Famili

Bagi Anak Puting Kosong Tak Salah, Cuma Ramai Yang Silap Teknik. Fahamkan 7 Perkara Ini

0
reads
keburukan puting kosong bayi

“Aduhai… Asyik menangis je budak ni. Nak kata tak cukup susu tak juga. Tapi nampak macam nak menghisap je. Kalau asyik nak ‘mengempeng’ susahlah. Boleh ke kalau bagi dia puting kosong ye?”

Kalau ditanya, dah tentu ramai akan cakap bagi puting kosong pada anak ni tak elok. Katanya nanti gigi jongang. Dan satu lagi yang paling orang takut kalau anak susah nak ‘lepaskan’ puting kosong tu. Lebih kurang macam botol susu jugalah. Bila dah bagi, tak boleh berhenti. Tak sampai hati nak tengok anak menangis dan ‘mencari-cari’.

Tapi sebenarnya kalau puting kosong digunakan dengan betul, ia boleh membantu ibu bapa menguruskan bayi dengan lebih mudah. Lagipun, kita tak boleh samakan anak kita dengan orang lain. Keadaan setiap ibu bapa juga mungkin berbeza dan memerlukan mereka untuk menggunakan puting kosong sebagai ‘penenang’ bayi.

Sebelum Bagi Anak Hisap Puting Kosong, Fahamkan 7 Perkara Ini Supaya Anak Tak ‘Ketagih’

1. Waktu Sesuai Menggunakan Puting Kosong

Puting kosong dikatakan amat bermanfaat kepada bayi pramatang. Ada kajian telah membuktikan bahawa ia memainkan peranan dalam meningkatkan berat badan bayi dengan lebih cepat serta mengurangkan komplikasi semasa dalam pantauan hospital.

Menurut Kristine Petterson Sleep Consulting, puting kosong juga sesuai untuk bayi baru lahir kerana ia amat efektif menenangkan bayi yang ‘overstimulated’ atau terlampau letih ketika menghampiri waktu tidur. Di samping itu, penggunaan puting ini mampu memanjangkan waktu tidur mereka kerana ada sesetengah bayi cepat terjaga dan begitu sensitif terhadap sehalus-halus bunyi mahupun cahaya.

Foto Kredit: twinstuff.com

2. Sesuaikah Puting Kosong Untuk Bayi Yang Menyusu Badan?

Tiada masalah jika anda yang menyusu badan mahu memberikan bayi puting kosong. Walaupun ada dahulunya ada kajian yang mengatakan ia menyebabkan bayi ‘keliru puting’, tapi sesetengah kajian pula membuktikan sebaliknya.

Apapun, seeloknya anda menunggu sehingga anda mahir dengan proses serta dapat membiasakan bayi dengan rutin menyusu badan. Menurut American Academy of Pediatrics, pastikan juga bekalan susu anda telah terhasil dengan konsisten dan bayi tidak mengalami sebarang masalah lain berkaitan penyusuan badan.

Dalam sebuah artikel MayoClinic.org, waktu yang sesuai untuk memperkenalkan bayi kepada puting kosong bagi bayi yang menyusu badan adalah sekitar 3-4 minggu.

manfaat susu ibu

Foto Kredit: babygaga.com

3. Biar Bayi Anda Yang Menentukan Rentak

Hadkan penggunaan puting kosong dengan memahami rentak bayi. Jika bayi tidak mahu menghisap ketika anda memberikan puting, maka jangan dipaksa. Jika bayi anda mengeluarkan puting ketika terlelap, jangan masukkan kembali ke dalam mulutnya.

Foto Kredit: medicalonline.hu

4. Jangan Terus Bagi Puting Bila Bayi Menangis

Seperkara lagi, pemberian puting kosong tidak seharusnya menjadi tindakan pertama yang anda lakukan apabila bayi menangis. Cuba tepuk-tepukkan sedikit badannya, periksa lampinnya, menyanyi, mendodoikannya atau alih perhatiannya terlebih dahulu.

Sekiranya semua tak berhasil, maka barulah tawarkan puting kosong kepada bayi.

positively.com

5. Cuba Hadkan Pemberian Puting Kosong Hanya Semasa Waktu Tidur

Dengan mengehadkan pemberian puting kosong hanya semasa waktu tidur, secara tak langsung bayi akan mengaitkan puting kosong dengan waktu tidur sahaja. Sebaliknya jika ia ditawarkan kepada bayi setiap kali dia merengek, bayi akan merasa ‘perlu’ menghisap puting dalam apa jua keadaan yang tidak menyenangkan untuk membantunya berhenti menangis.

Inilah yang boleh membuatkan bayi berasa terlebih ‘attached’ dengan puting dan sukar menghentikan tabiat tersebut apabila semakin besar.

puting untuk bayi

Foto Kredit: miraiclinical.com

6. Pilih Yang Betul-betul Sesuai

Penting untuk ibu bapa faham bahawa terdapat banyak jenis puting kosong yang dijual di pasaran. Ia juga terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk.

Carilah bentuk yang paling sesuai dengan keselesaan mulut bayi anda untuk mengelakkan sebarang masalah seperti tercekik atau kembung.

kesan puting kosong

Foto Kredit: todaysparent.com

7. Waktu Sepatutnya Berhenti Hisap Puting

Kebanyakan ibu bapa berasa takut nak menggunakan puting kosong sebab takut ia menjadi tabiat yang sukar dihentikan.
Menurut BabyCentre, jika anda ingin memastikan anak tak menjadi ‘ketagih’ pada puting kosong, usaha menghentikan penggunaannya sebelum mencapai usia 1 tahun.

puting untuk bayi

Foto Kredit: npr.org

Puting Kosong Hanya Mendatangkan Kesan Negatif Jika Digunakan Berlebihan

Kesimpulannya, penggunaan puting kosong tak salah selagi ia digunakan dengan bersederhana dan memahami konsepnya. Bahkan, jika digunakan dengan betul ia boleh memberi manfaat kepada bayi dan memudahkan ibu bapa. Yang penting, jangan menganggap puting kosong sebagai satu-satunya solusi kepada tangisan bayi.

Jangan biarkan penggunaan puting kosong berlarutan sehingga bayi berusia 2-3 tahun kerana ia boleh mengganggu pertumbuhan gigi susu dan menjadi tabiat yang sukar dihentikan. Dalam sesetengah kes, ia juga boleh mengganggu proses penyusuan. Oleh sebab itu ibu bapa perlu ‘alert’ dengan berat badan bayi setelah mula menggunakan puting kosong.

Jika anda dikhuatiri mengalami kesan negatif setelah menggunakan puting kosong, pertimbangkan semula dan berbincanglah dengan doktor tentang masalah tersebut.

Yang Popular

To Top