Asuh

“Macam Mana Sperma Boleh Masuk Badan Perempuan?”-Lelaki Ini Kongsi Jawapan Padu Baru Murid Faham!

156
SHARES

Bila mengupas topik persetubuhan dengan golongan kanak-kanak, ianya bukan sesuatu perkara yang mudah. Hal ini kerana, topik ini memerlukan ilmu yang tinggi, pemahaman yang jelas dan teknik penerangan yang betul daripada orang dewasa.

Justeru itu, apa kata anda baca serba sedikit perkongsian terperinci daripada saudara Akhi Fairuz Al-Jengkawi mengenai cara beliau mengulas mengenai topik persetubuhan kepada pelajar sekolah rendah untuk mereka fahami dengan betul. Semoga dapat membantu ibu bapa di luar sana!

Baca juga: Dah Buat Amalan Kerohanian Tapi Hati Masih Tak Tenang? Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah Kongsi 5 Tips

“MACAM MANA SPERMA BOLEH MASUK BADAN PEREMPUAN?”

Gambar: Akhi Fairuz Al-Jengkawi sedang memberi ceramah kepada pelajar sekolah.

PENERANGAN ILMU ASAS MENGENAI PERSETUBUHAN PADA ANAK

Bila pelajar sekolah rendah (tahap 2) tanya macam mana sperma boleh masuk badan perempuan, maka saya kena bersilat sikit untuk jawab.

Mula-mula kena fahamkan mereka beza lelaki dan perempuan, kenapa Allah bagi lelaki zakar dan perempuan faraj.

Kemudian saya akan terangkan secara terperinci anatomi kemaluan, fungsi testis, sperma, ovum, kenapa lelaki baligh keluar air mani, kenapa perempuan keluar darah haid.

1. PROSES PEMBIAKAN HIDUPAN & SEBAB MANUSIA MANDI WAJIB

Bila dah selesai bab tu, maka saya cerita pula bagaimana hidupan ini membiak. Pokok, buah-buahan, bunga, haiwan dan terakhir manusia.

Saya selalu guna contoh kucing yang mengawan. Kebiasaannya majoriti murid pernah tengok kucing beraksi. Cuma ada antara mereka tak tahu dengan cara itu kucing akan membiak.

Mereka juga tak sedar kucing jantan ada air mani. Jadi, air mani si jantan perlu dimasukkan ke dalam kemaluan kucing betina untuk berlakunya persenyawaan.

Akhirnya saya akan tanya pelajar kembali. “Awak rasa macam mana pula manusia membiak? Apa yang mereka lakukan? Macam mana sperma lelaki boleh bertemu dengan ovum yang berada dalam rahim perempuan?”

Ketika saya ajukan soalan ini, kebanyakan pelajar dah dapat tangkap apa point yang saya nak sampaikan.

Ramai dapat relate dengan topik hadas besar yang mereka belajar masa darjah 3. Salah satu sebab kena mandi wajib adalah bersetubuh/ persetubuhan.

2. PROSES SPERMA BERTEMU OVUM MANUSIA

Gambar hiasan: HelloDoktor.

Kemudian saya sambung.

“Jika kucing membiak melalui proses mengawan, maka manusia pula melalui persetubuhan, atau hubungan seksual. Zakar lelaki perlu dimasukkan ke dalam faraj perempuan. Barulah air mani (sperma) dapat bertemu ovum). Itulah yang dinamakan persetubuhan.”

Tapi penerangan tak boleh terhenti setakat tu je. Kena ‘bersilat’ lagi.

3. WAJIB BERKAHWIN SEBELUM LAKUKAN HUBUNGAN SEKSUAL

“Kita tak sama macam haiwan. Kucing tu ikut sukalah nak mengawan kat mana-mana pun. Tepi kaki lima sekolah ke, sebelah tayar kereta ke, lantak. Depa mana ada akal. Tapi manusia Allah dah tetapkan peraturannya.

Kalau nak buat hubungan seksual, wajib berkahwin. Barulah boleh lalukan hubungan berkenaan. Dan sebab itu juga pasangan yang berkahwin tidur sebilik. Mak dan ayah kita.”

RUANG PRIVASI ANTARA IBU AYAH & ANAK PERLU DIBINA

Gambar hiasan: TheAsianParent.

Masuk bab bilik ni, saya akan tanya pelajar siapa masih tidur sama bilik dengan mak ayah. Biasanya kalau ada 300 orang pelajar (murid 10-12 tahun), hampir 30-40 orang juga akan angkat tangan.

Jadi, saya terangkan lagi kepada pelajar.

“Awak tak boleh tidur lagi bersama mak ayah. Ibu bapa perlukan ruang privasi. Kasih sayang mak ayah ni bukan hanya pegang tangan masa berjalan, berpelukan, cium pipi, bahkan lebih dari tu.

Aurat ibu, ayah kita boleh tengok, aurat ayah, ibu kita boleh tengok. Kalau kita masih tidur bilik yang sama, kesianlah mak ayah kita untuk berkasih sayang.”

