Sihat

Boleh Cegah Anemia, Ini 7 Khasiat Delima Untuk Ibu Mengandung Yang Dibuktikan Kajian

196
SHARES

Buah delima adalah antara buah yang digemari terutamanya ibu mengandung kerana rasanya yang masam-masam manis. Kena sangatlah kalau kita selalu loya-loya masa mengandung tu kan?

Selain daripada rasanya, buah ini juga sangat baik dimakan kerana mengandungi pelbagai khasiat yang telah dibuktikan oleh kajian.

Malah, buah delima juga telah digunakan sebagai petua kecantikan serta kesihatan sejak berkurun lamanya sehingga ia disenaraikan sebagai antara buah yang terbaik dimakan oleh ibu mengandung oleh Medical News Today.

Berikut adalah beberapa kebaikan buah delima untuk ibu mengandung menurut kajian saintifik.

7 Khasiat Buah Delima Untuk Ibu Mengandung

1. Tinggi Zat Besi

Buah delima padat dengan kebaikan nutrien seperti vitamin K, kalsium, folat, zat besi, protein dan serat.

Semua nutrien ini bukan saja boleh menyumbang tenaga untuk ibu mengandung, bahkan kandungan zat besi yang tinggi terutamanya dapat mengelakkan ibu daripada mengalami masalah anemia akibat kekurangan sel darah merah.

Ini sel darah merah

2. Mengekalkan Kesihatan Tulang

Kandungan Vitamin K yang tinggi dalam buah delima dapat memastikan ibu mengandung mengekalkan tahap kesihatan tulang yang baik.

Terdapat kajian yang mendapati kandungan flavonol dalam buah delima juga dikatakan berpotensi membantu meredakan keradangan yang menyebabkan masalah osteoarthritis dan kerosakan pada tulang rawan.

3. Meningkatkan Imuniti Tubuh

Warna merah terang pada biji buah delima adalah daripada polyphenol, iaitu sejenis bahan antioksidan yang sangat baik.

Jus delima mengandungi kandungan antioksidan yang begitu tinggi berbanding dengan jus buah-buahan yang lain; dan 3 kali lebih tinggi berbanding teh hijau.

Bahan antioksidan ini berfungsi membantu melindungi sel daripada kerosakan, menyingkirkan radikal bebas serta mengurangkan keradangan sekaligus mencegah ibu daripada jatuh sakit.

Isteri sakit demam panas

4. Sumber Vitamin C Yang Tinggi Membantu Penyerapan Zat Besi

Buah delima tergolong antara buah-buahan yang tinggi kandungan vitamin C di mana ia mencakupi 40% keperluan vitamin C harian kita.

Seperti yang kita tahu, ada banyak manfaat vitamin C terutamanya dalam mengelakkan penyakit dan mengekalkan kesihatan tubuh.

Bagi ibu mengandung pula, vitamin C amat penting kerana ia berfungsi menyerap zat besi, sekaligus membantu menaikkan bacaan hB ibu.

13 Makanan Tambah Darah Ketika Hamil. Anemia?

Foto Kredit: Google

5. Melancarkan Pencernaan

Apabila bayi semakin besar, ramai ibu yang mula merasakan tidak selesa akibat ketidakhadaman.

Buah delima terbukti membantu dalam proses pencernaan di samping mengurangkan inflamasi pada perut, sekaligus membantu masalah sembelit.

Namun begitu, anda dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilannya ketika diserang cirit-birit.

6. Kaya Dengan Folat / Asid Folik

Selalu ibu mengandung diberi pil asid folik kan? Tahukah ibu, kandungan asid folik ini penting kerana ia mampu mengurangkan risiko perkembangan bayi secara tidak normal seperti komplikasi kecacatan tiub saraf pada tulang belakang janin.

7. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Oleh kerana buah delima kaya dengan polyphenol yang bersifat antioksidan ia juga dipercayai boleh mencegah kerosakan akibat radikal bebas pada dinding arteri yang menyebabkan penyakit jantung.

Ia mengawal kadar kolesterol jahat agar tidak menjadi plak dan menyebabkan masalah koronari jantung.

Foto Kredit: csn.org

Jadikan Buah Delima Sebagai Snek Kudapan Sihat

Banyak kan khasiat buah delima untuk ibu mengandung?

Sebab itulah ia sesuai dijadikan makanan tambahan bagi kesihatan ibu mengandung. Tapi, jangan jadikan ia sebagai ubat pula jika anda mengalami sebarang masalah sepanjang proses kehamilan.

Lagi satu, seeloknya makanlah buah delima atau jusnya yang segar kerana dikhuatiri ekstrak dan jus dalam pek telah ditambah gula.

Lebih sihat dan selamat, barulah dapat manfaatnya!

Most Popular

To Top