Famili

7 Cara Mencegah Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD). Penting Bagi Anak Bawah 10 Tahun!

2.5K
SHARES
penyakit tangan kaki dan mulut

“Dekat berita dan media sosial kecoh tentang penularan penyakit kaki tangan dan mulut, sampai tutup tadika. Bahayakah? Bolehkah ianya dirawat? Ish, nak kena cari maklumat ni. Tengok anak kawan pun dah kena.”

Pada 16 Jun 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan sidang akhbar tentang trend peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut atau hand, foot and mouth disesase (HFMD) setelah melepasi paras amaran atau ’Alert Level’.

Sehubungan dengan itu, pihak KKM telahpun mengeluarkan Surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei 2016 kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya.

Menurut sidang akhbar tersebut, negeri Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi sehingga kini berbanding negeri lain iaitu 4,441 kes (32.6%), diikuti oleh Johor 1,393 kes (10.2%), WPKL 1,317 kes (9.7%), Sabah 1,299 kes (9.5%), Sarawak 1,108 kes (8.1%), Perak 892 kes (6.5%), Melaka 727 kes (5.3%), Pulau Pinang 713 kes (5.2%), Negeri Sembilan 522 kes (3.8%), Pahang 345 kes (2.5%) dan Kedah 265 kes (1.9%) sementara negeri-negeri lain kurang dari 200 kes.

Tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Daerah Petaling (1,626), Hulu Langat (1172) dan Klang (618).

penyakit tangan kaki dan mulut

Foto Kredit: mmgazette.com

Apakah Punca & Tanda Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD)?

Menurut KKM, Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).

Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari.

Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema danmyocarditis namun, ianya jarang berlaku.

penyakit tangan kaki dan mulut

Foto Kredit: kpkesihatan.com

Amalkan 6 Cara Ini Untuk Mencegah Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut

Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

1. Elakkan Tempat Awam

Seelok-eloknya, kurangkan aktiviti di luar buat sementara waktu.

Jangan membawa anak yang sakit ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

Menyusu di tempat awam

Foto Kredit: popsugar.com

2. Ketahui Tandanya

Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan mengetahui tanda-tanda penyakit ini.

Dengan itu, anak yang mempunyai tanda jangkitan dapat dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal.

Ia juga dapat mengelakkan daripada menular kepada kanak-kanak lain.

penyakit tangan kaki dan mulut

Foto Kredit: kpkesihatan.com

3. Amalkan Langkah Kebersihan Dengan Teliti

Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.

penyakit tangan kaki dan mulut 2

4. Mencuci Alatan & Mainan

Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) pada permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.

Tanda suami sayang isteri

Foto Kredit: atruesurvivor.com

5. Cermat Melupuskan Najis

Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

penyakit tangan kaki dan mulut

Foto Kredit: sheknows.com

6. Jangan Berkongsi Barang

Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.

Jika perlu, bekalkan anak dengan bekas makanan masing-masing di sekolah.

7. Saringan Pihak Sekolah & Pusat Jagaan

Pihak Pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengambil langkah-langkah yang sama seperti di atas.

Di samping itu, saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

penyakit tangan kaki dan mulut

Foto Kredit: m.utusan.com.my

Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD) Menular Dengan Sangat Cepat!

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kurang dari 10 tahun terutamanya, di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika.

Oleh itu, pastikan anda sentiasa peka jika terdapat sebarang tanda pada anak anda.

Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Jangan lupa maklumkan juga kepada pihak tadika atau pusat jagaan sekiranya anak anda terkena penyakit tersebut.

Tindakan ini dapat membantu mereka membasmi penyakit tersebut dengan berkesan.

 

*Sumber dan statistik dirujuk daripada Kenyataan Akhbar KPK 16 Jun 2016: Situasi Semasa Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Di Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×