Platform media digital OhBulan dan Seismik melancarkan kempen Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Perbincangan mengenai kesihatan seksual sering diabaikan, impaknya amat dirasai. Dengan jumlah kes sebanyak 18,000 kehamilan remaja setiap tahun serta peningkatan kes gangguan seksual, Malaysia berdepan dengan cabaran yang ketara.
KEMPEN PEDULI SEKS: TABU TAPI PERLU TAHU
Kempen ‘Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu’, OhBulan dan Seismik, melalui kerjasama rapat dengan Hello Doktor, mengambil langkah proaktif untuk menangani isu-isu ini.
Bermula dari 1 November hingga 30 November 2024, inisiatif ini bertujuan memupuk perbualan terbuka dan berinformasi mengenai pendidikan seks, dengan tumpuan khusus kepada usaha memecahkan stigma dalam kalangan komuniti Melayu.
‘Peduli Seks’ dipilih sebagai nama kempen kerana pendidikan seks sering dianggap sebagai topik sensitif dan tabu. Namun, mengetengahkan isu ini adalah sangat penting kerana ia menggalakkan tingkah laku yang sihat, memperkasakan individu dengan pengetahuan asas, membanteras maklumat palsu, meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual dan antunan seksual, serta mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi cabaran hidup.
Kempen “Peduli Seks” berteraskan empat tunjang utama iaitu:
Kesihatan: Perbincangan mengenai kesihatan lelaki dan wanita, termasuk kontraseptif dan kesihatan reproduktif.
Keluarga & Hubungan: Meneliti kepentingan persetujuan antara pasangan, mengenal pasti tanda-tanda penderaan emosi, fizikal, dan seksual, serta menggalakkan dinamik hubungan yang sihat.
Komuniti: Menghubungkan orang ramai dengan organisasi yang menawarkan sokongan di samping menangani isu sosial kritikal seperti gangguan seksual dan antunan seksual.
Dasar & Advokasi: Meningkatkan kesedaran mengenai dasar tempatan dan nasional berkaitan kesihatan seksual, serta menggalakkan penglibatan awam dalam memperjuangkan pendidikan seks yang menyeluruh.
Jadi, bagi memastikan kempen ini dapat menjangkau semua lapisan masyarakat, “Peduli Seks” akan menggunakan pelbagai medium seperti artikel, video informatif, podcast, sesi siaran langsung di YouTube, Iklan TV, papan iklan dan siaran di akhbar.
Sebagai pusat digital kempen, laman mikrosite khusus says.com/peduliseks akan berfungsi sebagai platform sehenti untuk semua kandungan kempen.
Baca juga: Risau Suami Ada ‘Skandal’? Ini 10 Perkara Si Isteri Boleh Buat Untuk Kembalikan Panahan Cinta!