keselamatan

Terjatuh Dalam Kolam Ikan Ketika ‘Open House’, Budak 2 Tahun Maut

543
SHARES

Dalam kita sibuk beraya dan menghadiri rumah terbuka, ibu ayah jangan lupa untuk sentiasa pantau dan tengok-tengokkan keberadaan anak.

Dalam sebuah berita yang disiarkan oleh Kosmo! Online, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didapati meninggal dunia akibat lemas dan tidak sedarkan diri selepas terjatuh ke dalam kolam hiasan ikan di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar.

Anak tersebut, Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira pukul 1 pagi pada 1 Julai 2019.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak tersebut bersama ibunya menghadiri rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kampung berkenaan.

Kolam ikan di tempat kejadian

Berada Di Luar Rumah Tanpa Pengawasan

“Mangsa yang berada di luar rumah tanpa pengawasan ketika itu dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam hiasan yang terletak kira-kira 4 meter dari pintu utama rumah berkenaan.

“Kejadian tersebut hanya disedari seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan sepupu mangsa selepas dia melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam,” katanya.

Tambah Razali, mangsa yang tidak sedarkan diri itu kemudiannya diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan kecemasan.

Disahkan Meninggal Dunia Akibat Lemas

“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan lanjut pada hari sama namun disahkan meninggal dunia akibat lemas pada pukul 1 pagi.

“Siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan rumah kampung satu tingkat dan kolam tersebut dibina pemilik rumah untuk membela ikan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan di lokasi juga mendapati tiada pagar yang diletakkan di sekeliling kolam yang mempunyai kedalaman 0.6 meter itu.

“Ibu mangsa pula berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku dan mangsa bermain dengan kanak-kanak lain di luar rumah.

“Tiada sesiapa yang menjaga atau melihat mangsa bermain di kolam tersebut ketika itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

SL : Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga tabah. Diharapkan ia menjadi pengajaran buat kita semua juga agar lebih berhati-hati.

*Sumber: Kosmo Online

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×