Rakyat

Koronavirus: KKM Sahkan 3 Lagi Dijangkiti. Jumlah 7 Kes Di Malaysia Setakat Ini

4.3K
SHARES

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin melaporkan mengenai pertambahan tiga (3) kes positif baharu 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam 28 Januari 2020.

Justeru, jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun 2020 sehingga hari ini adalah sebanyak tujuh (7) kes; iaitu terdiri daripada tiga (3) kes yang sebelum ini dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan empat (4) kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. Kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China.

Dua (2) kes baharu jangkitan 2019-nCoV adalah dalam kalangan kes PUI iaitu seorang kanak-kanak berumur empat (4) tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Seterusnya dalam kalangan kontak rapat, adalah dimaklumkan bahawa menantu perempuan kepada kes 2019-nCoV pertama di Singapura (iaitu lelaki yang berumur 66 tahun) kini juga telah disahkan positif.

Beliau yang terdahulunya berstatus negatif telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif.

Justeru, dari 10 Januari 2020 sehingga 28 Januari 2020, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 78 orang; di mana 39 adalah warganegara Malaysia, 36 warga China dan masing-masing satu (1) warganegara Jordan, Brazil dan Thailand. Tiga (3) kes telah disahkan positif 2019-nCoV, 74 adalah negatif 2019-nCoV dan satu (1) kes masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seramai 25 orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV di Singapura (8 orang) dan di Johor (17 orang) telah dikenalpasti. Kesemua mereka adalah warganegara China. Terdahulu, tiga (3) daripada kontak rapat kes di Singapura tersebut telah disahkan positif jangkitan 2019-nCoV dan kini jumlahnya telah meningkat kepada empat (4) orang.

Kesemua mereka dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil. Manakala ujian makmal ke atas 21 kontak lain didapati negatif jangkitan 2019-nCoV.

Mereka telah dilepaskan daripada menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan. Manakala kontak rapat bagi dua (2) kes jangkitan 2019-nCoV masih dalam siasatan (Lampiran 1).

KKM sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik. Kapasiti dan kapabiliti sedia ada ditingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan 2019-nCoV ini.

Antaranya adalah:

Meningkatkan fungsi dan keberkesanan wad isolasi di hospital-hospital rujukan;
Perolehan aset bagi meningkatkan kapasiti saringan di pintu-pintu masuk antarabangsa Malaysia;

  • Memastikan stockpile alat perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan anggota kesihatan dan perubatan kategori frontliner sentiasa mencukupi;
  • Memastikan bekalan ubat-ubatan bagi rawatan gejala dan komplikasi kes jangkitan 2019-nCoV sentiasa pada paras optima;
  • Meningkatkan bilangan makmal kesihatan awam dan makmal hospital yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus 2019-nCoV dengan memberikan latihan kepada kakitangan terlibat serta membekalkan reagen kepada makmal berkaitan;
  • Memantau status kesihatan kakitangan kesihatan dan perubatan yang terlibat dalam pengendalian kes jangkitan 2019-nCoV dan kes PUI;
  • Menyediakan dan mengemaskini bahan-bahan pendidikan kesihatan dan nasihat perjalanan ke China, secara berkala;
  • Mengemaskini garispanduan pengurusan PUI dan kes jangkitan 2019-nCoV untuk rujukan semua pengamal perubatan dan anggota kesihatan di lapangan.

Bagi melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan penularan virus 2019-nCoV dengan berkesan, ia memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan. Pada 28 Januari 2020, satu mesyuarat bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta penggiat industri pelancongan telah diadakan. Mesyuarat telah bersetuju untuk membantu dengan:

  • Memberi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM kepada pelancong dari negara China yang berhasrat untuk melawat Malaysia;
  • Memaklumkan kepada pelancong dari negara China mengenai keperluan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara;
  • Mengingatkan pelancong agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.
  • Menasihati agar rakyat Malaysia yang membuat lawatan ke negara China untuk mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai, tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala, mengelakkan lawatan ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan; serta mengelakkan dari memakan produk haiwan mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
29 JANUARI 2020 @ 12.40 AM

*Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×