Tergamaknya! Dalam sebuah laporan oleh Sinar Harian semalam, seorang bapa telah ditahan di Sungai Petani atas kesalahan mencabul dan meliwat anak perempuannya yang berusia 3 tahun.
Perbuatan seorang bapa mencabul dan meliwat anak perempuannya berusia 3 tahun serta merakam perbuatan tersebut terbongkar selepas gambar perlakuan terkutuk itu ditemui isterinya.
Kejadian Berlaku Ketika Isteri Keluar Bekerja
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku antara jam 7 pagi hingga 3 petang ketika suspek yang berusia 25 tahun mengasuh anaknya kerana isterinya bekerja.
Menurutnya, kejadian disedari Ahad lalu setelah anak lelaki pasangan itu berusia 4 tahun memberikan telefon bimbit bapanya kepada ibunya.
“Setelah telefon dibuka, isterinya ternampak gambar bogel anak mereka dalam telefon.
“Selepas diperiksa lagi, ibu mangsa mendapati terdapat banyak gambar perlakuan terkutuk itu.
“Isteri suspek telah membuat laporan polis berhubung kejadian setelah suaminya tidak mengaku melakukan perbuatan itu,” katanya.
Difahamkan, gambar terbabit diambil pada 29 Februari lalu.
Kesan Merah Ditemui Di Kemaluan Mangsa
Beliau berkata, mangsa yang berusia 3 tahun 10 bulan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan merah di kemaluan mangsa dan tiada kesan koyakan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
Menurut Adzli, suspek telah ditahan di Simpang Ampat, Perlis semalam dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sentiasa Pantau Pengasuh Anak Kita
SL: Tindakan ibu yang tidak berlengah melaporkan perbuatan ini harus dipuji. Semoga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya. Bagi ibu-ibu di luar sana, jadikan kes ini sebagai peringatan buat kita agar sentiasa berhati-hati terhadap sesiapa pun yang mengasuh anak-anak semasa ketiadaan kita, walaupun di kalangan keluarga sendiri.