Rakyat

Berdasarkan Statistik, Majoriti Kes Dera Anak Dilakukan Oleh Ibu Kandung Sendiri- Kementerian

93
SHARES

Ramai orang beranggapan ibu tiri kebanyakannya kejam dan juga sering dikaitkan dengan sifat yang negatif. Namun, mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini apabila rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lepas mendapati lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan sendiri oleh ibu kandung.

STATISTIK KES DERA

Menurut Berita Awani, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pihak pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan melibatkan 29 kes (enam peratus), manakala kes yang melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes sahaja.

ADUAN DITERIMA MENERUSI TALIAN KASIH MENINGKAT

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata, jumlah itu antara kes yang diperoleh daripada 25,868 panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang tahun lepas.”Sepanjang tahun lepas sahaja panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun 2018 dan ini menunjukkan semakin ramai orang awam sedar dengan perkhidmatan yang disediakan ini.

“Panggilan tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga termasuk mangsanya melibatkan golongan lelaki,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) ‘Kesedaran Kanser Kanak-Kanak’ antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RMHC) dan Lions Club International di Rumah McDonald (RMH) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Pada majlis itu, Yeoh turut merasmikan Lions Wonderland yang turut dihadiri Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Malaysia Datuk Javern Lim Chong Hee dan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RHMC) Malaysia Azmir Jaafar.

PEMBINAAN TUJUH LAGI ANJUNG KASIH YAYASAN KEBAJIKAN NEGARA (YKN)

Sementara itu Yeoh berkata kementerian sedang membina tujuh lagi Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam usaha membantu meringankan beban pesakit dan keluarga berpendapatan rendah.

Empat Anjung Kasih yang akan dibina itu ialah di Hospital Melaka; Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah; Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, Johor dan Hospital Seberang Prai, Pulau Pinang; yang kesemuanya dijangka siap tahun ini.

Tiga lagi Anjung Kasih iaitu dua di Hospital Putrajaya dan sebuah di Kota Kinabalu dijangka mula dibina tahun ini dan akan siap menjelang tahun 2021. Sejak ditubuhkan pada 2006 hingga kini, katanya terdapat 12 Anjung Kasih YKN beroperasi di hospital kerajaan di seluruh negara iaitu Sarawak (tiga), Pahang (dua), Selangor (dua) dan masing-masing sebuah di Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis serta Kedah.

Ia telah memberi manfaat kepada lebih 75,000 orang dengan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan kaunseling kepada keluarga pesakit.- BERNAMA

Sumber: Berita Awani

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×