“Wah, wangi betul tumisan bila guna minyak sapi ni. Ingatkan boleh guna untuk buat biskut je. Rupanya buat masak pun sedap. Apa khasiat minyak sapi ni ya?”
Mesti ramai pernah guna minyak sapi untuk masak nasi minyak atau buat biskut suji kan? Baunya memang wangi bila ditumis atau dibakar dalam oven.
Tahukah ibu, selain minyak zaitun dan unsalted butter, minyak sapi juga boleh digunakan untuk memasak makanan bayi.
Ia bukan saja menyedapkan makanan, malah memiliki pelbagai khasiat tau!
Nak tahu apa khasiat minyak sapi dan kelebihannya? Jom baca seterusnya.
5 Khasiat Minyak Sapi & Kelebihannya Yang Tersendiri
Minyak sapi atau ghee merupakan sejenis lemak yang terhasil daripada mentega yang dipanaskan dan diasingkan daripada pepejal susu dan air.
Minyak sapi atau ghee yang popular di India ini juga digunakan dalam beberapa jenis masakan Malaysia, terutamanya dalam hidangan istimewa seperti nasi minyak, atau biskut raya tertentu.
Memang wangi aroma minyak sapi bila dimasukkan dalam hidangan.
Selain rasanya yang sedap dan lemak, ia juga memiliki banyak kelebihan.
1. ‘Smoke Point’ Yang Tinggi
Sifat unik minyak sapi antaranya adalah ia mempunyai ‘smoke point’ yang lebih tinggi berbanding minyak lain.
Ini membuatkan minyak sapi mampu mengekalkan khasiatnya tersendiri walaupun dimasak dengan pelbagai cara sekali pun.
Berbanding dengan mentega dan minyak sayuran lain, khasiat semulajadi minyak tersebut hilang sekiranya dipanaskan dengan suhu yang terlalu tinggi sehingga boleh menghasilkan lemak teroksida dan menghasilkan radikal bebas yang berbahaya kepada badan.
2. Meningkatkan Kesihatan Mata, Kulit, Gigi & Tulang
Minyak sapi memang sesuai untuk masakan bayi kerana ia memiliki kandungan vitamin penting seperti vitamin A, dan E bagi meningkatkan kesihatan mata dan kulit.
Vitamin K dalam minyak sapi pula membantu badan menghasilkan kalsium yang optimum untuk mengawal metabolisme tulang dan gigi.
3. Bebas Laktosa & Casein
Walaupun minyak sapi berasal dari mentega, ia selamat diamalkan oleh bayi yang alah terhadap produk tenusu.
Dalam pemprosesan minyak sapi, elemen-elemen tersebut sudah diasingkan dan selamat digunakan tanpa kesan alergi.
4. Sumber Lemak Asid Yang Baik
Minyak sapi bukan saja kaya dengan vitamin, malah kaya juga dengan lemak asid “CLA” yang berperanan dalam memberikan impak positif kepada kesihatan.
Suatu kajian membuktikan kandungan “CLA” dalam minyak sapi dapat menghalang penghasilan sel kanser, keradangan serta mengurangkan tekanan darah.
5. Melancarkan Fungsi Usus
Asid butyric juga merupakan salah satu lemak asid penting dalam minyak sapi. Ia berfungsi untuk menghasilkan bakteria baik dalam usus.
Ia dilihat berkesan dalam menyihatkan sistem penghadaman, melancarkan usus dan melegakan sembelit.
Minyak sapi juga dikatakan mampu mengawal paras insulin, melawan keradangan dan menghalang penyakit berkaitan usus seperti penyakit Crohn’s dan radang usus.
Sumber Alternatif Lemak Sihat
Minyak sapi mempunyai sifat yang serupa seperti minyak kelapa yang memiliki lemak asid jenis rantaian medium. Ini membuatkan minyak sapi berada dalam kategori lemak sihat.
Minyak sapi dilihat mampu menjadi alternatif baik sebagai sumber lemak yang sihat kerana sifatnya yang unik serta kandungan khasiat yang cukup tinggi.
Jadi, ibu-ibu bolehlah gunakan minyak sapi untuk masak makanan bayi lepas ni. Sesekali tukar selera, mesti bayi pun suka!
Apapun, tetap kena bersederhana dan pastikan anak-anak mengambil makanan secara seimbang ya.