Sihat

12 Makanan Terbaik Untuk Kuatkan Antibodi. Boleh Elak Penyakit!

7.1K
SHARES

“Si Rayqal ni sejak masuk taska asyik tak sihat je. Ni dah 2 minggu selsema tak hilang lagi. Macam mana nak buat bagi antibodi dia kuat sikit ye?”

Menurut Medical News Today, sistem kekebalan atau imuniti tubuh terdiri daripada organ, sel, tisu, dan protein yang berfungsi melawan patogen, iaitu virus, bakteria, atau benda asing yang menyebabkan jangkitan atau penyakit.

Apabila sistem imun berhadapan dengan patogen, ia akan mencetuskan tindak balas imun. Sistem kekebalan inilah yang akan melepaskan antibodi, yang melekat pada antigen pada patogen untuk membunuhnya.

Jadi, itulah pentingnya peranan antibodi dalam tubuh kita. Dengan mengambil sumber makanan tertentu dalam diet boleh menambah antibodi dan menguatkan tindak balas imun seseorang.

Jom ketahui beberapa jenis makanan terbaik yang boleh meningkatkan sistem imun dalam tubuh seseorang.

12 Makanan Terbaik Untuk Kuatkan Antibodi

1. Sup / Bubur

Waktu demam kerapkali kita akan rasa kurang berselera untuk makan. Jadi, selalunya Mak akan masakkan sup untuk anak-anak atau diri sendiri kan?

Sebenarnya sup adalah antara makanan terbaik untuk meningkatkan antibodi. Sebab apa? Pelbagai bahan yang berbeza boleh diletakkan dalam sup contohnya sup kaki ayam, sup cendawan, sayuran dan sebagainya. Begitu juga dengan bubur. Selain bubur nasi, boleh juga buat bubur gandum, bubur oat atau barli.

Cara masakannya yang tidak berminyak juga lebih sihat dan baik untuk pencernaan tubuh. Ditambah pula dengan bebawang dan rempah, banyak khasiat yang boleh didapati daripada semangkuk sup atau bubur tau!

2. Bawang Putih

Kajian menunjukkan ia mengandungi kandungan allicin, sejenis kompaun yang sangat unik berfungsi melawan jangkitan penyakit. Maka tak hairanlah ia telah digunakan sejak berabad lamanya untuk tujuan kesihatan.

So, masa masak sup nanti, jangan lupa lebihkan sikit bawang putih tu ya!

Foto: allremedies.com/

3. Halia

Menurut sebuah pemerhatian, halia mengandungi bahan yang bersifat antioksidan dan mampu mengurangkan keradangan dan amat berkesan untuk melegakan sakit tekak. Ia juga mengelakkan rasa loya dan mual bila badan rasa tak sihat.

Selain dalam sup, kita boleh tambah halia dalam masakan atau untuk buat teh. Cuma kalau dibuat teh mungkin kurang sesuai bagi anak-anak sebab rasanya sedikit pahit dan pedas.

Foto: www.well-beingsecrets.com/

4. Bayam

Sayur bayam yang dimasak sedikit (light cooking) dipercayai dapat mengayakan kandungan vitamin A dan membenarkan pembebasan nutrien penting daripada asid oxalic yang mampu melawan pelbagai penyakit.

Selain itu, bayam mengandungi pelbagai nutrien penting seperti

  • flavonoid
  • carotenoid
  • vitamin C
  • vitamin E
  • antioksidan

5. Yogurt

Probiotik yang terdapat dalam yogurt merupakan bakteria sehat yang berfungsi menjaga usus di samping memastikan saluran pencernaan terbebas dari kuman punca penyakit.

Sebaiknya pilih yogurt yang jenis plain sebab yang berperisa selalunya tinggi kandungan gula. Ibu boleh maniskan sendiri yogurt menggunakan buah-buahan segar seperti strawberi, mangga, buah naga atau madu. Tetap sedap!

