Hebahan

Menambahbaik Kos & Kecekapan Operasi, Media Prima Terus Jadi Lebih Berdaya Tahan

30
SHARES

Terus menjadi syarikat yang lebih berdaya saing, Media Prima Berhad, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, hari ini mengumumkan di Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 (AGM) bahawa semua resolusi yang dinyatakan dalam Notis AGM bertarikh 10 Jun 2020 dan dibentangkan di AGM ke-19 ini telah diluluskan oleh para pemegang saham Kumpulan.

MEDIA PRIMA KEKAL PILIHAN PALING POPULAR

Berikutan pandemik Covid-19, keselamatan dan kesihatan para pemegang saham serta kakitangan menjadi keutamaan Kumpulan. Sehubungan itu, AGM kali ini dijalankan secara maya sepenuhnya melalui siaran web secara langsung dan pengundian dalam talian menggunakan Remote Participation dan Voting Facilities (“AGM secara maya”). Keputusan undian itu telah disahkan oleh pemeriksa bebas yang dilantik oleh Media Prima. Ini sejajar dengan Panduan mengenai Pengendalian Mesyuarat Agung bagi Penerbit Tersenarai (Guidance on the Conduct of General Meetings for Listed Issuers) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain itu, Media Prima baru-baru ini mengumumkan perolehan kewangannya untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020 (“1QFY20”) yang terus dipengaruhi oleh cabaran-cabaran industri di samping impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi. Kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM238.4 juta pada 1QFY20 yang mencatatkan penurunan marginal daripada RM239.1 juta dalam tempoh yang sama (“1QFY19”). Media Prima telah mengurangkan kerugian selepas cukai (“LAT”) kepada RM30.0 juta pada 1QFY20 berikutan inisiatif pengurusan kos, berbanding dengan LAT sebanyak RM42.8 juta pada 1QFY19.

Berita baik juga untuk perolehan segmen digital Kumpulan meningkat sebanyak 9% kepada RM18.9 juta disokong pertumbuhan iklan digital dengan kadar 12% berbanding tempoh perbandingan. Bagi tempoh dalam kajian, Media Prima kekal sebagai pilihan paling popular untuk kandungan mudah alih di Malaysia, dan mempunyai pencapaian audiens digital keseluruhan ketiga tertinggi selepas Google dan Facebook.

PEROLEHAN PERDAGANGAN MENINGKAT

Berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Perolehan perdagangan Kumpulan meningkat sebanyak 24% bagi 1QFY20, didorong oleh CJ Wow Shop, segmen beli-belah di rumah (home shopping) Media Prima, yang mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 18% dan peningkatan jumlah pelanggan sebanyak 27%. CJ Wow Shop juga telah memperluaskan capaian dalam talian melalui laman web dan platform mudah alihnya yang menyumbang 42% daripada jumlah jualannya bagi 1QFY20.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata: “Pandemik Covid-19 dan hasil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”) untuk mengekang penyebarannya telah memberi impak kepada banyak perniagaan selama beberapa bulan terakhir ini. Namun, Media Prima telah memberi fokus terhadap usaha untuk mengurangkan impak pandemik tersebut dan menghadapi persekitaran operasi yang lebih mencabar. Kami menjangkakan keadaan operasi yang sukar ini akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang, dan kami akan terus mengkaji semula operasi untuk memastikan kelestarian Kumpulan dalam waktu yang mencabar ini. “

MEMPERCEPATKAN FASA TRANSFORMASI

Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, juga menambah:

“Kami percaya prestasi 1QFY20 menunjukkan bahawa Media Prima sedang menuju ke arah yang betul untuk menjadi syarikat yang lebih berdaya tahan. Baru-baru ini kami telah melancarkan pendekatan jualan bersepadu melalui Media Prima Omnia, yang membolehkan kolaborasi dengan jenama-jenama besar semasa tempoh PKP.”

Sebagai tambahan, MP telah mempercepat fasa transformasi berikutnya yang melibatkan penambahbaikan kos dan kecekapan operasi dalam memberikan penyelesaian yang lebih efektif di platform-platform media kami. Transformasi ini bertujuan menjadikan perniagaan MP lebih mantap dan mampan, serta terus memberikan yang terbaik kepada audiens, pengiklan dan rakan kongsi.

“Secara keseluruhan, 2020 akan menjadi tahun yang menarik bagi Media Prima kerana banyak perubahan dan penambahbaikan akan dibuat daripada perspektif struktur, operasi dan keupayaan syarikat,”– Dato’ Iskandar.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×