Sihat

Mungkin Tanda Kanser, Ini Sebab Kenapa Anda Selalu Ada Masalah Kencing Tidak Lawas

15
SHARES

“Aduh, asyik nak terkencing je ni padahal dah kencing tadi…”

Pernah atau tidak anda mengalami situasi seperti di atas? Manakan, baru sahaja buang air kecil tetapi rasa macam nak pergi ke tandas lagi. Ini menunjukkan bahawa anda sedang mengalami masalah kencing tidak lawas. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang mengambil ringan mengenai hal ini namun anda perlu berhati-hati, ini mungkin menjadi petanda anda menghidap penyakit lain yang boleh menjurus kepada penyakit lebih kronik!

MASALAH KENCING TIDAK LAWAS. APAKAH PUNCANYA?

Kencing tak lawas berlaku apabila seseorang itu merasakan air kencingnya masih ada walaupun baru seketika tadi dia telah membuang air kecil. Ia akan mengganggu individu tersebut kerana dia terpaksa berulang alik ke tandas untuk membuang air kencing tersebut. Malah jika ia berlaku dalam jangka waktu yang lama, ia boleh memberi tekanan kepada pesakit tersebut.

SIMPTOM-SIMPTOM

1. Kerap ingin buang air kencing

2. Merasakan masih lagi ada air kencing setelah seketika tadi baru sahaja membuang air kencing

3. Terdapat air kencing yang meleleh keluar ketika mana pesakit bukan di dalam tandas

4. Kencing sakit

5. Kerap kencing waktu malam

6. Arus air kencing yang tidak laju

7. Terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing

8. Kencing berdarah

PUNCA-PUNCA

1. Benign Prostatic Hyperplasia

Penyakit ini berlaku apabila struktur prostat dibahagian saluran air kencing membesar dan menghimpit saluran air kencing.Prostat berfungsi sebagai struktur yang merembeskan semen ke dalam air mani sebelum ia dipancut keluar daripada zakar.

Ketika seseorang itu berumur, prostat tersebut boleh bengkak. Jika ia terlalu besar, ia akan menghimpit saluran air kencing dan menyebabkan air kencing susah untuk dibuang. Pesakit terpaksa meneran untuk mengeluarkan air kencing tersebut

2. Batu Karang

Jika batu karang dibahagian saluran ureter iaitu saluran diantara buah pinggang dan pundi kencing, selalunya pesakit akan menghadapi sakit belakang yang teruk.Tetapi jika batu karang tersebut berlaku di pundi kencing, maka salah satu simptomnya adalah pesakit akan mengalami kesakitan ketika buang air kencing dan juga air kencing berdarah.
Pesakit juga akan mengalami kencing tak lawas disebabkan batu tersebut akan merangsang reseptor di dalam pundi kencing untuk seolah-olah merasakan terdapat air kencing lagi di dalam pundi kencing tersebut. Sedangkan hanya terdapat batu sahaja.

3. Kanser prostat atau kanser pundi kencing

Kanser prostat akan menyebabkan saiz prostat membesar dan menghimpit saluran air kencing. Ini menyebabkan pesakit sukar untuk membuang air kencing dan rasa tidak puas walaupun telah membuang air kencing.
Bagi kanser pada pundi kencing pula, ia akan menyebabkan pendarahan dalam pundi kencing. Ketika mana darah terlalu banyak, ia akan membeku di dalam pundi kencing dan menyumbati saluran air kencing

4. Kencing manis

Pesakit kencing manis yang mempunyai gula tidak terkawal akan menyebabkan penghasilan air kencing semakin meningkat. Ini kerana gula yang berlebihan akan masuk ke dalam air kencing dan menyebabkan ia pekat. Kepekatan air kencing ini akan menarik air di dalam badan untuk masuk ke dalam air kencing. Pesakit akan kencing selalu dan kerap kerana isipadu air kencing yang dihasilkan adalah lebih banyak. Ini menyebabkan kencing tidak lawas oleh pesakit.

