Rakyat

Kanak-Kanak Perempuan Maut Tertinggal Hampir 10 Jam Dalam Kereta Bapa

730
SHARES

Seorang kanak-kanak perempuan ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam. Kejadian disedari bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ingin pulang ke rumah pada 6.20 petang.

10 JAM TERPERANGKAP

Menurut laporan Harian Metro dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia empat tahun dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan.

Tambahnya, sebelum itu bapa mangsa berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang. Bapa mangsa terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

SEPATUTNYA DIHANTAR KE RUMAH NENEK

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja,” katanya dalam kenyataan media.

Adzli berkata, selepas sampai di tempat kerja, bapa mangsa kemudian keluar memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang berkenaan pada 4.30 petang. Katanya, selepas sampai di kilang, bapa mangsa terus masuk ke dalam kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan.

“Ketika ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.”

Lelaki itu yang merupakan bapa mangsa terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada 10 pagi hari ini.

Kata Ketua Polia Daerah Kuala Muda, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Harian Metro

Most Popular

To Top