Sebenarnya bab ni saya tak salahkan anak, tapi salahkan mak ayah yang tak bertegas dan disiplinkan anak tidur bilik sendiri. Nak jadi apa sampai ada kes budak perempuan umur 14 tahun tidur dengan si bapak setiap malam!

PERSETUBUHAN YANG DIREDHAI ALLAH ADALAH MELALUI PERKAHWINAN

Gambar hiasan: HelloKerja.

Kemudian, saya sambung semula pasal pembiakan tadi.

“Bila persetubuhan berlaku dalam perkahwinan, Allah redha. Dapat pahala. Sama macam orang bersedekah.
Tapi! (Masa ni saya tekankan sungguh-sungguh).

1. ZINA? DOSA BESAR!

Bila hubungan seksual ni berlaku di luar perkahwinan, maka ia dinamakan Zina. Ya, dosa besar. Haram! Nak dekati pun Allah larang.

2. ROGOL? HUBUNGAN SECARA PAKSA ADALAH JENAYAH!

Tapi kalau hubungan tu dibuat secara paksa, ia dinamakan rogol. Rogol ni jenayah! Perbuatan jahat, kejam, jijik!
Sabit kesalahan, boleh dipenjara selama 20 tahun dan sebatan.”

Biasanya saya akan tunjuk demo macam mana sebatan dilakukan. Kemudian saya sambung lagi.

3. HUBUNGAN SEKSUAL BERSAMA GOLONGAN BAWAH UMUR ADALAH JENAYAH ROGOL!

“Tapi rogol ni bukan sekadar secara paksaan sahaja, ia juga dinamakan rogol walau hubungan seksual tu berlaku suka sama suka.

Contoh, pakwe dengan makwe ke, orang dewasa dengan budak perempuan ke, asal yang perempuan bawah umur 16 tahun, keluarganya buat report polis, sabit bersalah lelaki tu akan dipenjara dan disebat.

Nak ke meringkuk lama-lama dalam penjara atas kesalahan seperti tu? Ada tu baru pertama kali cuba buat, itupun sebab kawan-kawan ajak. Seronok dapat ‘kenduri’kan perempuan. Dah perempuan tu on, budak lelaki air naik atas kepalalah!

Sekali bila keluarga perempuan buat laporan polis, habis semua pelaku disumbat ke penjara. Tak berbaloi hidup macam ni.

DIDIK ANAK-ANAK SEBETULNYA MENGENAI HUBUNGAN SEKSUAL

Gambar hiasan: Facebook Wanita IKRAM Negeri Sembilan.

Hidup kau orang ni panjang lagi. Tuntut ilmu sungguh-sungguh. Seperti mana kita tak suka mak kita, kakak kita, adik perempuan kita diperlakukan seperti itu, begitu juga orang lain. Mereka juga punya wanita disekelilingnya.

Yang perempuan pula jaga diri elok-elok. Jangan mudah percaya janji manis lelaki. Tolong jadi pandai.

1. LARANG ANAK DARIPADA KELUARKAN PERKATAAN LUCAH

Lagi satu, kat sekolah jangan suka-suka hati dok sebut nak rogol kawan. Ingat perkataan tu boleh dibuat main? Kelakar? Ini sampai saya dengar budak darjah 1 pun dah berani sebut nak rogol kawan. Belajar dari siapa? Nak jadi penjenayah?

Bla bla bla.. Bla bla bla..”

Panjang sebenarnya ayat-ayat yang selalu saya gunakan untuk nasihat pelajar. Kalau saya sambung tulis lagi ni, mahu 30 minit baru habis baca. 

Itu jika bersama murid sekolah rendah tahap dua, kalau dengan budak sekolah menengah, lagilah garang aku tekankan bab ni! Yang rasa kelakar pun sampai muka pucat lesi rasa takut.

2. JANGAN NORMALISASIKAN LAWAK LUCAH DALAM MASYARAKAT

Dia ingat semua benda boleh buat lawak.

Nak buat macam mana lawak lucah ni dah lama dinormalisasi. Dari segenap sudut kehidupan dilucahkan. Sampai bilalah muslim di Malaysia ni nak anggap serius benda ni.

Akhi Fairuz Al-Jengkawi,

Didik anak lelaki agar hormati wanita, lindungi mereka dan jangan sekali-kali ada niat merogol mereka. Ajar mereka jauhi pornografi dan segala lorong yang membawa ke arahnya.

#TukangCeramahBudakSekolah

“MEMANG SUSAH NAK JAWAB BILA ANAK TANYA, RISAU SALAH JAWAB…”

Menjengah di ruangan komen pula, rata-rata pengikutnya terutama golongan ibu bapa sangat berterima kasih dengan penerangan yang sangat jelas itu untuk memudahkan dan membantu mereka berkongsi dengan anak-anak di rumah.

Sumber: Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×