Rawatan Bekam : Kaedah Perubatan Tradisional Yang Tinggi Potensinya Bagi Merawat Pelbagai Penyakit
Walaupun kita telah masuk ke alaf baru, rawatan bekam yang diamalkan sejak berkurun lamanya ini kekal menjadi salah satu kaedah alternatif untuk merawat pelbagai penyakit.
Tahukah anda apakah itu bekam dan bagaimana ia dapat membantu menjadi penawar kepada beberapa jenis penyakit?
Jom ketahui selanjutnya tentang kelebihan berbekam yang juga popular sebagai sunnah Nabi.
1. Apakah Itu Bekam?
Berbekam ialah rawatan alternatif yang berasal dari China.
Ia merupakan kaedah perubatan yang memanfaatkan tekanan rendah (negative pressure).
Selain tamadun China, ia juga telah diamalkan sejak beribu-ribu tahun dahulu oleh Tamadun Mesir Purba dan Tamadun Timur Tengah.
Di negara kita, berbekam juga sinonim sebagai rawatan alternatif dalam perubatan Islam kerana ia merupakan rawatan sunnah yang pernah diamalkan Rasulullah s.a.w.
Rawatan bekam juga pernah tular pada tahun 2016 apabila atlet renang sukan Olimpik Rio, Michael Phelps didapati turut berbekam untuk membuang sisa toksik selepas aktiviti bersukan dan membantu memulihkan badan.
Kredit Foto : mysouthernhealth.com
2. Jenis-Jenis Bekam
Bekam boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu :
A. Bekam Kering / Bekam Kering
Bekam ini tidak melibatkan pendarahan atau torehan kecil pada kulit.
Hanya cawan bekam digunakan di atas permukaan kulit.
Kredit Foto : insider.com
B. Bekam Basah
Kaedah bekam ini pula melibatkan peralatan bekam yang diletakkan di atas permukaan kulit yang telah ditoreh kecil.
Pendarahan berlaku dan menyebabkan darah terkumpul pada kawasan tersebut.
C. Bekam Api
Juga dikenali sebagai fire cupping, kaedah bekam ini menggunakan medium api untuk menghasilkan ruang hampagas pada gelas bekam.
Udara di dalam gelas dibakar menggunakan kapas atau kertas, kemudian ia akan ditekap pada permukaan kulit.
Kredit Foto : lakesholisticcare.com
3. Bagaimanakah Rawatan Bekam Dilakukan?
Bagi anda yang belum pernah berbekam sebelum ini, anda perlulah mengetahui serba sedikit tentang prosedur yang dijalankan sebagai persiapan.
Bagi memulakan rawatan bekam, pengamal akan memanaskan cawan bekam menggunakan alkohol, herba atau kertas sebelum melekapkannya pada permukaan kulit.
Ada juga sesetengah pengamal moden yang menggunakan pam getah sebagai alternatif kepada cawan bekam yang dipanaskan.
Untuk rawatan bekam basah, kulit anda anda diletakkan cawan bekam untuk beberapa minit. Kemudian, ia akan diangkat sebentar untuk toreh sedikit kulit.
Cawan bekam biasanya akan dibiarkan melekap pada kulit antara 5 ke 10 minit.
Tempat berbekam yang sama pada kulit boleh dibekam sebanyak 3 kali atau maksimum 7 kali.
Untuk bekam basah, setiap kali bekam dilakukan pada tempat yang sama, torehan perlulah dilakukan pada kawasan kulit yang berlainan.
Selepas cawan bekam diangkat dari kulit, pengamal akan sapukan salap atau tampalkan bandage bagi elakkan jangkitan.
Lebam atau tanda bulat pada kawasan bekam biasanya akan hilang dalam masa 10 hari selepas hari anda berbekam.
Kredit Foto : insider.com
4. Peralatan Yang Digunakan
Berdasarkan perkongsian dari Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Unit Perubatan Tradisional & Komplementari turut mengeluarkan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi melakukan rawatan bekam.
A. Cawan Bekam
Cawan-cawan bekam perlulah disterilkan selepas setiap sesi rawatan. Saiz cawan juga perlu dipilih sebaiknya agar sesuai dengan kawasan permukaan kulit.
Cawan yang sama tidak boleh digunakan pada tempat yang berbeza atau pada pelanggan yang lain.
