TANJUNG MALIM: Kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam renang di rumahnya di Kampung Balun, Slim River di sini semalam dipercayai keluar dari rumah melalui pintu belakang.
Rayyan Mikhail Azmi disahkan meninggal dunia pada pukul 12.04 tengah malam tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Difahamkan, anak bongsu daripada dua beradik itu memasuki kolam renang tersebut tanpa disedari ahli keluarganya.
Mangsa dikatakan keluar dari rumah melalui pintu belakang yang terbuka dan berjalan seorang diri ke arah kolam renang di tepi rumah pada jarak kira-kira 10 meter.
Ketika kejadian air kolam renang berkenaan hanya sedalam 0.6 meter.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, kanak-kanak terbabit disedari tiada di dalam rumah sebelum mangsa ditemukan tersembam oleh bapanya dalam kolam renang tersebut.
Katanya, mangsa yang tidak sedarkan diri itu segera dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan kecemasan.
“Semasa dirawat di Hospital Slim River, mangsa masih hidup dan diberi rawatan awal sebelum dia dirujuk ke HRPB untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang tidak stabil.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.04 tengah malam tadi ketika rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik HRPB dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Katanya, kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Polis membuka kertas siasatan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian itu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia