Nur

5 Kelebihan Puasa Asyura (9,10, & 11 Muharam) Serta Kemuliaan Bulan Muharam

193
SHARES

Kita baru saja menyambut kedatangan tahun baru dan bulan Muharam yang memang tidak dinafikan ianya merupakan satu bulan yang mulia.

Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan Muharam ini.

Antara amalan yang amat digalakkan dalam bulan ini adalah berpuasa, terutamanya pada hari Asyura serta sehari sebelum dan selepasnya.

Berikut adalah antara kelebihan puasa Asyura beserta kelebihan bulan Muharam yang patut kita tahu.

Kelebihan puasa asyura

5 Kelebihan Puasa Asyura & Bulan Muharam

1. Bulan Muharam Dimuliakan Kerana Ia Termasuk Dalam Bulan Haram

Menurut sumber dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan bulan ini adalah kerana ia termasuk dalam salah satu daripada 4 bulan haram.

Seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.

– Surah at-Taubah (36)

Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

2. Bulan Muharam Disebut Sebagai Bulan Allah

Terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ?

Maka jawab baginda S.A.W:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.

Riwayat al-Tirmizi (741)

Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

3. Bulan Muharam Paling Afdhal Berpuasa Setelah Ramadhan

Antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

Malah, ada disebutkan dalam sebuah hadis bahawa bulan Muharam adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.

Daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).

Riwayat Abu Daud (2429)

4. Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا ‏”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.

Riwayat al-Bukhari (2004)

Menurut Kisah Zakat Malaysia, puasa hari Asyura adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

Maka, kita sebagai umat Islam wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk Nabi Allah Musa.

5. Menghapuskan Dosa Setahun Lalu

Antara lagi kelebihan berpuasa pada 10 Muharram adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

5. Puasa 9 & 11 Muharam Untuk Menyelisihi Yahudi

Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut disunatkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.

Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal.

Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

puasa di bulan ramadhan

Foto Kredit: buffalonews.com

 

3 Kategori Puasa Hari Asyura

Ibnul Qayim dlm Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada 3 kategori:

  1. Kategori Paling Sempurna – Puasa 3 hari.
    Sehari sebelum Asyura (9 Muharam), hari Asyura (10 Muharam), dan sehari selepasnya (11 Muharam).
  2. Kategori Kedua – Puasa 2 Hari
    Puasa pada 9 dan 10 Muharam. Berdasarkan kebanyakan hadis.
  3. Kategori Ketiga – Puasa pada 10 Muharam sahaja

Kesimpulannya, disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.

Jom kita rebut peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura.

Jika berkemampuan, berpuasa tiga hari atau dua hari atau paling tidak sehari iaitu pada 10 Muharam.

Semoga ia menjadi penebus dosa-dosa kita semua insha Allah!

*Sumber: IRSYAD AL-FATWA KE-135: ADAKAH PUASA 10 MUHARRAM PERLU DISERTAI DENGAN HARI SELEPASNYA?,  Cerita Zakat Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×