6. Ikan

Kebanyakan ikan mengandungi pelbagai nutrien penting untuk tubuh, terutamanya sumber protein yang sihat.

Secara spesifiknya, salmon, ikan kembung dan makarel mengandungi lemak omega-3 yang dapat membantu mengurangkan keradangan serta melindungi paru-paru daripada jangkitan salur pernafasan.

7. Buah-buahan Sitrus

Buah-buahan sitrus seperti oren memang sinonim dengan Vitamin C kan?

Sebenarnya, pengambilan vitamin C ni penting untuk badan sebab tubuh kita tak boleh menghasilkannya. Jadi sebab itulah kita kena kerap makan buah-buahan untuk memastikan kesihatan tubuh sentiasa terjaga.

Selain buah oren, buah-buahan sitrus yang tinggi vitamin C termasuklah lemon, limau, dan grapefruit. Bagi anak yang tak berapa suka makan buah-buahan sitrus ni, boleh juga buat jus!

8. Kunyit

Bahan yang kita selalunya kita gunakan untuk gorengan ini sebenarnya sangat berguna untuk menambahbaik tindakbalas imun dalam tubuh seseorang.

Curcumin, sejenis kompaun dalam kunyit amat kaya dengan antioksidan dan berkesan melawan keradangan.

Selain bawang putih, kunyit juga sering digunakan dalam perubatan alternatif dan petua orang dulu-dulu untuk merawat selesema.

Jadi, lain kali masa menggoreng bolehlah lebihkan sikit kunyit dan kurangkan garam tu.

makanan antibodi

9. Jambu Batu

Selain oren dan buah-buahan sitrus, banyak lagi buah yang mengandungi kandungan vitamin C yang lebih tinggi, antaranya jambu batu.

Pengambilan vitamin C boleh memperbaiki fungsi sistem imun manusia dan terbukti membantu mengurangkan simptom demam dengan berkesan.

buah tinggi vitamin c

10. Kacang Almond

Bagi yang suka makan kudapan, makanlah kacang almond kerana ia mengandungi vitamin E. Pakar mengatakan vitamin E ini adalah kunci kepada sistem imun yang sihat.

Selain almond, kekacang lain seperti badam, pistachio dan kacang kuda juga mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan. Daripada makan jajan, baik makan kekacang ni kan?

11. Keledek

Keledek adalah antara makanan pertama yang sangat disukai oleh bayi. Kita yang dewasa ni pun tentu sukakan rasanya yang lemak manis.

Keledek sebenarnya bagus untuk kesihatan sebab ia mengandungi vitamin A semulajadi yang tinggi dan khasiatnya mampu bertindak sebagai benteng pertahanan badan.

khasiat keledek untuk bayi

12. Betik

Betik sebenarnya adalah superfood yang murah dan mudah didapati di Malaysia. Ia mungkin tak sepopular avokado, buah delima, dan blueberry tapi ternyata ia memiliki khasiat yang cukup mengagumkan.

Selain berkesan sebagai pelawas, buah betik juga mengandungi potassium, vitamin B, folat dan sejenis enzim papain yang berfungsi melawan keradangan sekaligus meningkatkan antibodi tubuh.

Pentingnya Pengambilan Makanan Seimbang

Bagi yang selalu sakit, cubalah amalkan makanan ini dan lihat hasilnya. Kebanyakan makanan ini sesuai dimakan oleh semua peringkat umur tak kira tua dan muda.

Walau apa pun, jangan lupa amalkan pengambilan makanan yang seimbang dan pelbagaikan diet anda setiap hari. Selain itu, usahakanlah untuk kekal aktif dengan bersenam, tidak merokok, mengelakkan stres serta mendapatkan tidur yang cukup.

Bila minda sihat, barulah tubuh pun terasa segar!

 

*Rujukan: TIME.com, Medical News Today, Healthline.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×