-mata untuk mencabar diri dan merasai pengalaman berlari di lokasi baharu.
Tapi, latihan fizikal sahaja sebenarnya tak mencukupi. Tanpa perancangan yang betul, perkara seperti tiket penerbangan, penginapan atau kelengkapan race day boleh menjadi punca stres sebelum perlumbaan bermula.
Kalau anda dah berjaya dapat slot marathon, jangan sibuk training saja. Pastikan lima persediaan ini dah selesai supaya anda boleh fokus menikmati larian nanti.
1. Tempah tiket & hotel seawal mungkin

Sebaik sahaja berjaya mendapatkan slot marathon, terus rancang perjalanan anda. Lebih awal anda menempah tiket penerbangan dan hotel, lebih banyak pilihan yang tersedia dan peluang untuk mendapatkan harga yang lebih berpatutan.
Untuk penginapan pula, pilih hotel yang berhampiran lokasi flag-off. Selain menjimatkan masa perjalanan pada awal pagi, anda juga tidak perlu risau tentang kesesakan lalu lintas atau sukar mendapatkan pengangkutan sebelum perlumbaan bermula.
2. Jangan pakai outfit baru pada hari permulaan

Nampak remeh, tetapi memakai pakaian atau kasut baharu pada race day boleh menyebabkan rasa tidak selesa, melecet atau mengganggu prestasi larian.
Sebaiknya, gunakan pakaian, kasut dan stokin yang sudah beberapa kali dipakai ketika latihan. Dengan cara ini, anda lebih yakin dan tahu apa yang paling selesa sepanjang larian.
3. Sediakan beg race day sehari sebelum bertolak

Jangan tunggu sehingga pagi perlumbaan untuk mencari bib nombor atau mengecas power bank. Lebih baik sediakan semua keperluan sehari lebih awal supaya anda lebih tenang.
Antara barang yang boleh dimasukkan ke dalam beg ialah:
- Bib nombor
- Kasut dan stokin running
- Pakaian ganti
- Gel tenaga atau snek
- Botol air
- Tuala kecil
- Power bank
- Jam sukan atau earphones (jika diperlukan)
4. Tiba sekurang-kurangnya sehari lebih awal

Jika marathon berlangsung di negeri lain, cuba elakkan tiba pada hari yang sama. Perjalanan yang jauh boleh membuatkan badan penat dan memberi tekanan jika berlaku kelewatan penerbangan atau kesesakan jalan raya.
Datang sehari lebih awal memberi ruang untuk mengambil race kit, berehat secukupnya dan membiasakan diri dengan lokasi sebelum perlumbaan bermula.
5. Jadikan marathon sebagai mini percutian

Kalau dah sanggup merentas negeri, apa kata manfaatkan peluang itu untuk meneroka tempat menarik di sekitar lokasi marathon? Selepas tamat perlumbaan, luangkan masa menikmati makanan tempatan atau berjalan-jalan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Sedikit perancangan tambahan boleh menjadikan pengalaman marathon lebih bermakna, bukan sekadar mengejar catatan masa terbaik.
Marathon lebih seronok bila semua dah dirancang
Menamatkan larian memang satu kepuasan, tetapi pengalaman sebelum dan selepas race juga memainkan peranan besar. Dengan sedikit perancangan dari segi perjalanan, penginapan dan kelengkapan, anda boleh mengurangkan tekanan dan menikmati setiap detik marathon dengan lebih tenang.
Jadi, sebelum fokus mengejar rekod peribadi atau pingat penamat, pastikan lima persediaan ini sudah diselesaikan terlebih dahulu. Selamat berlari dan semoga berjaya menamatkan perlumbaan anda!