Kredit Foto : hellodoktor.com
B. Lanset Steril Pakai Buang
Semasa prosedur bekam basah, hanya lanset pakai buang sahaja dibenarkan untuk menoreh kulit.
5. Manfaat Rawatan Bekam Dari Sudut Saintifik
Baik Untuk Melegakan Ketidakselesaan Badan
Berdasarkan kajian daripada pakar fisiologi dan akunpuntur dari Amerika Syarikat, kaedah bekam didapati berkesan dalam mengurangkan keradangan di samping melegakan tisu badan.
Ia dikatakan mempunyai kesan yang hampir sama seperti urutan kerana ia bertindak jauh ke dalam tisu untuk meredakan tisu badan yang tegang, melancarkan aliran darah serta melegakan kesakitan.
Dengan cara ini, ia dapat membantu badan untuk rasa lebih lega dan kurang sakit.
Berpotensi Untuk Merawat Penyakit Kulit dan Muka Lumpuh
Memetik Healthline.com, sebuah laporan pada 2015 oleh Journal of Traditional and Complementary Medicine mencatatkan rawatan bekam dapat membantu dalam merawat penyakit seperti jerawat, kayap dan pengurusan kesakitan (pain management).
Begitu juga dengan penemuan dari pengkaji Australia dan China yang telah membuat 135 pemerhatian dalam rawatan bekam.
Hasil kajian mereka mendapati terapi bekam yang disertai dengan pendekatan rawatan lain seperti akupuntur dan pengambilan ubat berpotensi dalam merawat beberapa penyakit seperti kayap, jerawat, muka lumpuh (facial paralysis) dan cervical spondylosis.
Persatuan Bekam British juga menyokong terapi bekam sebagai rawatan yang baik bagi :
- Penyakit berkaitan darah seperti anemia dan hemophilia
- Penyakit reumatik seperti arthritis dan fibromyalgia
- Masalah kesuburan
- Masalah kulit seperti ekzema dan jerawat
- Tekanan darah tinggi
- Migrain
- Kemurungan
- Kesesakan bronkial yang berpunca daripada alahan dan lelah
Walaupun bekam dikatakan dikatakan baik untuk merawat pelbagai penyakit seperti di atas, penyelidikan yang lebih mendalam perlulah dijalankan bagi membuktikan keberkesanannya pada kesihatan.
Kriteria Rawatan Bekam
Rawatan bekam tidaklah sesuai untuk semua peringkat usia. Antara kriteria bagi rawatan bekam ialah :
- Pelanggan perlulah berusia antara 10 hingga 65 tahun
- Pesakit 65 tahun ke atas perlulah mempunyai tahap kesihatan yang baik
- Tidak berada dalam tempoh haid
- Ibu mengandung perlulah elakkan prosedur bekam pada abdomen dan belakang
- Pesakit yang mengambil ubat cair darah
6. Kesan Sampingan
Bekam adalah selamat asalkan ia dijalankan oleh pengamal bekam bertauliah.
Ia perlulah dilakukan oleh pengamal bekam berpengalaman bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti :
- Jangkitan kulit
- Kulit melecur
- Penyakit bawaan darah seperti hepatitis B dan C
Pilihan Rawatan Alternatif
Walaupun kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan bagi memahami manfaat bekam pada kesihatan, rawatan bekam masih menjadi pilihan dalam masyarakat kita sebagai perubatan alternatif.
Asalkan ia dilakukan oleh pengamal bekam bertauliah, ia adalah selamat untuk dilakukan.
Sekiranya anda berminat untuk berbekam, pastikan anda lakukannya dengan pengamal bekam yang berpengalaman serta memiliki pusat bekam yang bersih dan selamat.
Pengamal yang bertauliah akan memastikan kulit pesakit bersih dan bebas daripada risiko jangkitan untuk keselesaan pesakit.
7. Hadis Tentang Bekam
HADIS 1
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ
Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab jual beli, bab penjelesan tentang pembekam, no.Hadith 1960
HADIS 2
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.
[Riwayat al-Tirmizi, kitab jual beli, bab rukhsah pembekam, no. Hadith 1199]
HADIS 3
Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:
احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya”.
[Riwayat Ahmad, no. Hadith 1987]
Sumber rujukan :
- What Is Cupping Therapy?
healthline.com/health/cupping-therapy - Cupping Therapy
webmd.com/balance/guide/cupping-therapy#1 - Hukum Berbekam (Mufti WP) https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1521-irsyad-al-hadith-siri-ke-36-berbekam