5. Masalah Saraf

Masalah saraf yang dimaksudkan adalah masalah saraf yang akan mengganggu fungsi kawalan air kencing. Terdapat beberapa masalah saraf yang akan mengganggu kawalan untuk buang air kencing. Masalah saraf tersebut adalah seperti Multiple Sclerosis, Slipped disc, Sindrom Cauda equina dan kecederaan pada tulang belakang.

6. Keradangan prostat

Seperti yang dinyakatakan diatas, prostat adalah organ yang merembeskan simen ketika ejakulasi berlaku. Ketika mana keradangan ataupun jangkitan kuman berlaku, ini akan menyebabkan prostat tersebut membengkak dan menghimpit saluran air kencing.

7. Kencing kotor

Kencing kotor iaitu jangkitan kuman pada tempat buang air kencing juga akan menyebabkan rangsangan pada pundi kencing dan saluran air kencing. Ia akan menyebabkan pesakit rasa seolah-olah terdapat air kencing lagi di dalam pundi kencing. Sedangkan apa yang berlaku adalah pundi kencing tersebut mengalami rangsangan daripada jangkitan kuman yang sedang berlaku.

8. Tahan Kencing

Jika seseorang menahan kencing dengan terlalu lama, ia akan menyebabkan otot pundi kencing tidak dapat mengecut dengan sempurna. Ini akan menyebabkan terdapat lebihan air kencing di dalam pundi kencing. Oleh itu, dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terlalu lama menahan air kencing.

RAWATAN

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah kencing tak lawas ini berlaku. Oleh itu, rawatan pesakit ini adalah bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut.

1. Penggunaan antibiotik

Bagi pesakit yang mengalami kencing kotor, antibiotik diperlukan untuk merawat dan membunuh jangkitan kuman yang berlaku pada saluran air kencing.
Doktor juga selalunya akan memberikan ubat untuk mengalkalikan air kencing supaya pembiakan bakteria akan terganggu di kawasan tersebut. Kebanyakkan bakteria tidak sesuai hidup dalam kawasan beralkali.

2. Prosedur pemecahan batu karang

Batu karang yang mempunyai saiz yang kecil selalunya boleh dipecahkan dengan menggunakan ubat seperti potassium citrate. Ubat ini boleh mengalkalikan air kencing dan membuatkan struktur batu karang tersebut lebih rapuh dan mudah pecah. Batu karang yang masih tidak boleh dipecahkan menggunakan ubat tersebut, boleh dipecahkan dengan menggunakan laser khas. Walau bagaimanapun untuk batu karang yang saiznya besar, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan batu tesebut.

3. Ubat untuk kecutkan prostat

Pesakit yang mengalami masalah bengkak kalenjar prostat (Benign Prostatic Hyperplasia) boleh menggunakan beberapa jenis ubat yang terbukti untuk mengurangkan saiz prostat tersebut. Ubat ini selalunya akan diberi daripada bahagian pembedahan (surgical department) di hospital. Ini kerana kesan sampingan daripada ubat ini perlu dipantau oleh doktor berkaitan.

4. Pembedahan untuk buang prostat

Jika saiz prostat terlalu besar dan mempunyai bacaan PSA yang tinggi, maka prostat akan disyaki mempunyai kanser. Oleh itu, biopsi akan dilakukan bagi mengambil sedikit sampel daripada prostat. Jika terbukti terdapat sel kanser pada bahagian prostat, maka pembedahan untuk membuang prostat tersebut perlulah dilakukan sebelum kanser tersebut merebak ke tempat lain.

Akhir sekali, terdapat berbagai lagi cara rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat masalah ini. Akan tetapi, ujian untuk mengesahkan punca kepada masalah tersebut perlulah dilakukan terlebih dahulu untuk mengetahui punca yang menyebabkan masalah ini berlaku.

Sumber: Dr.Zubaidi Hj. Ahmad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×