Rakyat

Tabiat Melatah Boleh ‘Berjangkit’. Ini 7 Perkara Ramai Tak Tahu Tentangnya

316
SHARES
melatah

“Opocot mak kau terlondeh!”

Amboi, bila dengar orang melatah, mesti ramai yang tersenyum dan ketawa. Lucu betul rasanya. Namun, sedarkah anda bahawa melatah ini merupakan ‘penyakit’ yang tak sepatutnya kita ‘bahan’kan?

Bukan orang tua saja yang melatah, orang muda pun dah ramai yang melatah. Ramai di kalangan kita yang menganggap bahawa melatah adalah tabiat yang biasa dan akibatnya ia selalu diremehkan, bahkan dijadikan bahan lawak.

Sebenarnya, melatah boleh membawa kesan tertentu kepada si pelatah mahupun orang sekelilingnya.

7 Perkara Ramai Tak Tahu Tentang Tabiat Melatah

Di sebalik gelak tawa anda, ini 6 perkara yang ramai tak tahu tentang melatah.

1. Fenomena Unik Di Malaysia & Negara Jiran

Latah dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai ‘latah’ dan ia merupakan satu fenomena istimewa yang di mana seseorang mengalami situasi terkejut melampau. Uniknya, ia hanya ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita.

Menurut Perunding Neurologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Ooi Phaik Yee yang bercakap menerusi Berita Harian, tabiat latah tercatat seawal kurun ke-14 yang mana orang yang melatah akan menunjukkan pelbagai reaksi apabila dikejutkan, disentuh secara tiba-tiba atau ditunjukkan benda-benda yang menakutkan seperti ular dan cicak.

2. Ia Dikategorikan Sebagai Masalah Neuropsikiatri

Sehingga kini, punca yang tepat ia berlaku masih tidak diketahui dan ia masih belum dikelaskan secara tepat sama ada ia merupakan masalah kesihatan mental, masalah sistem otak saraf, ataupun sekadar tabiat dalam sesuatu budaya.

Namun pakar mempercayai latah adalah satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit, sebaliknya dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi, dan sosial. Oleh sebab itu, ‘latah’ tergolong sebagai salah satu culture-bound syndrome dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders yang diterbitkan pada tahun 1994.

Foto Kredit: helmo.ir

3. Bagaimana Ia Berlaku

Apabila disergah, sistem saraf pusat, iaitu bahagian tengah otak boleh terganggu lalu menyebabkan mereka terkejut sehingga melatah. Sedikit konflik emosi dan memori turut berlaku dalam tempoh melatah tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Prof. Dr. Azhar Zain. 

Sebab itulah, individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut.

Jurumekap melatah hingga pengsan akibat terdengar tembakan ini menjadi viral di media sosial. / Foto Kredit: youtube.com

4. Bahaya Melatah & Mengganggu Orang Yang Melatah

Pakar Perunding Psikiatri, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman menerusi Inomedik berpendapat bahawa seseorang yang melatah mengalami kecelaruan ‘dissociative’ – di mana apabila seseorang terlampau resah, dia akan rasa bahawa dia terpisah dengan alam sekelilingnya. Dalam keadaan tersebut, mereka tidak sedar akan perbuatan mereka.

Reaksi ini mungkin melucukan, namun ia boleh bersifat mengaibkan, kurang sopan, malah barangkali merbahaya kepada orang sekeliling. Bukan itu saja, seseorang yang melatah mungkin akan terus menurut arahan secara automatik walaupun itu bukan kehendak dirinya. Dalam keadaan bawah sedar, mereka boleh bertindak agresif lalu meletakkan nyawa mereka dan orang sekeliling dalam bahaya.

Lagi satu, kita tak tahu kalau kita menyergah orang yang berumur atau ada penyakit jantung, ia mungkin boleh memudaratkan dan meberi kesan kepada kesihatan mereka.

Foto Kredit: Portal MyHealth

5. Melatah Amat Meletihkan

Walaupun si pekatah menyebut perkataan atau membuat gaya yang lucu, jangan ingat mereka suka diperlakukan sedemikian. Kebanyakan daripada mereka berasa malu dan rendah diri akibat daripada tabiat yang sukar dikawal ini. Ada yang melatah hingga berasa letih dan semput dek kerana diusik berterusan. Maka sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan kerja harian seseorang.

Kata Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman lagi, selain itu mereka yang tergolong dalam perlakuan ini dianggap mempunyai personaliti yang celaru, resah atau darah gemuruh, cepat terkejut dan lemah semangat (easily hyperstartle response) termasuk apabila melihat berita yang menggerunkan serta mudah mendapat serangan panik (panic attack).

cara mengawal marah

Foto Kredit: everytinything.com

6. Melatah Boleh ‘Berjangkit’

Ada yang kata tabiat ini boleh berjangkit kalau kita selalu mengusik orang melatah. Malah, tak kurang juga yang mengatakan ia diwarisi daripada tabiat ahli keluarga terdekat. Walaupun ada yang bersetuju, namun perkara ini sukar dijelaskan secara saintifik.

Menurut pakar, kemungkinan besar orang yang ‘dijangkiti’ latah ini memang mempunyai kecenderungan untuk melatah namun hanya menunggu masa dan peluang yang sesuai untuk mula melatah.

Sungguhpun begitu, pakar tidak menolak bahawa tabiat melatah boleh ‘berjangkit’ antara ahli keluarga atau seseorang yang rapat kerana ia berkait rapat dengan unsur genetik, psikologi serta faktor persekitaran yang mendorong personaliti tersebut.

Foto Kredit : news.shayan-medicine.com

7. Rawatan & Terapi

Oleh kerana melatah tidak didiagnos sebagai satu penyakit, tiada ubat spesifik yang boleh merawatnya. Namun Dr Hazli berpendapat individu yang melatah perlu menjalani terapi dan kaunseling secara intensif iaitu psikoterapi. Ia melibatkan proses mengenal pasti masalah dalaman yang dihidapi penghidap latah itu.

Selain itu, latah dikatakan boleh dirawat melalui hipnoterapi iaitu dengan mengendalikan fikiran bawah sedar pelatah dengan mengubah tingkah laku refleksnya.

Seperkara lagi yang tak seharusnya dipandang remeh, orang sekeliling turut memainkan peranan penting kerana pelatah boleh menjadi lebih ‘galak’ dan semakin teruk latahnya apabila selalu diusik.

Foto Kredit: shutterstock

Jangan Usik Orang Melatah!

Diharapkan selepas ini masyarakat lebih prihatin dan tidak lagi menjadikan latah sebagai bahan hiburan. Sebaliknya, kita kenalah bagi sokongan dan membantu golongan pelatah ini agar lebih bertenang apabila mengalami kejutan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata adalah haram kepada seseorang bertindak membuatkan pelatah menjadi latah hingga mengeluarkan kata-kata tidak elok didengari atau bertindak melakukan perkara yang membahayakan.

Jadi, jangan usik orang melatah lagi ya. Tak elok tau!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×