Menurut laporan terkini oleh Astro Awani, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebentar tadi telah mengisytiharkan wabak koronavirus yang telah meragut sekurang-kurangnya 170 nyawa sebagai kecemasan kesihatan global.
Perkara berkenaan diumumkan WHO selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat pertubuhan itu di Geneva pada Khamis.
Ini berikutan kes berkaitan wabak berkenaan meningkat lebih 10 kali ganda dalam tempoh seminggu.
Ramai yang panik dan risau dengan pengumuman ini. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan darurat kesihatan global yang perlu kita fahamkan?
1. Definisi Darurat / Kecemasan Global
Menurut Dr Faiza Tohit, Pakar Perubatan Kesihatan Awam melalui artikel beliau menerusi Root Of Science, situasi Darurat Kesihatan Awam secara global ini dikenali sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC). Ia diwujudkan berikutan wabak SARS pada tahun 2002/2003.
PHEIC ditakrifkan WHO sebagai “satu peristiwa luar biasa yang menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara-negara lain, melalui penyebaran penyakit dan memerlukan respons antarabangsa yang selaras.”
2. Bagaimana Sesebuah Situasi Dikira Darurat Kesihatan Awam?
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengakui terdapat kebimbangan meluas terhadap penyebaran virus antara manusia di luar China.
Katanya, sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana ia berlaku di China namun apa yang berlaku di negara lain. Kebimbangan WHO adalah potensi virus berkenaan tersebar di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menanganinya.
Dr Faiza menjelaskan bahawa sesebuah negara itu perlu melaporkan kepada WHO jika sesuatu situasi itu menepati dua daripada empat kriteria berikut:
a) Adakah situasi tersebut mendatangkan kesan yang serius kepada kesihatan awam?
b) Adakah situasi tersebut luar biasa atau di luar jangkaan?
c) Adakah terdapat risiko yang nyata untuk berlakunya penularan di peringkat antarabangsa?
d) Adakah terdapat risiko yang nyata terhadap sekatan perdagangan dan perjalanan antarabangsa?
PHEIC bukan hanya melibatkan penyakit berjangkit. Ia juga merangkumi bencana yang melibatkan unsur kimia, radionuklear atau sebarang bencana yang boleh menjejaskan kesihatan awam secara global.
3. Siapa Yang Boleh Mengisytihar Darurat Kesihatan Awam?
PHEIC hanya boleh diisytiharkan oleh Ketua Pengarah WHO setelah mempertimbangkan maklumat dan pandangan daripada Jawatankuasa Penetapan Darurat (Emergency Committee) yang terdiri daripada pakar-pakar ulung dari seluruh dunia.
Jawatankuasa ini juga bertindak untuk menyediakan garis panduan kesihatan kepada negara yang terlibat dengan wabak dan juga negara-negara seluruh dunia.
Untuk makluman, bagi wabak nCov-2019 ini, WHO telah bersidang pada 22-23 Januari lalu dan belum memutuskan ianya perlu diisytihar sebagai darurat. Namun pada 30 Januari, ia kini diisytihar sebagai darurat.
4. Apa Lagi Wabak Yang Pernah Diisytihar Darurat Kesihatan Global?
Dari tahun 2005 sehingga hari ini, WHO telah mengisytiharkan sebanyak lima darurat kesihatan global:
a) April 2009: H1N1 influenza (swine flu)
b) May 2014: Wild poliovirus
c) August 2014: Ebola di Afrika Barat
d) February 2016: Zika
e) July 2019: Ebola di Republik Demokratik Congo

Virus Zika pernah diisytihar sebagai Darurat Kesihatan Global oleh WHO. / Foto Kredit: londonbdnews24.com
5. Tindakan Setelah Diisytihar Darurat
Apabila PHEIC diisytiharkan, ia akan meningkatkan kerjasama diplomatik antara negara-negara untuk memberikan bantuan dari pelbagai aspek seperti tenaga kerja, kewangan, kepakaran dan keselamatan.
Menurut Business Insider, kesemua negara juga diwajibkan untuk berkongsi maklumat penularan wabak itu di negara masing-masing.
WHO berkuasa untuk mengesyorkan larangan perjalanan atau sekatan perdagangan terhadap negara-negara yang terlibat dengan sesuatu wabak. Walaubagaimanapun, syor daripada WHO bukanlah dikira sebagai undang-undang yang wajib dipatuhi oleh mana-mana negara.
Ia tetap terpulang kepada setiap negara untuk melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya dalam menangani sesuatu wabak.
Bukan Untuk Mencetuskan Situasi Panik
Pengisytiharan ini bukan untuk mencetuskan situasi panik di seluruh dunia. Sebagai masyarakat awam, pengisytiharan nCoV-2019 sebagai PHEIC perlu mencetuskan sikap untuk kita lebih mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya.
Selain itu, bagi mengelakkan situasi panik yang tidak sepatutnya dan tidak berasas, kita sewajarnya mengawal diri dari menyebarkan atau mempercayai sesuatu berita yang tidak pasti kesahihannya.
*Sumber: Root Of Science, Astro Awani