Sebut sahaja makanan dari negeri Kelantan, pasti kita sudah terbayang-bayang aneka makanan yang sedap-sedap belaka. Antara makanan yang sering mendapat sambutan hangat adalah nasi kerabu, colek dan mi celup. Tetapi, tidak dilupakan juga adalah menu gulai kerutuk yang selalu digandingkan bersama nasi dagang atau nasi putih.
Gulai kerutuk ini sudah pasti menjadi salah satu kegemaran ramai tidak kira yang ada di negeri Kelantan atau di luar negeri tersebut. Namun, tidak semua dalam kalangan kita yang pakar dalam memasak menu yang memerlukan skil dan resepi yang betul. Jadi, ini kami kongsikan resepi Gulai Kerutuk yang keenakkannya pasti akan bawa anda ke negeri Kelantan!
GULAI KERUTUK DAGING CIKGU AFY
Dulu, cikgu nak tahu sangat rahsia nak masak gulai kerutuk tersedap. Orang Kelantan memang tersohor dengan gulai ni. Tak tipu ye. Rasa gulai ni boleh buat berhantu. Lepas makan teringat-ingat. Hasil cuba banyak kali, akhirnya cikgu dah berjaya masak kerutuk yang sama sedap dengan kedai makan kat atas Pasar Siti. Mula dari situ masak kerutuk sudah sebati dalam diri cikgu. Paling mengancam buat masak kerutuk daging atau itik. Fuhh cubalah. Memang tak terkata nikmatnya dapat gaul kuah yang pekat dengan nasi. Nak cicah kuah dengan roti pun ngam.
Jadi cikgu taknak simpan rahsia ni sorang-sorang. Nak hasilkan gulai kerutuk menawan hati semua orang bukan terletak pada air tangan juga. Kena caranya, semua orang boleh masak kerutuk yang terlajak mabeless ni. Sila baca tujuh rahsia yang cikgu sudah pecahkan pada setiap gambar.Nah cikgu sertakan resepi gulai kerutuk sekali.
Pes bahan kisar
-Anggaran bahan untuk 1/2 kilo daging.
-3 biji bawang merah saiz bola pingpong
-1 ulas bawang putih
– 2 hiris bulat serai
-sehiris nipis halia
-sehiris nipis lengkuas
-1/2 sudu kecil jintan putih+ 1/2 sudu kecil rempah ketumbar
Kisar semua bahan di atas hingga lumat.
Cara-cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis 4 sekawan. Seterusnya masukkan bahan kisar tadi. Masukkan pula 1 sudu kecil cili kisar.
2. Kemudian, masukkan air asam jawa. ( Secubit asam jawa + segelas air kosong )
3.Seterusnya masukkan perasa peringkat pertama.
– 1 relung nise kecil / 1 sudu gula melaka
– 1/2 sudu serbuk perasa
– 1/2 sudu kecil garam halus
Tutup periuk seketika. Biarkan bahan tumis pecah minyak.
4. Daging 1/2 kilo yang dipotong nipis dan sedikit lebar pula dimasukkan. Kacau rata sebelum periuk ditutup. Biarkan selama 40 minit menggunakan api yang perlahan.
5. Kacau rata. Tutup periuk.
Biarkan daging empuk dalam api perlahan. *Boleh tambah air kosong sekiranya air mengering sebelum daging empuk*
6. Masukkan 4 sudip santan pekat dan 1 gelas air.
7. Selepas itu, tambahkan pula 1 sudu besar kerisik
8. Tambahkan perasa ( garam, gula) bagi peringkat kedua.Renehkan lagi dengan api perlahan lebih kurang 30 minit untuk rasa yang lebih menyerlah sebelum ditutup apinya.
Tips:
1. Tutup api selepas kuah mendidih beberapa kali untuk mengelakkan gulai cepat basi.
2. Kuah kerutuk sedap disediakan pada malam hari dan dipanaskan keesokannya untuk rasa dan warna yang lagi menyerlah.
3. Bungkus nasi setengah jam sebelum dinikmati.